Bab 6

73 6 0
                                    

MARJAAN menyambut kedatangan Atillya dan Zahra di muka pintu utama. Mereka berpelukan mesra, tertawa tanpa sebab kemudian saling melompat riang seperti anak kecil dibawa ke taman permainan.

"Wehhh... Rindunya aku kat kau orang berdua!" kata Marjaan dengan suara yang agak kuat.

"Kami pun rindukan kau. Memang tak bestlah sejak kau tak ada di KL."

"Dua minggu cuti ni... kita nak buat apa?" tanya Atillya separuh berbisik.

"Dahlah rancangan nak jalan-jalan di Kota Bharu tak jadi. Siapa hantar kau balik?"

"Ayah aku," jawab Marjaan lemah. "Tapi kau nak dengar tak cerita pasal ustaz aku?"

"Ustaz kau? Apa cerita ustaz kau tu? Dia ajak kau keluar dating?" tanya Zahra tidak sabar.

"Merepeklah. Tak mungkinlah dia akan ajak perempuan keluar. Alim gila kut!"

"Yang penting, ustaz tu handsome ke tak? Bujang lagi?"

Marjaan hanya mengangkat bahu.

"Jom masuk bilik akulah. Kita borak kat atas," kata Marjaan.

"Okey," balas Zahra dan Atillya hampir serentak.

"Tapi sebelum tu jawablah dulu, ustaz kau tu dah kahwin ke belum?" Zahra masih mendesak ingin tahu.

"Entah, aku rasa belum. Kalau kau boleh memilih, kau nak yang handsome tapi kuat membebel, bersyarah ataupun kau nak yang tak berapa nak handsome tapi baik hati, sweet talker?" soal Marjaan sambil tersengih.

"Alaaa..." Zahra tidak puas hati kerana tidak mendapat jawapan yang diingini.

Sebelum mereka bertiga bergerak naik, Puan Mahani turun terlebih dahulu dari tingkat atas. Dia memerhati wajah ketiga-tiga remaja itu yang kelihatan begitu ceria.

"Apa yang riuh-riuh ni?" tanya wanita yang bergaya elegan itu.

"Mama! Atillya dan Zahra datang ni."

Puan Mahani memandang sahaja wajah Atillya dan Zahra silih berganti. Matanya menelanjangi seluruh wajah dan tubuh mereka. Atillya mengenakan seluar jean ketat paras lutut dan baju T senteng. Rambutnya yang pendek diwarnakan perang. Sementara Zahra memakai pakaian yang lebih sopan, skirt kembang warna biru laut dan blaus putih lengan panjang.

Dia tidak sangka Marjaan masih berhubung dengan rakan-rakannya di Kuala Lumpur. Sebaik pulang sahaja, mereka terus mengunjunginya. Puan Mahani tidak suka kerana tahu kedua-dua anak itu agak liar.

"Mama nak pergi butik. Kau jangan pergi ke mana-mana. Nanti merayap tengah malam baru balik," tegas Puan Mahani mengingatkan Marjaan.

"Taklah, mama... Jaan akan duduk di rumah saja sepanjang hari ni. Kita orang akan lepak di bilik. Tak pergi mana-mana," jawab Marjaan sambil mengajak teman-temannya naik ke tingkat atas.

Zahra dan Atillya masuk ke kamar tidur Marjaan. Kamar itu besar dan lengkap segalanya. Ada katil bersaiz queen yang ditutupi cadar beropol warna pink. Di satu sudut terletak meja tulis dan kerusi. Ada juga sofa tunggal warna merah di tepi tingkap. Televisyen terletak di satu sudut lain. Kamar itu bagai syurga bagi Marjaan jika dibandingkan dengan bilik kecilnya di rumah babah.

Zahra mencampakkan tubuh ke atas katil Marjaan yang empuk. Tubuhnya mendarat damai di situ. Dia terus baring telentang merenung siling putih bersih. Atillya pula berdiri di tepi tingkap memerhati ke bawah. Dilihatnya kereta Puan Mahani bergerak keluar dari ruang porch menghala ke luar.

"Mama kau macam tak suka aje kami datang," kata Atillya sambil berpaling pada Marjaan yang sudah pun duduk di atas katil, di samping Zahra. Atillya duduk di sofa bersayap berdekatan tingkap.

Marjaan PermatakuWhere stories live. Discover now