Part 10

384 24 18
                                    

Seminggu yang bersamaan tujuh hari.

Seminggu yang terasa sangat panjang.

Seminggu yang aku rasa seperti setahun.

Semuanya gara-gara lelaki yang bernama Ahmad Tuah Eskandar.

Selepas pesanan terakhir di hadapan KL Sentral, dia hilang terus. Tak tinggal sebarang jejak langsung kecuali pada hati dan kotak ingatan aku.

Paling menyakitkan hati, dia block nombor telefon aku. Termasuk akaun media sosial aku. Bukan selepas sehari dua, tetapi malam itu juga. Padahal tak sampai 12 jam lagi kami berpisah.

Apa salah aku?

Kenapa dia hukum aku macam ni?

Kami berpisah di KL Sentral dengan cara baik. Dengan luahan kasih sayang. Bukannya kami bergaduh atau lawan maki antara satu sama lain.

Tapi, kenapa dia kejam dengan aku?

Kenapa dia aniaya seorang perempuan yang baru belajar untuk berkasih sayang dan bercinta?

Takkan aku mangsa love scam?

Memang aku tak rugi duit atau harta benda. Tapi, aku telah kehilangan benda yang lebih bernilai daripada duit atau barang kemas. Aku hilang hati dan maruah diri aku sebagai perempuan.

Hilang maruah diri tak bermaksud aku dan Tuah pernah buat perkara yang bukan-bukan. Aku hilang maruah diri kerana mudah percaya pada lelaki seperti Tuah. Lelaki yang baru aku berjumpa tak sampai 24 jam.

Selama 25 tahun, aku jaga hati dan perasaan aku. Hanya dengan dia, aku langgar segala pantang larang. Tapi, kenapa dia buat aku macam ni?

Salah ke aku jatuh cinta pada orang yang baru pertama kali bertemu?

Bukan itu maksud jatuh cinta pandang pertama?

"Arghh, Tuah!" Aku lempar telefon yang berada dalam genggaman ke arah pintu bilik. Berkecai telefon dek jatuh terhempas ke atas lantai. Sama berkecai dengan hati aku sekarang.

"Perasaan saya pada awak tulus. Bukan main-main. Saya berani sumpah atas arwah mama saya."

Segala kata-kata Tuah kembali berlegar dalam akal fikiran seperti pita rakaman. Dan setiap kali teringat suara tenang dia, hati aku ibarat kena hiris dengan pisau tumpul. Luka yang terbentuk sedikit demi sedikit. Dan akhirnya, meninggalkan parut yang paling dalam di hati aku.

"Kenapa, Tuah?" tempik aku bersama air mata yang bergenang di tubir mata. Hidung terasa pedih. Namun, tak sepedih hati aku.

"Kenapa awak bagi saya harapan? Dan awak sendiri juga... yang musnahkan semuanya. Apa salah saya pada awak, Tuah?" bisik aku pada diri sendiri.

Aku pandang lima keping gambar yang bertaburan di atas katil. Gambar selfie kami yang pertama dan terakhir. Gambar yang bersusah payah aku print dekat kedai gambar.

Sayangnya, gambar ini menjadi lambang bukti penipuan Tuah. Senyuman manis dia dalam gambar ibarat racun pada jiwa aku sejak seminggu lepas.

"Saya benci awak, Tuah!" jerit aku sambil koyak setiap gambar kenangan kami menjadi cebisan kecil.

Malangnya perbuatan aku tadi, hanya menjadi punca luka di hati kian parah. Dan aku yakin, biarpun selepas 10 tahun, hati aku takkan sembuh. Malah, akan menjadi trauma paling besar dalam hidup.

"Tuah..." Aku menghela nafas panjang, Sebelum lambat-lambat, aku hembus ikut mulut.

"Awak bukan tuah dalam hidup saya. Tapi awak... malapetaka dalam hidup saya."

Akhirnya, mutiara jernih aku berguguran di pipi. Ini akan jadi air mata yang terakhir aku untuk lelaki bernama Ahmad Tuah Eskandar. Takkan ada lagi air mata atau sekelumit perasaan untuk lelaki munafik seperti dia.

Aku akan benci Ahmad Tuah Eskandar seumur hidup!

Hanya seketika kami bertemu, namun sakitnya seolah-olah tiada penawar.

-TAMAT-


p/s: Macam mana? Happy ending, kan? Minta maaf untuk yang terkurang. Sebenarnya, cerita ni mukadimah sebelum versi panjang. Boleh kira sebagai pilot test kut 😅

Hanya Seketika ✅ - Complete Where stories live. Discover now