Cinta itu datang dalam banyak cara. Salah satunya, jatuh cinta di dalam ETS. Saling tak kenal antara satu sama lain, namun hati mula terasa sesuatu yang berbeza.
Sejak tadi, anak mata aku hanya melekat pada lelaki yang baru melangkah masuk dalam ETS. Lelaki yang dalam pakaian serba hitam, tetapi aura dia terasa nyaman pada hati aku.
Senyuman dia...
Renungan redup mata dia...
Potongan kemas rambut hitam dia...
Semuanya nampak sempurna pada anak mata aku. Tak ada satu pun yang kurang. Rasanya ini kali pertama aku nampak lelaki yang luarannya cukup sempurna selepas abah.
Spontan, aku pegang jantung yang berdegup kencang. Sebelum lambat-lambat, bibir tersenyum nipis dan mata masih melekat pada lelaki yang berdiri di depan pintu koc.
Dan bila mata kami bertembung, serta-merta aku tunduk dan pandang ke lantai ETS. Berderau habis darah dalam badan. Rasa nak pengsan pun ada.
Jammed, aku kantoi!
Aku tampar paha sendiri berkali-kali untuk menghilangkan debaran yang menggila di dada. Aku tak pernah buat kerja gila. Dalam adik-beradik, aku yang paling rasional dan sentiasa berpijak pada bumi yang nyata.
Kenapa sekarang, aku jadi persis perempuan yang gila bayang?
Macam mana aku yang sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling boleh jatuh cinta pada lelaki asing?
Lelaki yang baru muncul dalam hidup aku tak sampai lima minit?
"Kenapa dengan kau, Taliya?" omel aku seraya menggelengkan kepala.
Sesungguhnya, cinta itu memang gila. Mampu menukar orang yang waras jadi gila hanya melalui satu pandangan mata.
Malas nak melayan perasaan yang bukan-bukan, aku pejam mata dan genggam erat telefon yang berada dalam tangan. Ini semua hanya mainan perasaan. Selang beberapa minit atau jam, aku yakin perasaan ini akan hilang begitu saja. Takkan tinggal secebis pun dalam hati.
Tak sampai lima detik, pelupuk mata aku kembali terbuka bila ada suara garau yang menjengah ke gegendang telinga. Dan dalam sekelip mata, jantung aku berdegup kencang semula dan mata terjegil luas.
Lelaki tadi!
"Hai... Assalamualaikum," tegur dia sambil melabuhkan punggung di sebelah kanan aku.
"Errr... hai." Aku angkat tangan sama paras dengan bahagian telinga dan agak kekok. Padahal aku yang usha anak teruna orang tadi sampai tahap nak meleleh liur.
"Hai aje, saudari?"
Erk, saudari?
Skema badaknya!
Lelaki ni muncul dari zaman mana?
Pakaian moden walaupun serba hitam. Pakai telefon pula model yang paling terkini. Tapi bahasa, masih duduk di zaman Hang Tuah. Atau dia cuma bersopan santun sesama manusia sejagat?
"Kenapa saudari tak jawab salam saya?"
Aku garu pipi yang terasa miang. Soalan dia sangat mudah. Tapi entah kenapa, aku mati kutu. Hilang habis segala kosa kata yang tersimpan dalam akal fikiran.
"Jawab salam tu wajib, wahai saudari yang cantik lagi menawan." Dia tersenyum manis pada penutup ayat.
Malangnya, aku rasa itulah senyuman paling sinis sekali. Dalam kemanisan ada racun yang tersembunyi. Berbahang panas muka aku menahan malu yang bagai tiada kesudahan.
"Waalaikumusssalam." Perlahan aje nada suara aku. Seakan-akan sedang bermonolog dengan diri sendiri.
"Hurmm... merdu sungguh saudari. Saudari penyanyi ke?"