46: DIPERMAINKAN PERASAAN

196 12 3
                                    

SEPANJANG malam Maleeq tak dapat melelapkan mata. Terngiang akan kata-kata Aryan siang tadi yang berkeras memberitahu akan jati dirinya. Aryan menegaskan bahawa dirinya adalah suami kepada wanita bernama Puteri Zaharah. Puas Maleeq cuba menggali segenap ingatan yang tersisa tapi tetap tak jumpa bayang-bayang itu.

Hal itu membuat jiwanya bertambah tak tenteram. Bagaimana jika ianya benar? Bagaimana jika dia memang benar adalah suami kepada wanita yang sedang sarat mengandung? Sedangkan dirinya langsung tak tahu apa-apa melainkan dirinya yang sekarang.

Dirinya yang sekarang hanyalah seorang lelaki tak punya apa-apa. Hanya mengharapkan upah dari bekerja sebagai mekanik kenderaan. Tidak berharta dan tak punya identiti. Malah tinggal pun menumpang di rumah orang. Beginikah ciri-ciri seorang suami kepada wanita yang Aryan sebutkan itu?

Kalau menurut nama wanita yang Aryan sebutkan, isterinya bukanlah wanita sederhana. Tentunya dia datang dari golongan bangsawan yang hidupnya serba mewah. Jauh sekali dengan dirinya yang hanya makan upah dari membaiki kereta membantu Adam.

Maleeq mendesah panjang membuang pandang ke atas syiling di dalam biliknya yang sempit. Bertanya pada diri dan mencari jawapan yang diingini.

"Siapa diri ni sebenarnya? Apa benar yang Aryan katakan, bahwa aku dahulu juga datang dari golongan seperti dia? Tapi kenapa aku merasa begitu asing dan jauh sekali? Apa yang sebenarnya telah terjadi pada diri aku ini?"

Menjelang empat pagi, barulah matanya dapat terpejam. Cubaan merungkai memori belum membuahkan sebarang hasil sehingga sekarang. Adakah dirinya akan seperti itu buat selama-lamanya?

***

PAGI itu, Maleeq tidak keluar bersarapan seperti sebelum ini. Entah kenapa dia mula tidak selesa untuk kerap bersua muka dengan Makcik Wawa dan juga Hanna. Lagi-lagi selepas Aryan menegaskan bahawa dia tak ada kena mengena pun dengan mereka.

Maleeq mulai menjaga jarak dan kurang berinteraksi. Tetapi dia tetap akan datang membantu apabila mereka memerlukan bantuan, seperti membaiki paip mahupun menukar lampu yang rosak. Dengan senang hati dia akan menghulur bantuan, sebagai bentuk membalas budi atas pertolongan kepada dirinya.

Maleeq keluar dari bilik setelah dipastikan Makcik Wawa sudah tiada di rumah. Hanna juga sudah berangkat kerja. Maka dia perlu mengambil bahgiannya untuk membersihkan diri di bilik mandi yang terletak di bahgian dapur.

Sudah tiada orang barulah dia selesa. Hati yang mulai segan membuatnya mencipta jadwal sendiri bila dia perlu keluar dari bilik untuk urusan peribadinya.

Namun belum pun dia selesai mandi, suara kereta Hanna terdengar menghampiri pekarangan rumah. Maleeq sangka Hanna sudah berangkat kerja, tak sangka pula dia berpatah balik semula.

Maka cepat-cepat Maleeq menyudahi mandi, bimbang akan berpapasan dengan Hanna dalam keadaan yang kurang sopan. Tentunya dia akan malu sekali.

Tapi siapa sangka, Maleeq yang nak cepat keluar dari bilik air, atau Hanna yang nak cepat masuk ke rumah?

Akibatnya, keduanya terbata di tempat masing-masing dengan perasaan malu yang membara. Maleeq sudah memerah mukanya, begitu juga dengan Hanna.

Tetapi Maleeq tak mahu keadaan canggung itu berlarutan lebih lama. Buru-buru dia mengambil langkah menghindar sebelum orang lain pula yang akan melihat mereka dalam keadaan seperti itu.

Tanpa sebarang bicara, kaki diantur pergi meninggalkan ruang dapur yang sunyi mencekam. Maleeq cepat-cepat masuk ke bilik dan menguncinya.

Hanna pula sudah lupa dengan tujuannya pulang iaitu untuk mengambil beg peralatan yang tertinggal di ruang dapur. Kemunculan Maleeq dari dalam bilik air yang hanya mengenakan kain tuala membuat dirinya seperti kehabisan oksigen. Hanna masih tak bergerak dari tempat asal bila otaknya terasa jammed.

NIKAH GANTUNGWhere stories live. Discover now