Ekin tersentak daripada lena apabila kaki anaknya tak sengaja terkena tubuhnya.
Dia lantas celikkan mata. Digosok perlahan mata yang sembab. Dia sendiri terlena sambil menidurkan anaknya sekembalinya mereka daripada rumah mentua Ekin tadi.
Hari duka buat mereka sekeluarga apabila kehilangan salah seorang ahli yang sangat mereka sayang. Angah.
Ekin masih sedang cuba percaya adik iparnya itu dah meninggalkan dunia fana. Terlalu tiba-tiba. Tanpa sebarang tanda. Walaupun hanya berpangkatkan kakak ipar, hatinya juga terasa berlubang dek kehilangan.
Tadi, selesai upacara pengebumian buat Angah. Belum pernah Ekin lihat manusia seramai itu menghantar jenazah ke kubur. Ramai. Terlalu ramai.
Pasti Angah sangat disayangi. Pasti Angah banyak berjasa pada manusia, sebab itu Allah muliakan dia di hari kematiannya. Walaupun cara meninggalnya itu tersangatlah tragis, tetapi tetap ramai memberi penghormatan terakhir.
Air mata kembali bertubir. Ekin rindu. Rindu akan adik iparnya yang seorang itu. Kasihankan mak. Kasihankan abah. Kasihankan Siti Talhah.
Namun yang paling dia kasihan, sang suami yang hanya menitiskan beberapa titik air mata.
Along banyak diam hari ini. Hanya buka mulut apabila perlu sahaja. Namun dia tak juga kelihatan menangis teresak-esak seperti yang lain.
Ekin lantas bangkit dan selimutkan anaknya dengan cermat. Dia keluar daripada bilik si kecil itu dan terus ke kamar mereka suami isteri.
Gelap.
Abang dah tidur ke?
Dia nyalakan skrin telefon bimbitnya untuk sedikit cahaya.
"Eh? Tak ada?"
Dia lantas berjalan ke tandas.
"Abang! Abang dekat dalam?" Lembut soalannya.
Tiada jawapan, lalu dia pulas tombol pintu dan ternyata, tiada orang juga.
Ekin garu kepala. Mana perginya ni? Keluar ke?
Jam dinding menunjukkan jam 1130 malam.
Dia cari tiap pelusuk rumah. Tiada.
Lalu dia membuka pintu rumah. Terkejut bukan kepalang, si suami sedang bersilat di halaman rumah dalam keadaan gelap. Hanya diterangi dek samar-samar lampu jalan yang agak jauh daripada rumah.
Ekin ketap bibit. Hati ditamu sebak. Dia tekupkan tangan ke dada.
Abang sedih ya?
Abang bersilat nak hilangkan sedih?
Lalu dia menapak perlahan-lahan keluar. Selipar dia sarung dan dia berdiri terpacak memeluk tubuh memerhati Along yang dah lencun dek peluh.
"Abang..." panggilnya perlahan.
"Abang...." kali ini agak kuat.
Along tiba-tiba akhiri buah silatnya dengan menumbuk tanah. "Hekk!!!"
Kemudian dia diam statik dalam keadaan itu. Hanya bahu kelihatan turun naik dek mengah.
Ekin berjalan menghampiri.
Dia duduk berlutut di sisi Along. Dia usap belakang suaminya yang basah lencun dek peluh perlahan-lahan.
Dia dengar Along mengeluh perlahan.
"Anim dah tidur?" Soal Along perlahan.
"Dah."
"Kenapa sayang tak tidur lagi?"
