ROSALYN terpanar. Sebaik sahaja Joseph si pemandu memberhentikan kereta kudanya usai perjalanan panjang selama dua jam itu, Rosalyn disambut dengan pemandangan sebuah manor yang indah di hadapannya. Bangunan rumah agam tersebut terlihat gah dan mewah. Dikelilingi taman bunga yang cantik serta dijaga dengan rapi.
"Ayuh, cik puan. Tuan Thomas dan Cik Puan Clara sedang menunggu."
Suara Louise yang menggamitnya menyentak Rosalyn dari lamunan. Dia segera membuntuti Louise menuju ke pintu manor.
Di depan, kelihatan seorang lelaki tua dan wanita berumur pertengahan 40an sedang berdiri menunggu. Kedua-duanya berketerampilan elegan, segak dan anggun.
"Kamu pasti adalah Rosalyn." Wanita anggun berambut coklat gelap yang disanggul cantik itu datang kepada Rosalyn lalu memeluknya erat dan mengucup lembut kedua-dua belah pipinya. Rosalyn tidak sempat hendak bereaksi, dan terlihat canggung menerima pelukan dan kucupan daripada wanita tadi.
"Aku, Clara. Kakak kepada ayahmu, Edward." Wanita tadi memperkenalkan dirinya dengan senyuman.
"Salam perkenalan, Makcik Clara," ucap Rosalyn dengan senyuman yang lebar.
Clara membalasnya dengan senyum simpul dan anggukan.
"Rosalyn." Lelaki tua di sebelah pula menyapa. Namun dia tidak kelihatan semesra Clara.
"Datuk." Tidak susah bagi Rosalyn meneka bahawa lelaki tua itu adalah datuknya, Thomas Ethelbert.
Thomas berdeham dan menyahut sapaan cucunya, juga dengan anggukan.
"Tunjukkan kamarnya, Clara. Ayah hendak keluar sebentar. Ada hal yang hendak diuruskan di Lambourne." Thomas berkalih kepada Clara, menyampaikan pesanan kepada anak perempuannya itu.
"Baik, ayah. Hati-hati dalam perjalanan."
Thomas berpamitan dan terus menaiki kereta kuda yang menunggu di depan rumah agam.
"Ayuh, kita masuk ke dalam. Kamu pasti sudah penat dengan perjalanan yang jauh dari Yorkshire, bukan?"
Clara mempersilakan Rosalyn ke dalam manor.
Rosalyn menurut dan mengiringi langkah makciknya, sementara Louise di belakang mengekori mereka sambil menjinjing beg pakaiannya.
Sebaik sahaja kaki Rosalyn menginjak masuk ke dalam manor, dia bertambah kagum. Tidak berkerdip matanya menyaksikan keindahan tempat kediaman datuk dan makciknya itu. Semuanya serba mewah dan jelas dari perabot serta perhiasan yang cantik dan kelihatan mahal itu, menunjukkan perbezaan kelas di antara Rosalyn dan keluarga sebelah ayahnya. Dia tidak menyangka bahawa ayahnya itu dari sebuah keluarga yang kaya.
"Di sini, cik puan." Louise menggamit Rosalyn yang masih terlopong melihat sekelilingnya yang serba mewah dan indah, untuk mengikuti Clara menaiki tangga di tingkat atas.

ANDA SEDANG MEMBACA
MAWAR DI WHITECHAPEL
Ficción históricaGadis desa Yorkshire bernama Rosalyn Ethelbert telah berhijrah ke kota London setelah mendapat sepucuk surat yang tidak diduga daripada keluarga yang tidak dia ketahui kewujudannya setelah hampir sedekad dia hidup bersama-sama makcik dan pakciknya s...