Bab 14

47 4 0
                                    

DIAM-DIAM pada setiap kesempatan, jika bertembung di mana-mana bahagian di sekolah, mereka akan saling bertatapan sejenak dan berbalas senyuman. Kemudian semuanya berakhir seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Bagai angin lalu dan singgah sejenak, membawa salam kasih dan rindu. Dalam diam-diam juga ada mata liar yang memerhati. Mata yang mula mengesyaki wujudnya perhubungan rahsia antara mereka.

Minggu ni ana balik KL.

Beritahu Nawfal Husaini melalui WhatsApp.

Kenapa?

Nak beritahu ibu ana pasal anti.

Apa yang ustaz nak beritahu?

Ana dah jumpa bakal isteri.

Ustaz!

Apa?

Saya tak nak kahwin lagi. Kenapa cepat sangat?

Perkara yang baik bukankah harus dipercepatkan?

Ustaz, tolonglah. Sekurang-kurangnya biar hingga saya tamatkan tingkatan enam.

Ana bimbang anti disambar orang.

Kebimbangan itu mungkin tidak berasas bagi Marjaan. Tapi bagi lelaki seperti Nawfal Husaini, dia bagaikan sudah dapat meneka. Ada beberapa orang yang bagaikan sengaja mencipta sengketa dengannya. Dan yang paling jelas, Ustaz Wadie. Lelaki itu suka mencari kesalahannya dan melaga-lagakannya dengan Ustaz Hanafi.

Sejak kebelakangan ini, Ustaz Hanafi sudah kurang beramah mesra dengan Nawfal Husaini. Bicaranya serius sahaja dan sering menjurus kepada masalah-masalah di sekolah. Jika dahulu dia sering diajak mengopi selepas isyak di beranda rumahnya. Namun kini Ustaz Hanafi sering kali pulang awal sebaik sahaja selesai solat isyak. Ustaz Hanafi menjadi agak pendiam apabila berhadapan dengan Nawfal Husaini. Di samping itu, Ustaz Hanafi sibuk pada setiap hujung minggu memenuhi pelbagai undangan ceramah di seluruh negeri.

"Ana terpaksa menyediakan bahan-bahan untuk ceramah. Ana agak sibuk sikit. Hanya selepas isyak masa yang ada," kata Ustaz Hanafi.

"Kalau ustaz perlukan pertolongan ana, ana boleh tolong buatkan isi ataupun point untuk ceramah. Taklah ustaz serabut sangat berfikir bermacam-macam perkara," tawar Nawfal Husaini.

"Tak mengapa, ustaz. Ana boleh urus semuanya," balas Ustaz Hanafi dan segera meninggalkan Nawfal Husaini.

Apakah ini semua hanya perasaanku sahaja? soal Nawfal Husaini. Rasa bersalah menyelinap perlahan-lahan ke dalam hati kecilnya. Kenapa dia harus menjalin hubungan penuh rahsia ini dengan Marjaan? Jika hal itu terbongkar lalu diketahui umum, dia akan dipaliti rasa malu yang bukan sedikit. Dia seorang guru agama dan Marjaan itu muridnya. Apakah salah jika mereka saling mencintai? Bukankah cinta itu anugerah terindah kepada makhluk yang hidup di bumi Tuhan ini? Dan cinta itu perlukan restu daripada pemiliknya Yang Maha Agung.

"Umi," tegur Nawfal Husaini sebaik sahaja muncul di hadapan pintu rumah agam milik ibu bapanya.

Nawfal Husaini menyalami tangan Puan Siti Adura lalu menunduk dan mencium tangan ibunya itu. Puan Siti Adura senang dengan akhlak yang ditunjukkan oleh Nawfal Husaini. Memang sikapnya amat berbeza dengan adik-beradiknya yang lain.

"Tak beritahu nak balik. Alih-alih sudah ada di depan pintu," kata Puan Siti Adura.

Nawfal Husaini hanya tertawa kecil. Puan Siti Adura memegang kedua-dua belah pipi anaknya dengan mesra.

"Nampak berseri-seri sahaja muka tu! Ada apa-apakah?"

"Tak adalah, umi," balas Nawfal Husaini.

Seorang ibu tahu hati anaknya dengan hanya melihat wajah. Sedih atau gembira, semua dapat dibaca. Dan telahannya selalu tepat.

Marjaan PermatakuWhere stories live. Discover now