"KAU punya apa-apa rancangan selepas ini?"
Pertanyaan Clara menyentak Rosalyn kembali ke realiti. Dia yang sejak tadi terleka dengan pemandangan di luar kereta kuda setelah penat menemani ibu saudaranya itu ke beberapa butik bagi membeli perhiasan dan kasut yang baru itu mengembalikan perhatian ke depan.
"Tidak, Makcik Clara. Saya tidak punya apa-apa rencana."
"Atau, kau punya tempat yang hendak dikunjungi di London?"
Rosalyn menggumam jawapan.
"Ada..."
"Eloklah. Aku akan maklumkannya kepada pemandu kereta kuda. Aku harus ke Westminster sekarang atas urusan penting untuk beberapa ketika. Kita akan bertemu semula di stesen King's Cross sebelum petang." Clara terlebih dahulu memotong jawapan Rosalyn sebelum sempat dia menghabiskan bicaranya.
"Tapi... Saya tidak biasa dengan jalan-jalan di sini, Makcik Clara," ujar Rosalyn. Dia sedikit bimbang kerana Clara mahu melepaskannya ke kota London itu sendiri, sedangkan dia baru saja tiba di situ. Jangankan laluan di kota, jalan hendak pulang ke Eastbury pun dia tidak tahu.
"Louise akan menemanimu dan aku juga sudah membayar pemandu kereta kuda ini untuk membawamu ke mana-mana saja di Kota London. Usah bimbang."
Clara kemudian mengeluarkan sebuah uncang dari beg tangan dan menghulurkannya kepada Rosalyn.
"Buat belanja sepanjang kau berada di kota hari ini. Berseronoklah."
Rosalyn menyambutnya lambat-lambat. Berat uncang di tangannya itu sudah cukup untuk dia mengetahui bahawa wang yang diberikan oleh ibu saudaranya itu cukup banyak sekali. Dia cepat-cepat menyimpannya ke dalam saku gaun dan mengucapkan terima kasih.
Clara kemudian merapikan rambut dan pakaiannya sebelum menuruni kereta kuda tatkala mereka sudah tiba di hadapan bangunan parlimen di Westminster.
Rosalyn menjengahkan kepala keluar tingkap.
Mulutnya terlopong dan matanya tidak berkelip melihat betapa gahnya bangunan parlimen yang dahulunya merupakan sebuah istana raja-raja Inggeris.
"Papa selalu menceritakan tentang bangunan parlimen ini kepadaku dulu. Tak sangka, aku dapat melihatnya sendiri kini."
Hatinya sebak tatkala mengingat semula kenangan ketika dia masih kecil. Saat ayahnya menceritakan tentang sejarah Inggeris dan bangunan-bangunan yang megah di tengah Kota London. Kisah daripada ayahnya itu telah membuak-buakkan minatnya untuk lebih mengenali kota tersebut dan bercita-cita hendak ke sana suatu hari nanti. Dan bagaimana sang ayah telah berjanji akan membawanya berkeliling di Kota London apabila dia berusia 7 tahun.
Janji itu hanya tinggal janji, kerana sang ayah dan ibu telahpun pergi.
Rosalyn berdeham. Dia pantas membuang jauh kesedihan yang bersinggah seketika di dalam jiwa. Enggan sayu yang datang merosakkan pula suasana saat itu.
YOU ARE READING
MAWAR DI WHITECHAPEL
Ficção HistóricaGadis desa Yorkshire bernama Rosalyn Ethelbert telah berhijrah ke kota London setelah mendapat sepucuk surat yang tidak diduga daripada keluarga yang tidak dia ketahui kewujudannya setelah hampir sedekad dia hidup bersama-sama makcik dan pakciknya s...