"Aku nak kau cari perempuan tu sampai jumpa dan bawa dia kepada aku!" suara Erwin bergema dalam bilik mesyuarat bawah tanah, nada tegasnya jelas memperlihatkan ketidakpuasan hatinya.
Matanya yang tajam merenung skrin CCTV yang berkelip-kelip, rakaman yang tidak banyak membantu selain memperlihatkan bayangan seorang wanita berpakaian serba hitam, hanya matanya yang kelihatan di balik topeng. Dia telah masuk ke dalam kawasan mereka—sesuatu yang mustahil bagi orang luar. Namun, dia bukan orang biasa.
Erwin menggenggam erat jari-jemarinya, menahan marah. Dia masih tidak dapat menerima hakikat bahawa seorang wanita telah berjaya menyelinap masuk ke dalam pangkalan utama Prides of Lions, menghancurkan sistem keselamatan mereka, dan membebaskan beberapa tahanan yang sebelum ini dianggap mustahil untuk melarikan diri.
Harley memandang sekeliling, melihat pintu besi beberapa lokap yang terbuka luas. Tahanan-tahanan yang mereka gunakan sebagai hamba sudah lenyap, semuanya dibantu oleh wanita misteri itu.
Valeska, seorang wanita yang dikenali dengan ketenangan sadistiknya, menyandarkan diri ke dinding sambil memutar bilah pisaunya yang masih berlumuran darah segar. Dia tersenyum sinis sebelum menjilat kesan darah itu.
"Erwin... aku tak berjaya ikut jejak perempuan tu, tapi sebelum dia lari, aku sempat beri dia luka di lengannya." kata Valeska, suaranya tenang tetapi penuh kepuasan.
Namun, kata-katanya tidak meredakan kemarahan Erwin. Pandangannya kekal tajam, penuh dendam yang membara. Adriano, tangan kanan Erwin, sudah pun mengarahkan beberapa ahli mafia mereka untuk menjejak wanita itu.
Erwin menarik nafas dalam, melonggarkan tali lehernya. Rambut coklatnya sedikit basah akibat peluh, suhu panas di tubuhnya mencerminkan api kemarahan yang membuak-buak dalam dirinya.
"Paling tidak... cari tahu siapa dia." katanya tegas, suaranya rendah tetapi cukup untuk memberi perintah kepada semua yang berada di situ.
Dia kembali menatap skrin CCTV yang hanya menunjukkan kelibat wanita itu. Tidak cukup maklumat untuk mengenal pasti identitinya, tetapi dia pasti tentang satu perkara—wanita itu telah berani mencabar Prides of Lions, dan dia tidak akan membiarkan perkara ini berlalu begitu sahaja.
Erwin tersenyum tipis, matanya masih melekat pada skrin.
"Kalau aku jumpa dia... aku sendiri akan pastikan dia mati." bisiknya sendirian.
Di hadapannya, satu gambar yang kabur tetapi cukup untuk menunjukkan sosok seorang wanita berpakaian hitam. Hanya matanya yang kelihatan, sepasang mata yang penuh kebencian.
Erwin memegang gambar itu erat, jemarinya mengetap kertas tersebut sebelum dia bersuara perlahan.
"Just you wait. Our game starts now."

YOU ARE READING
Prides Of Lions
ActionPrides of Lions.Sebuah kumpulan mafia paling digeruni di Rusia. Mereka menguasai dunia gelap dengan kerja kotor, terlibat dalam perdagangan haram, senjata, dan jenayah yang tiada penghujungnya. Mereka percaya tiada siapa yang cukup berani, apatah la...