SALMAH terkejut dengan keputusan si adik. Kata Sudin, dia mahu tangguhkan dahulu niatnya untuk menyambung pelajaran. Tahu sangat yang Sudin tak nak menyusahkan dia.
“Pergilah belajar. Duit simpanan Kak Mah ada lagi.”“Tak nak. Kak Mah buat duit tu untuk baiki atap rumah kita. Dah teruk sangat ni. Tiap kali hujan, kena tadah baldi. Habis tempat Kak Mah nak menjahit tu.”
Sudin tak sampai hati nak menyusahkan kakaknya. Dia boleh tangguhkan dulu. Sekarang dia bekerja dengan Haji Zaki. Pandai-pandailah dia kumpul duit.
“Kak Mah rasa ralat sangat. Patutnya Din dah pergi belajar.” Berkaca-kaca tubir mata Salmah.
Tipulah kalau dia tak kecewa. Dia nak sangat tengok adiknya pergi belajar di universiti sama seperti kawan-kawan adiknya yang lain.
“Kak Mah janganlah sedih. Din okey aje. Patutnya Kak Mah suka sebab Din boleh temankan Kak Mah lagi.”
Berdecit lidah Salmah.
“Kak Mah tak kisah pun duduk sorang-sorang. Sampai masa, Din pun kena belajar juga. Jangan nak mengelak.”
Sudin ketawa kecil.
“Din pernah berangan. Kalau Din ada duit, Din nak besarkan rumah ni untuk keselesaan Kak Mah.”
“Tak perlulah. Rumah ni dah cukup besar untuk kita berdua.”
Salmah tak suka menyusahkan adiknya. Apa yang ada sekarang, dia sudah cukup bersyukur. Asalkan mereka ada tempat untuk berteduh.
“Hidup Kak Mah sekarang, nak pastikan Din berjaya dan capai cita-cita Din.”
“Kak Mah jangan fikirkan tentang Din aje. Takkan Kak Mah tak nak kahwin?”
Berkerut dahi Salmah.
“Kahwin?”
“Yalah. Umur Kak Mah dah 26 tahun. Layak sangat dah nak kahwin.”
“Amboi, Din tu baru 20 tahun! Dah memandai cakap pasal kahwin.” Telinga adiknya dicubit geram.
Mengekek Sudin ketawa. Nak juga dia lihat kakaknya berkahwin tapi biarlah dengan orang yang tepat.
“Kak Mah rela membujang. Daripada jadi isteri muda atau hidup dengan lelaki tua.”
Geli pula Salmah terfikirkan hal itu. Ada aje yang melamar dia. Masalahnya semuanya suami orang. Ada juga yang terlajak usia.
“Din masuk bilik dululah. Mengantuk.”
“Hmm… yalah.”
Sudin masuk ke dalam bilik lalu pintu ditutup rapat. Dia keluarkan telefon bimbit daripada laci meja. Tak sabar untuk bermesej dengan gadis itu. Salah satu sebab dia tak nak sambung belajar, hatinya berat untuk tinggalkan Safa.
❤️❤️❤️
TERLALU pantas masa berlalu. Dah dua tahun Safa duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa. Nak sambung belajar pun, abah tak pernah memaksa.
Hubungan dia dan Sudin masih lagi berjalan. Entah kenapa dia masih belum melepaskan lelaki itu. Mungkin sebab lelaki itu saja yang ada untuk mengisi kesunyian dirinya.
Rozie pula sudah menyambung pelajarannya di UiTM. Mereka berdua pun dah jarang berjumpa. Itu yang buat hidupnya bertambah sunyi.
Pon!
Terperanjat Safa. Hampir saja dia terbabas menunggang basikalnya ke tepi. Matanya mencerun tajam ke arah lelaki itu.
“Nak ke mana?”
“Sibuk ajelah.”
Lelaki itu ketawa kecil.
“Kau makin cantik sekarang. Nyaris aku tak kenal kau.”
Safa julingkan biji mata. Malas betul dia nak mendengar ayat Farid.
“Aku dengar kau masih dengan Sudin.”
Laju kepala Safa menoleh ke arah lelaki itu.
“Kau ni memang bodoh. Dalam ramai-ramai lelaki yang elok, budak bau getah itu juga yang kau suka.”
Terketap-ketap rahang Safa.
“Aku cuma nak sedarkan kau. Kau tu kira bertuah sebab hidup dalam keluarga berduit. Takkanlah kau nak hidup dengan lelaki miskin tu? Dahlah setakat kerja toreh getah. Terperuk aje dekat kampung ni.”
Farid sengaja nak sakitkan hati Safa. Biar gadis itu sedar yang Sudin memang tak layak untuknya.
“Aku dengan Sudin hanya berkawan. Aku tak bodohlah nak cari lelaki miskin sebagai suami.”
Ceria wajah Farid.
“Kiranya aku masih ada peluanglah?”
Mencebik bibir Safa.
“Kau pun sama aje. Lebih teruk daripada lelaki miskin tu. Kau ingat aku tak tahu yang kerja kau tu hanya habiskan duit bapak kau?”
Terus berubah air muka Farid.
“Aku kalau nak cari suami, cari yang ada kerjaya bagus. Ada kereta besar. Bukan macam kau.”
“Hei, perempuan! Kau pun bukannya bagus sangat. Setakat hidup menumpang harta keluarga sendiri, tak payahlah kau nak berlagak!”
“Aku ni perempuan. Tak salah pun kalau aku masih dijaga keluarga sendiri. Kau tu yang patut sedar diri!”
Puas hati Safa dapat kenakan Farid. Dia terus mengayuh basikalnya meninggalkan lelaki itu.
Sakit hati juga dia apabila dihina oleh lelaki itu hanya disebabkan berkawan dengan Sudin. Tak guna! Pasti orang kampung tahu tentang hubungan rapatnya bersama Sudin.
Tak boleh jadi ni. Dia perlu tamatkan hubungan mereka secepat mungkin. Kalau sampai ke telinga Haji Zaki, dia juga yang teruk kena bebel nanti.
🥶🥶🥶
YOU ARE READING
Cahaya Buat Safa ( Revamp) -Akan datang-
Любовные романыDibuka Mac nnt. Dan ekslusif berada di KLAB 2024 pada 22 feb-25 Feb nanti di Pasar Seni.