PROLOG

374 9 0
                                    

KEPALANYA terasa berat sekali. Kakinya lemah, lututnya mengigil dek kesejukan. Semilir malam awal musim luruh yang bertiup semakin menambahkan lagi kedinginan yang mengigit-gigit tubuh dia yang berpakaian sekadarnya. Tiada kot atau baju luar yang tebal buat menghangat badan. Jika ada pun, semuanya sudah dijual. Digadaikan demi beberapa keping syiling bagi kelangsungan hidupnya. Juga ketagihan minuman memabukkan yang sudah hampir beberapa tahun menjadi temannya setiap malam.

Dia menghentikan langkah buat seketika dan bersandar di tepi bangunan sebuah lorong gelap. Kepala yang tadi terasa berat kini semakin menyebabkan dia tidak mampu berjalan dengan baik. Jika diikutkan hati, mahu saja dia merebahkan diri di situ. Sementelah dia sudah tidak ada lagi tempat hendak berteduh. Akan tetapi angin malam yang dingin itu tidak memungkinkannya untuk berdiam di luar dan tubuhnya sudah menggigil kesejukan.

Dia menghembus nafas. Berjeda buat beberapa detik, cuba mengutip sisa-sisa kesedaran dari fikirannya yang malap dengan kesan mabuk minuman arak. Dia cuba berfikir, ke mana lagi dia hendak meneduhkan diri. Menumpang tidur, barang semalam. Dia teringat akan teman baiknya, yang meminta agar dia tinggal saja bersama-sama dengannya di rumah tumpangan Jalan Thrawl pada malam itu. Namun egonya lebih dahulu memintas niat baik sang teman untuk membantu. Dia enggan menerimanya, merasakan dia masih mampu beroleh pendapatan untuk membayar tempat tinggal sendiri pada malam itu.


"Hari ini saja sudah tiga kali aku memperoleh wang yang cukup untuk penempatanku dan aku sudah membelanjakan semuanya."


Dia masih ingat kata-kata yang diucapkan kepada sang teman. Mendabik dada, mengatakan dia masih mampu berdiri sendiri dan dia tidak memerlukan belas simpati. Namun kini jauh di sudut hati, dia sedikit menyesalinya. "Ah, biarlah! Aku akan cuba berkeliling di sekitar Buck's Row ini. Paling tidak, pasti ada yang mahukan perkhidmatanku kelak." Dia bergumam sendiri. Membuang jauh-jauh penyesalan yang menjejak hati tidak lama tadi.


Dia menyeimbangkan tubuh, mengatur posisi diri sebelum mula menderap pergi. Hampir-hampir saja dia tersadung dek langkah sendiri, sebelum ada tangan yang menangkapnya. Menyelamatkan dia dari terjelepuk di lantai jalan.


Dia segera mencuba untuk berdiri lalu berkalih ke sisi. Ke arah sang penyelamatnya yang membantu dia agar tidak terjatuh tadi.


Dia memicing mata dek pandangan yang kelam. Ditambah waktu malam dan persekitaran yang tidak berlampu itu membuatkan dia tidak dapat melihat dengan jelas siapa di hadapannya. Dengan penglihatan yang terhad dan keadaan mindanya yang tidak begitu waras, fikirannya hanya mampu mencerna satu bayangan seorang lelaki bertubuh tinggi dan tegap. Ada sedikit bau tengik yang menyucuk-nyucuk hidung, yang sepertinya datang dari lelaki tersebut.


Dia menurunkan mataya ke arah lengan, yang masih dipegang kejap oleh sang lelaki tinggi bertubuh tegap.


"Apakah tuan mahu aku temankan tuan pada malam yang sejuk ini?" Dia mengukir senyum sambil membetulkan posisi berdiri. Meski masih terhuyung-hayang dengan kesan minuman gin yang bersisa dalam tubuh, dia tetap mahu terlihat elok di mata lelaki di hadapannya kini. Di dalam hati, dia melompat girang. Peluangnya untuk mendapatkan wang sudah terbuka dan dapatlah akhirnya dia berehat di rumah tumpangan malam itu.


Lelaki tadi mendiam. Tidak bersuara walau sepatah. Namun pegangannya pada lengan tetap kejap. Seolah-olah tidak mahu melepaskan.


"Tuan, kalau mahu katakan mahu. Jangan buang masa aku." Dia berdesis kesebalan. Dia merentap tangannya dari cengkaman si lelaki. Namun pegangan yang kuat itu sepertinya tidak memungkinkan dia untuk melepaskan diri.

MAWAR DI WHITECHAPELWhere stories live. Discover now