“SAFA!”
Terhenti langkah Safa. Dia berpaling ke belakang. Melihat kelibat lelaki itu, keluhan kasar terlepas daripada bibirnya.
“Kejap. Tunggu abang!” Dari jauh Sudin memanggilnya sambil berlari-lari anak. Tercungap-cungap nafasnya di hadapan gadis itu.
“Nak apa?” Dingin Safa menyoal. Sudahlah mood dia dalam keadaan tak baik sekarang. Abah pula semakin kedekut. Nak mintak sepuluh ringgit pun dah berkira.
“Abang nak bagi ni.” Tersengih-sengih Sudin. Dia hulurkan satu plastik makanan kepada gadis idamannya itu.
“Apa ni?”
“Bubur nasi. Abang dengar, Safa tak sihat. Jadi abang belikan bubur ni. Rezeki abang, dapat jumpa Safa.”
Safa julingkan biji mata. Meluat pula dia mendengar lelaki ini menggunakan gelaran abang. Kalau dulu dia yang terpaksa berpura-pura memanggil Sudin dengan gelaran itu. Sekarang, mendengar panggilan itu pun dia dah tak mahu.
“Safa tak makanlah bubur tepi jalan ni. Lebih baik abang simpan dan makan sendiri. Diri sendiri tak terjaga, ada hati nak jaga orang.”
Terus berubah raut wajah Sudin. Dia tersenyum kelat. Sejak beberapa hari ini dia perasan sikap Safa semakin dingin. Nak kata dia ada buat salah, rasanya tak ada.
“Abang ikhlas nak bagi. Ini abang beli dengan duit sendiri lepas dapat upah kutip getah.”
“Patutlah bau busuk sangat.”
Sudin hidu baju yang melekat di tubuhnya. Memang ada sedikit bau. Dia jarakkan sedikit tubuhnya daripada gadis itu.
“Abang minta maaf kalau buat Safa tak selesa. Abang dari ladang tadi.”
“Tak tanya pun. Dahlah, Safa nak balik. Panas ni.”
“Ambillah bubur ni.” Sudin masih lagi berharap gadis itu menerima pemberiannya.
“Kau ni memang tak reti bahasa ke apa? Aku cakap tak suka tu, tak sukalah!” Dek terlalu marah, tangan lelaki itu ditepis kasar.
Sudin yang tidak bersedia menyebabkan plastik makanan itu terlepas daripada tangannya. Bekas bubur itu pecah saat terhempas di atas tanah. Terkedu lelaki itu. Safa turut tergamam.
Terkilan Sudin melihat makanan itu sudah rosak. Dia tunduk dan mengutip plastik makanan tadi. Walaupun ada rasa kecil hati mendengar panggilan aku dan kau di bibir gadis itu, dia cuba bersangka baik. Boleh jadi, Safa dalam keadaan mood tidak baik hari ini.
“Tak apalah. Salah abang sebab paksa Safa terima. Safa suka makan apa? Beritahu abang. Nanti abang belikan.”
Berdecit lidah Safa. Takkan lelaki ini masih tak faham lagi? Selama ini pun dia hanya pergunakan lelaki itu ketika dia perlukan sesuatu saja.
“Tak payahlah membazir. Simpan aje duit tu untuk diri sendiri. Safa ni bukan sesiapa dalam hidup abang.”
“Safa penting dalam hidup abang. Sebab tu abang susah hati bila tahu Safa sakit.”
Safa picit kepalanya yang tidak pening. Bercakap dengan lelaki ini, memang selalu nak menang saja.
“Abang sebenarnya nak kongsi berita gembira dengan Safa.”
“Apa dia?” Acuh tak acuh dia menyoal. Rambutnya yang panjang, diselak ke belakang.
“Abang dah cukup duit nak beli motosikal. Nanti kalau abang dah beli, bolehlah bawa Safa jalan-jalan.”
Nak tergelak Safa. Setakat motosikal terpakai tu, dia pun tak ingin nak naik. Ingatkan apalah berita gembira lelaki itu.
“Itu aje?”
YOU ARE READING
Cahaya Buat Safa ( Revamp) -Akan datang-
RomantizmDibuka Mac nnt. Dan ekslusif berada di KLAB 2024 pada 22 feb-25 Feb nanti di Pasar Seni.