"Tasek Gelugor bermula dengan huruf T, kan?"
Macam orang bodoh, aku anggukan kepala sebagai jawapan.
"So setiap jawapan untuk soalan saya dan awak nanti, wajib bermula dengan huruf T. Dan akan bertukar pada huruf lain, bila sampai ke stesen yang seterusnya. Sebagai contoh, selepas T will be..."
Tuah menatal skrin telefon. Mungkin dia tengah mencari maklumat hentian stesen ETS yang seterusnya.
"P untuk Parit Buntar. Awak faham, Taliya?" tambah dia selepas beberapa minit.
"Jadi selagi tak sampai stesen Parit Buntar, setiap jawapan wajib ada perkataan bermula huruf T?" tanya aku untuk kepastian. Takut aku salah faham.
"Yup, betul! Pandai Taliya saya."
Arghh, aku suka pujian dia! Rasa ibarat aku wanita paling bijak dalam dunia. Kalah Albert Einstein.
"Tapi kenapa nak kena buat macam ni?" Aku garu hujung kening.
"Untuk mengelak kita rasa macam tengah berada dalam dewan peperiksaan. Bosan juga kalau asyik jawab dengan cara biasa. Rasa skema badak sangat." Dia tergelak halus.
Bila fikir balik, ada betul juga kata-kata Tuah. Bosan juga kalau asyik jawab soalan dengan cara biasa. Rasa tak mencabar. Sekurang-kurangnya kalau guna cara dia, sel-sel otak kami berdua akan bersambung. Taklah terkurung dalam ETS.
"Ada peraturan lain tak?" Nama pun game. Sah akan ada peraturan bukan?
"Jangan menipu. Tak baik mula sebuah hubungan dengan penipuan."
Terangguk-angguk kepala aku tanda setuju sebelum tanya soalan yang lain pula.
"Akan ada kalah dan menang?"
"Tak ada kalah atau menang. Tapi ada denda."
"Maksud?" tanya aku sepatah.
"Kalau tak ikut peraturan, orang yang salah akan kena denda."
"Apa denda dia?" tanya aku lagi selepas anggukan kepala, tanda faham.
"Orang yang kena denda, wajib bagi nombor telefon. Tapi bukan reveal semua nombor serentak. Awak boleh faham tak, Taliya?"
"Kalau baru kena denda kali pertama, hanya reveal angka depan aje dulu. Denda yang kedua, reveal angka yang kedua pula. Betul tak, Tuah?"
"Betul. Ternyata Taliya saya memang pandai."
Aku tayang muka bangga.
Kiranya kalau nak nombor telefon Tuah, aku kena denda dia sebanyak 10 ke 11 kali. Kalau denda dia setakat satu atau dua kali, mana mungkin aku akan dapat nombor telefon dia.
Uishh, rasa mencabar gila!
"Okey. Siapa nak mulakan dulu? Saya atau awak, Tuah?" Aku jeling pada skrin televisyen ETS. Dalam masa tak sampai seminit, ETS akan berhenti di Stesen Tasek Gelugor.
"Sebagai seorang lelaki, saya akan mula dulu. Baru layak jadi imam awak. Betul tak, Taliya?"
"Ya, baru layak jadi imam saya atau mana-mana perempuan yang bakal jadi jodoh awak."
Itu bukan ayat jual mahal. Cuma peringatan kecil supaya hati tak terleka dengan keindahan bersama Tuah. Takut semua ini hanya sementara.
"Saya harap jodoh saya dengan awak." Dia tenung muka aku penuh kasih.
Aku hanya tersenyum. Tapi dalam hati, aku mengaminkan ayat dia. Dengan harapan ayat spontan dia bakal menjadi doa yang diterima oleh Tuhan.
"Apa makanan kegemaran awak, Taliya?" soal Tuah sebaik saja ETS berhenti di Tasek Gelugor. Itu tandanya permainan kami berdua dah bermula.