Entah challenge tah pape yang kita wujudkan untuk diri sendiri. Hahaha.
Konon nak tengok takat mana mampu tulis dalam tempoh masa tertentu. Mula-mula nak set 30min. Rasanya macam sekejap sangat Hahaha. Maka up sikitlah 45 min.
Ni lah hasilnya... baca dengan hati terbuka ya 🤭🤭🤭 suka-suka je...
*********
POM!!! Pintu kereta dihempas kuat tanda marahnya dia pada si pemandu.
"Oiii!!! Main hempas-hempas pulak! Aku hempas jugak kepala kau tu ke tanah nanti!"
Tal tak pedulikan. Terus berjalan laju menuju ke pintu rumah. Kaki diayunkan sahaja menanggalkan selipar jepun. Melayang selipar yang tak bersalah itu. Kemudian dia terus meluru masuk.
"Eh, eh, ni apa kena jalan hentak kaki sampai nak runtuh rumah ni? Apa kena kau, dik?"
Soalan abah tak dihiraukan. Dia terus ke dapur.
Di dapur, si ibu pula memandang pelik.
"Assalamualaikum..." Tenang suara si pemandu tadi memberi salam.
"Waalaikumussalam. Apa kena adik tu, bang ngah?"
"Entah. Period kot! Emosi semacam!" Selamba ejek si abang.
"Bang ngah!! Diam ahh!!" jeritnya dari dapur.
"Oh mak kau!!" Dek jeritan Tal tadi, Mak Yam terus melatah.
"Astaghfirullah hal azim bertuah ni. Nasib baik tak luruh jantung mak ni!"
"Kan abah suruh belajar memandu. Yang berkelahi ni dah kenapa?"
"Abah tanyalah anak manja abah tu. Kena marah sikit pun tak boleh. Macam mana nak pandai? Tu baru bukit sikit dekat simpang tu, tak lepas. Macam mana nak lepas bukit masa test nanti?" adu si bang ngah.
Tal mendengus tak puas hati. Lalu dia pantas ke ruang depan.
"Masalahnya tukang ajar pun marah-marah. Sakit hati adik, abah! Berapa kali tah bang ngah cakap adik bebal. Orang geramlah!" Dia pula mempertahankan diri.
"Ya rabbi. Korang dua beradik ni kan, memang macam anjing dengan kucinglah! Pakatlah along kau tak ada, kalau tak, memang mak tak bagi adik belajar dengan angah. Ada aje nak dikelahikan," bebel Mak Yam dah turut sama ke ruang tamu rumah.
"Dia ah! Ciwek! Memang bebal masalahnya, abah, mak. Geram ngah dibuatnya. Tak paham-paham. Orang dah cakap, balance kan clutch dengan minyak, tak buat. Memang kena bebal la jawabnya."
"Mak.... tengok.... Dia yang tak pandai ajar. Tengking, tengking. Aku lipat jugak kang!"
"Meh ah.. Jom turun gelanggang. Ada berani? Aku nak tengok sikit budak ciwek ni lipat aku!"
"Haih, sudah!! Dua-dua abah lipat jadi roti jala kang! Astaghfirullah hal azim...."
Diam kedua-duanya.
"Dah! Esok adik belajar dengan Jebat je lah! Susah sangat. Ada abang pun tak boleh diharap.."
Tal sengih puas hati. Dia jelir lidah pada abang tengahnya itu.
"Yang nak belajar pun ciwek mengada-mengada. Ditegur sikit melenting. Elok bang ngah kau yang marah. Kalau kena marah dengan JPJ tu, nak?"
Kali ini bang ngah pula senyum mengejek.
"Esok abah mintak Jebat je ajarkan kau, dik. Daripada menghadap korang bertekak. Tak berlatih nanti, gagal pulak ujian tu. Habis duit aku bayar mahal-mahal. Haih..." rungut Ayah Haji Rusydi.