11 : KELUARGA RAFIQ

2.2K 46 12
                                    


Semalam... selepas Rio meninggalkan Kirin di tandas Presint 8

Rio menekup wajahnya. Dia meraba-raba kesan ciuman Kirin tadi. Degup jantungnya masih tidak reda selepas dia meninggalkan Kirin di tandas tadi. Seram sejuk Rio memikirkan kejadian itu. Terbit rasa bimbang di dalam dadanya. 

Rio menggeleng-geleng. Dia ingin membuang bayangan kelakuan Kirin yang melahap lehernya sebentar tadi. Dengan segera dia menaiki motor lalu memecut meninggalkan kawasan rekreasi itu, menuju ke rumah mereka di Presint 10.

Sebaik sahaja memasuki garaj rumah, degup jantung Rio semakin deras apabila melihat kereta Redzuan, ayahnya sudah ada di situ. Rio menjeling kesan merah yang Kirin tinggalkan di lehernya. Sangat jelas kelihatan.

Rio berdecit, kesal dengan kejadian tersebut. Digosoknya berulang-ulang kesan love-bite itu, berharap agar kesan ciuman itu berkurang. Namun tidak. Warna merah itu jelas kelihatan kerana terlalu kontra dengan warna kulitnya yang cerah. 

Rio tidak ada pilihan, dia perlu menyusup masuk ke dalam biliknya agar tidak terserempak dengan ayahnya itu. Love-bite di leher itu Rio perlu tutup terlebih dahulu sebelum dia menghadap ayahnya.

Rio memutuskan untuk masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang. Dia berharap, ayahnya ketika itu sedang menonton televisyen di ruang tamu bersama ibunya, sambil makan kuih muih. Dengan tekad, Rio membuka pintu dapur perlahan-lahan. Sedaya upaya dia cuba mengawal bunyi tapak kakinya.

"Hah! Ni kenapa terhendap-hendap macam pencuri ni?" 

Nasib Rio tidak baik. Redzuan ketika itu sedang berada di dapur untuk membasuh tangan selepas makan karipap di ruang tamu bersama Layla.

"Ayah..." Rio tergagap-gagap. Dengan laju dia menekup love-bite di lehernya.

"Tu leher tu kenapa?" 

"Tak de apa-apa, ayah." Rio berundur.

"Bagi ayah, tengok!" Redzuan mula bernada kasar. Dia pelik dengan kelakuan Rio.

"Tak de apa-apa, ayah." Rio berundur lagi lalu berlari naik tingkat atas, masuk ke dalam bilik.

"NAIM!!!"

Suara jeritan Redzuan itu membimbangkan Rio. Dia kesal! Rio yakin, pasti ayahnya sudah boleh mengagak kenapa dia menutup lehernya tadi. Ini bukan kali pertama Redzuan itu menuduh dia macam-macam seperti ini. Bahkan perpindahannya ke sekolah ini juga disebabkan kejadian yang hampir serupa.

Fikiran Rio semakin kusut. Dia memaki Kirin bertubi-tubi di dalam hati. Kalau bukan sebab Kirin, dia tidak akan tersepit dalam masalah ini.

Tiba-tiba, pintu bilik Rio diketuk dengan kuat. Berkali-kali.

"Buka pintu, Rio!!"

Rio jadi gagau. Dia bangun lalu segera mencapai tuala untuk menutup lehernya. Lambat-lambat dia membuka pintu biliknya itu. Berdasarkan suara Redzuan itu, Rio dapat mengagak kemarahan ayahnya.

"Ya ayah...?" Rio menelan air liurnya dalam-dalam.

"Tengok leher kamu!" Redzuan meredah masuk ke dalam bilik lalu menarik tuala yang berlingkar di leher Rio.

"Kurang ajar!!" Redzuan bertempik marah. Darahnya meruap naik ke kepala apabila terpandang setompok merah di leher Rio itu.

Melayang satu tamparan yang kuat ke pipi kiri Rio sehingga Rio tersungkur ke lantai. 

"Aku dah larang kau jangan menggatal lagi dengan lelaki, kau degil!" Kali ini Redzuan menendang Rio.

"Bukan salah Rio, ayah!" tangis Rio. Tapi tangisan itu tidak dipedulikan oleh Redzuan.

PENDAM BERAHI SEKOLAHWhere stories live. Discover now