Bab 10

58 4 1
                                    

SEJAK kedatangan Mak Busu, Marjaan perasan sesuatu. Bapanya semakin kerap membawa pulang tetamu. Jika dahulu, tetamu yang datang hanya Nawfal Husaini dan Ustaz Wadie, sekadar untuk mengopi dan mencicip pisang goreng yang dibeli, tetapi kini lain pula ceritanya.

"Siapa yang nak datang makan tengah hari, Mak Busu?" tanya Marjaan yang baru sahaja selesai menyiang ikan.

"Ibu bapa Ustaz Wadie. Dato dan Datin tu... Takkan Marjaan tak kenal? Dia kan YB yang terkenal di daerah ni. Mak Busu yang baru duduk di sini pun tahu perihal dia."

"Manalah Jaan tahu pasal politik-politik ni semua," kata Marjaan sambil mencebirkan bibirnya. Dia tidak berminat langsung hendak mengambil tahu tentang politik.

"Tu lah, asyik tengok TikTok dengar lagu sahaja. Ambil tahulah sikit pasal politik," kata Mak Busu sambil menyiku pinggang Marjaan. Gadis itu spontan mengelak.

"Tak minat." Ringkas jawapan Marjaan.

"Nak buat apa lagi ni, Mak Busu?"

"Tolong kupas dan potong buah labu tu. Nak buat sayur lemak," arah Mak Busu sambil mulutnya dimuncungkan ke arah sebiji buah labu yang terletak di atas meja.

Marjaan mengambil pisau lalu mengupas buah labu itu. Beberapa kali dia mengeluh lantaran terasa susah hendak mengupas kulitnya yang keras. Sambil mengupas, dia teringat pada minggu lepas, Nawfal Husaini datang makan tengah hari di rumah ini. Sekilas dia terbayangkan wajah lelaki itu. Dia merasakan ada satu perubahan ketara. Nawfal Husaini seperti mengelak untuk bertembung dengannya di sekolah.

Mengapa agaknya? Bukankah hari itu dia seperti ingin menyatakan sesuatu yang penting? Tetapi sepanjang minggu lepas, semasa di sekolah Marjaan langsung tidak berkesempatan untuk bertemu pandang dengannya. Malah lelaki itu akan menunduk ataupun melencong ke arah lain sekiranya dia terlihat Marjaan berjalan sendirian di kaki lima sekolah.

Pelik betullah! bisik hati Marjaan.

Aduh! Marjaan tersentak apabila pisau di tangan, tertoreh sedikit jari telunjuknya. Darah memercik perlahan keluar dari liang-liang luka. Pedih terasa menggigit kulit. Marjaan meletakkan pisau lalu berjalan menghala ke singki. Dia meletakkan jarinya yang terluka di bawah air paip.

"Kenapa?"

"Jari Jaan luka terkena pisau."

"Lain kali hati-hati. Kan dah luka."

"Luka sikit aja ni, Mak Busu," kata Marjaan. Tapi luka dalam hati lebih parah lagi. Rasa seperti sudah tiada ubat bagi menyembuhkannya melainkan berada di samping si dia. Selalu ingin dekat dengannya. Namun apakan daya...

Marjaan membalut lukanya dengan plaster.

"Biar Mak Busu yang kupas dan potong buah labu tu. Karang luka lagi jari tu, siapa yang susah? Mak Busu juga."

"Kau goreng ikan ni. Mak Busu dah bubuh garam kunyit."

"Baik," jawab Marjaan ringkas.

Selesai kerja masak-memasak, Mak Busu dan Marjaan sibuk menghidang. Dato Mukmin dan Datin Noraihan sampai tidak lama kemudian bersama Ustaz Wadie. Marjaan sempat menjeling sejenak ke tengah rumah dan mendapati Nawfal Husaini tiada bersama. Lelaki itu tidak dijemput ayahnya makan tengah hari di sini. Marjaan sedikit kecewa.

Datin Noraihan turun ke dapur, melihat apa yang dilakukan Mak Busu. Marjaan sedang menyiapkan puding. Puding jagung itu disediakan lebih awal. Semasa hendak menghidang, dia hanya menghiasnya dengan Nata De Coco dan buah strawberi segar.

"Sedap nampaknya puding tu," tegur Datin Noraihan dengan ramah.

"Datin... Buat apa turun ke dapur? Di sini faham-faham sahajalah. Nanti habis bajunya kotor," kata Mak Busu membalas keramahan wanita itu dengan mesra.

Marjaan PermatakuWhere stories live. Discover now