Dari satu stesen ke satu stesen, kami bersembang dan tanpa henti. Sangat rancak dan menjadi punca hubungan kami berdua makin bertambah erat.
Tup-tup, ETS dah sampai di Stesen Sungai Buloh. Tak sampai setengah jam, aku dan Tuah bakal berpisah bila ETS berhenti di KL Sentral a.k.a stesen yang terakhir.
Tapi persoalannya sekarang, bakal berakhir ke hubungan kami berdua? Atau ada harapan untuk ke jinjang pelamin?
Kalau tengok daripada cara kami bersembang, rasanya ada harapan. Malah, lebih cerah daripada lampu stadium. Cuma hati masih rasa waswas. Risau bila turun dari ETS, lain pula hala tuju hubungan Taliya dan Ahmad Tuah Eskandar.
"Awak okey, Taliya?' Dia cuit bahu aku dengan hujung jari.
"Sangat okey." Aku senyum, namun ibarat ada sesuatu yang terkurang. Perkara biasa bila tengah susah hati.
"Kalau okey, kenapa awak senyap?"
"Sedar tak sedar, kita dah sampai Stesen Sungai Buluh." Terlepas keluhan panjang dari celah bibir aku.
"Awak sedih nak berpisah dengan saya?" Dia tersenyum nakal pada penghujung soalan.
Laju aku anggukan kepala. Malas nak berdolak-dalik. Buat buang masa aje. Lebih senang cakap straight forward.
Terus dia menatal skrin telefon. Tak sampai lima saat, notifikasi WhatsApp telefon aku berbunyi. Menandakan ada pesanan WhatsApp yang baru masuk.
"Saya dah WhatsApp awak. Bila-bila masa awak boleh WhatsApp atau call saya lepas ni. So, jangan risau."
Sepanjang perjalanan ke KL Sentral, banyak kali juga aku kena denda. Jadinya, hanya dia yang berjaya dapat nombor telefon aku. Aku pula cuma berjaya dapat tiga angka pertama nombor telefon dia. Memang tak membantu langsung.
Tersengih-sengih aku pandang nombor telefon yang tertera pada skrin telefon. Makin sengih selepas baca pesanan WhatsApp Tuah yang pertama.
-Assalamualaikum, bakal jodoh saya.-
Itu pesanan WhatsApp yang aku akan star. Dan, ulang baca setiap hari tanpa bosan. Kerana ayat tu sangat bermakna dalam hidup.
"Awak takkan marah walaupun saya WhatsApp awak tengah malam?" Bergilir ganti aku pandang antara muka hensem Tuah dan skrin telefon.
"Kenapa saya nak marah perempuan yang saya sayang?"
Dengar aje perkataan 'sayang'. terus mood aku mencanak naik. Memek muka pun berseri semacam. Ibarat bakal pengantin.
"Awak ada berapa adik-beradik, Tuah?"
Dah berjam-jam kami bersembang, sekarang baru aku buka topik keluarga. Kalau nak bercinta sampai tahap kahwin, kenalah kenal ahli keluarga masing-masing. Betul tak?
"Saya anak tunggal." Dia bercakap tanpa pandang muka aku. Anak matanya menghala ke bawah bersama kedua-dua belah tangan yang tergenggam erat.
Bahasa badan dia sesuatu sangat. Seolah-olah isu keluarga pun satu topik yang agak sensitif pada lelaki bernama Tuah.
"Saya pula tiga beradik. Ada seorang abang dan seorang adik lelaki. Saya anak nombor kedua dan satu-satunya anak perempuan ibu dan abah saya."
Aku pilih untuk bercerita tentang keluarga sendiri dan tiada ulasan tambahan tentang keluarga Tuah. Nak mengelak dia makin rasa tak selesa. Memang aku curious dengan tingkah laku dia, tapi tak boleh terlampau mendesak sangat. Takut dia stres.
"Awak anak kedua?" tanya dia bagai tak percaya. Anak mata dia melilau pandang aku atas bawah.
"Saya bersyukur sangat saya anak kedua. Kenapa awak tak percaya?"
"Saya percaya awak anak kedua. Cuma saya ingat awak anak sulung. Awak ada vibe anak sulung."
"Ooo... terpaksa jadi anak sulung bila ada abang yang jenis tiga suku. Tapi, awak jangan salah faham. Keturunan saya semua sihat-sihat." Sebelum dia salah faham, lebih baik aku terang siap-siap. Risau dia salah tafsir maksud 'tiga suku' aku.
"Along suka loyar buruk. Tak pernah serius, tapi dia baik. Dia bank bergerak saya juga." Untung sungguh ada abang yang jenis berada. Minta aje apa pun, semua akan dapat semudah ABC.
"Nanti biar saya sorang yang jadi bank bergerak dan tabung amanah awak, Taliya. Jangan minta dekat along dah. Lagi-lagi lepas kita kahwin."
"Awak nak kahwin dengan saya?" Macam orang bodoh aje suara dan ekspresi muka aku.
Walaupun dah banyak kali Tuah bagi hint, aku tetap juga tanya untuk double confirmation. Kerana confirmation itu sangat penting untuk mengelak aku delulu sorang-sorang.
"Saya jatuh cinta memang untuk berkahwin. Baru perasaan sayang dan cinta saya tak sia-sia. Saya bukan jenis lelaki yang suka mainkan perasaan perempuan," Dia tenung mata aku dalam-dalam.
Dan yang aku nampak, cuma keikhlasan Tuah. Ayat dia datang dari hati. Bukan hanya mainan mulut seorang lelaki semata-mata.
"Walaupun kita baru kenal lima jam?" Aku tunjuk tangan sebelah kanan untuk highlight lagi perkataan 'lima jam' yang baru saja meniti di bibir.
"Seumur hidup, sayang." Dia lukis bentuk love di atas angin.
"Kita ada seumur hidup untuk saling kenal antara satu sama lain. Betul tak?" olah dia lagi sebagai pelengkap ayat.
"Awak bukan penjenayah kan, Tuah?"
Entah macam mana, soalan itu yang meluncur keluar dari bibir aku. Dan akhirnya, aku hanya mampu tersenyum malu bila dia nampak tergamam dengan soalan aku.
"Jenayah yang saya buat sekarang, saya cuma curi ruang dalam hati awak. So, awak rasa saya penjenayah atau tak?"
Aku ketawa kecil sambil menggelengkan kepala.
Sesungguhnya, dia lelaki yang buat aku rasa tenang dan selamat. Perasaan yang hanya muncul bila berada bersama abah dan adik-beradik lelaki aku.
Sebab itu, aku mudah sangat terima Ahmad Tuah Eskandar. Aku berani ambil risiko paling besar dalam hidup. Dia ada sesuatu yang aku cari sebagai peneman hidup.
p/s: agak-agak cerita Tuah dan Taliya happy ending atau sad ending?