3 | 𝐓 𝐑 𝐀 𝐆 𝐄 𝐃 𝐘

13 4 6
                                    


"Sebab aku ingat. Semuanya."

━━━━━━━━━━━━━━

L I T T L E T R A G E D Y
B A B 3


𝐊𝐄𝐓𝐔𝐊𝐀𝐍 pintu yang bertalu-talu bergema kuat memecah kesunyian seisi rumah banglo dua tingkat itu. Aku tidak berputus asa meskipun tangan sudah naik pegal gara-gara mengetuk permukaan pintu kayu bergaya tradisional itu. Aku melonggarkan tali leher yang kurasakan agak menyempitkan laluan pernafasanku. Perut yang masih terasa pedih dek insiden tendangan curi tadi aku usap perlahan.

'Aduh...kuat jugak mamat penagih tu tendang aku tadi. Mesti teruk lebam ni perut aku ni. Tak guna betul lah. Tak boleh bagi wifey tahu ni.' Bisik aku di dalam hati perlahan. Muka yang agak berkerut aku jernihkan semula. Sedaya upaya aku cuba menahan sakit biar tidak terpapar di wajah, barulah si isteri tidak risau.

"Assalamualaikum... Wifey, saya dah balik." Kata aku perlahan antara dengar atau tidak. Risau sebenarnya sekiranya dia sudah pun tidur dan kepulangan aku akan menganggu lenanya. Namun, jauh di sudut hati aku mengharapkan dia masih belum tertidur sebenarnya. Di jam hampir menunjukkan pukul satu pagi itu, hatiku sempat diketuk rasa ingin tahu mungkinkah dia masih setia menanti aku pulang?

Kerja aku sebagai seorang peguam memang tidak menjanjikan jam pulang kerja yang tetap. Acap kali, aku terpaksa bekerja sehingga lewat malam di pejabat demi menelaah kertas-kertas kajian kes di atas meja pejabat. 

Atau bila aku sudah rindu sangat, sangguplah aku mengusung beg bagasi kecil milikku yang dikhaskan untuk menyimpan fail-fail tentang kajian kes ke ruang kerja aku di dalam rumah. Itupun lagi beberapa minit hendak tengah malam, barulah aku keluar dari dalam bilik sementara dia selalunya sudah masuk ke alam mimpi. 

Hakikatnya masa yang diluangkan kami bersama sebagai suami isteri amatlah sedikit. Tidak seperti pasangan yang sudah hampir setahun berkahwin.

Namun ironinya, dia tidak pernah merungut. Jauh sekali terasa hati sekiranya aku terpaksa membatalkan apapun perancangan kami sepanjang hari cuti untuk kerja aku yang tiada habisnya. Dia tidak pernah sekalipun menunjukkan rasa marah, kecewa atau sedih meskipun aku tahu, aku secara tidak langsung telah mengorbankannya demi kelancaran karier aku sebagai peguam.

Hal itu membuatkan aku mempersoalkan diri sendiri. Kenapa dia tak marah? Kenapa dia tak pernah tanya? Kenapa dia tak nampak sedih pun walaupun kita tak dapat luangkan masa sama-sama? Dia tak peduli pasal aku ke? Dia dah tak sayang aku ke?

Soalan-soalan begitu selalu bermain di fikiran aku. Namun...

Entah bagaimana, dia tidak pernah mengatakan apa-apa. Mungkin bahasa matanya yang lebih lancar daripada bibirnya yang berkata-kata. Membuatkan semua kegusaran dalam hati hilang dan menjadi lebih tenang.

Seperti sekarang ini, dia sedang berdiri di hadapan aku dengan sepasang matanya yang selalu sayu dan bibirnya yang merah merekah tersenyum nipis memandang aku. Bagaikan bermimpi, baru sekejap tadi aku menutup mata. Buka-buka sahaja dia sudah ada di depan mata.

"Elarian. Awak tak tidur lagi?" Soalku lembut selepas tersedar daripada lamunan yang panjang. Jari jemariku naik mengusap rambutnya yang panjang dibiar lepas.

𝐎𝐆 | 𝐋𝐢𝐭𝐭𝐥𝐞 𝐓𝐫𝐚𝐠𝐞𝐝𝐲Where stories live. Discover now