KERETA kuda meluncur dengan lancar di sepanjang perjalanan dari Eastbury menuju setesen keretapi Hermitage.
Rosalyn dan Clara duduk bersetentangan di dalam kereta kuda. Masing-masing sibuk dengan hal sendiri.
Clara tekun meladeni bahan bacaanya, sementara Rosalyn leka mengadap keindahan suasana luar yang memukau pandangan. Dia sebenarnya turut membawa buku buat peneman di dalam kereta kuda, akan tetapi fokusnya langsung terbejat tatkala kereta kuda yang dipandu membawanya menyusuri pemandangan sekitar Berkshire yang sungguh mempesonakan.
"Cantinya pemandangan di sini. Tak jemu saya melihatnya." Tidak putus-putus Rosalyn menuturkan kata-kata pujian.
Clara yang tadinya ralit membaca kini mengangkat muka. Sama-sama membuang pandangannya ke luar jendela.
"Eastbury terletak di dalam Berkshire, yang merupakan sebuah daerah pedalaman yang sememangnya memukau. Walaupun penduduknya tidak seramai di kota London, tetapi komuniti di sini sangat mementingkan keharmonian dan kebersihan. Semuanya saling menjaga di antara satu sama lain. Kebanyakan yang tinggal di sini adalah dari golongan aristokrat dan usahawan berjaya dari London. Justeru, keindahannya terpelihara dan sentiasa terjaga."
Rosalyn mengangguk-angguk, mencerna penjelasan daripada makciknya. Dia mengakui bahawa Berkshire mempunyai keindahan dan pesona yang berbeza dengan tempat yang biasa dia lihat. Seperti di Yorkshire. Di Berkshire, rumah-rumah yang didirikan hampir semua adalah kediaman agam. Jarang sekali dia menemui bangunan kediaman yang kecil di situ. Membenarkan kenyataan daripada makcik Claranya itu bahawa Berkshire sememangnya didiami oleh orang-orang kelas atasan.
Tidak lama kemudian, mereka tiba di stesen keretapi Hermitage.
Stesen keretapi tersebut tidak besar. Mempunyai sebuah bangunan yang sederhana dan menurut Clara, diuruskan sendiri oleh sebuah keluarga besar di Berkshire itu.
Joseph dan Louise, yang turut sama menemani Rosalyn atas arahan Clara mengangkat barang-barang yang dibawa dari Eastbury. Dua buah bagasi kecil dibimbit dan mereka mengekori Clara dan Rosalyn yang memimpin perjalanan ke dalam stesen keretapi.
"Selamat pagi Clara." Seorang lelaki separuh abad dengan janggut seputih salju menyapa, menyambut kedatangan mereka dengan senyum.
"Selamat pagi, James." Clara menyahut, turut sama dengan manis muka.
"Ada urusan ke Savile Row?"
"Aku ada temujanji dengan Monsieur Leonard." Clara menjawab ringkas.
"Oh? Pastinya untuk persiapan majlis tari menari di Caninggor Chateau." James menebak tepat. Clara mengangguk sekilas dengan senyuman.
"Persiapan untuk anak saudaraku yang baru tiba dari Yorkshire. Ini adalah majlis tari menarinya yang pertama dan aku mahu menjadikannya satu pengalaman yang penuh bermakna buat dia." James menoleh ke arah Rosalyn, menyeluruhi gadis itu dan kemudian mengangguk-angguk mengeyakannya.
YOU ARE READING
MAWAR DI WHITECHAPEL
Ficțiune istoricăGadis desa Yorkshire bernama Rosalyn Ethelbert telah berhijrah ke kota London setelah mendapat sepucuk surat yang tidak diduga daripada keluarga yang tidak dia ketahui kewujudannya setelah hampir sedekad dia hidup bersama-sama makcik dan pakciknya s...