Bab 9

1.1K 91 7
                                    

SALAM diberi sejurus kaki melangkah masuk melepasi ambang pintu rumah. Kunci motor dicampak perlahan ke atas meja kayu yang masih dipenuhi dengan barang-barang hantaran Mawar yang masih lagi tidak terusik. Naufal bersandar lemah pada sofa. Penat sungguh harini. Setiap kali stok baru sampai di kedai, pasti banyak tenaga yang harus digunakan pada hari berkenaan.

"Naufal, Mawar ada telefon kamu?" Suara ayah yang tiba-tiba muncul meluaskan kelopak mata Naufal yang tadinya tertutup.

"Tak ada, kenapa? Mawar ada call ayah ke?" Naufal tegakkan tubuh.

"Allah..." Ruang kosong di sebelah anak sulungnya diambil. "Tak adalah. Saja aje ayah tanya. Macam mana dia agaknya, ok ke?"

Naufal mencebik. Belakang badan kembali disatukan pada kusyen sofa yang sudah lusuh. "Uhm... tak ok pun kenalah buat ok, yah..."

"Kalau tak, sampai bila? Zayn tu dah cukup sifat dah. Apa lagi yang dia nak?"

Ayah hela nafas perlahan. "Dia nak kekasih dialah, Naufal... Kamu pun satu, bukan setakat Zayn kau tipu, ayah pun kau tipu. Ayah ni mati-mati ingat Raffael yang masuk meminang haritu Raffael kekasih Mawar." Ayah geleng kepala.

Mendengarkan itu, terlepas tawa kecil Naufal. "Mawar tu, tak tahu berapa ramai perempuan kat luar sana tu nakkan si Zayn tu! Zayn tu pegawai, ayah... Bersanding nanti, Mawar tu boleh lalu bawah pedang tau kalau ayah nak tau? Dah cukup pakej dah Naufal carikan calon suami untuk Mawar. Tak reti bersyukur betullah si mawas tu."

"Pedang? Kamu merepek apa ni Naufal? Zayn tu buat kerja apa sampai main pedang pedang tu? Bahaya!" Serius muka ayah. Postur tubuh ayah yang membongkok berubah sedikit tegap.

"Lah, ayah tak tahu ke yang menantu ayah tu sebenarnya Sword Man?"

"Hah? Menda jadahnya tu Naufal? Cakap melayulah, ayah tak fahamlah."

Naufal tertawa lucu. Geli hati pula. Peha ayah ditepuk sekali sebelum dia bangkit dari duduk, ingin membersihkan diri.

"Naufal nak mandi kejap. Nanti kita makan malam sama-sama tau ayah. Mwahh!" Pipi ayah dicium sekali sebelum langkah dibuka menuju ke bilik air.

*

"HAI Tuan, tergesa-gesa nampak. Tak sabar nak balik jumpa bini ke?" Sarjan Amar yang kebetulan lalu di kawasan parking kereta menegur Zayn. Tadi dia lihat, besar betul langkah Zayn saat menapak keluar dari pintu masuk utama ibu pejabat.

Zayn senyum segaris. Majalah di tangan Amar menjadi perhatiannya. "Buat apa dengan majalah wanita tu?"

Amar tersentak. "Oh!" Majalah yang tadi dipegang sebelah tangan kini naik memegangnya dengan kedua-dua belah tangan. Muka hadapan majalah itu diperhati sebelum disua ke arah Zayn. "Barang baik, tuan!"

Zayn kerut dahi. Diamati wajah model wanita yang dimaksudkan Amar.

"Fuh... idaman para lelaki. Tubuh cutting model tu, tuan."

Majalah di tangan Amar ditarik sedikit kasar. Menggigil tangannya saat tubuh yang cantik terdedah itu, yang sepatutnya hanya menjadi tatapannya, terpampang di majalah, menjadi bahan cuci mata para lelaki.

Majalah yang kelihatan kian renyuk dek cengkaman Zayn, menimbulkan kerutan di dahi Amar sebelum tawa kecilnya meletus perlahan. "Amboi tuan, geram sangat tu. Betul saya cakap kan? Idaman lelaki betul perempuan ni. Dah cantik, seksi pula tu. Kalau dapat ni memang tak lepas, tuan... hahaha."

Dum!

Tubuh Amar didorong ke kereta. Kuat cengkamannya pada kolar seragam yang dipakai oleh anggota berpangkat sarjan itu. "Eh bodoh, perempuan yang dalam majalah tu isteri aku! Isteri akulah sial!"

Membulat mata Amar. Cengkaman Zayn di kolar bajunya dipegang. "T-tuan! Saya minta maaf! S-saya tak tahu tu isteri tuan." Tersekat-sekat suara Amar memohon maaf akan kekhilafannya. Dalam hati tak habis memaki diri, mengenangkan kebodohan diri yang terlalu terbuka bila meluah rasa pada orang yang bukan satu kepala dengannya.

Kolar seragam Amar dilepas kasar. Pintu kereta dibuka lalu majalah wanita itu dicampak ke tempat duduk penumpang. Berombak dadanya menahan gelodak amarah saat telinga menangkap suara lelaki yang asyik memuji kecantikan si isteri.

"Saya betul-betul minta maaf, tuan. Sumpah saya tak tahu!" Jelas terpancar riak serba salah di wajah Amar. Cuak. Kalaulah penumbuk Zayn hinggap pada wajahnya tadi, alamatnya seminggulah dia telan bubur nasi.

Zayn ketap gigi. Nafas dihirup dalam dalam. Cuba meredakan amarah. Sedar, dia tak sepatutnya meletakkan kesalahan seratus peratus pada Amar. Dia juga ada silapnya.

"Maaf tuan, saya tak berniat nak..."

"Jaga tutur kata, jaga mata. Kalau dia bukan isteri aku sekalipun, kau tak sepatutnya berlebihan dalam memuji. Kau kena ingat, bercakap benda yang tidak berfaedah pun mengundang dosa."

Amar gosok belakang tengkuk. Senyum canggung terlakar di wajah. "Saya dengan lelaki je berani borak macam ni tuan, kalau betul-betul depan perempuan, saya ni pijak semut pun tak mati."

"Pijak semut tak mati sebab sembunyi belang sendiri. Kadang apa yang dikatakan itulah yang lahir dari sifat sebenar diri. Kalau benar pemalu, takkan ada kata tak senonoh yang keluar."

Seusai itu, pintu kereta dibuka sejurus kaki melangkah masuk ke dalam perut kereta Mitsubishi Lancer berwarna putih miliknya.

Amar undur menjauhi kereta Zayn. Laju kaki melangkah masuk ke dalam bangunan. "Cis, dia dulu sebelum kahwin pun boleh tahan juga miang. Dasar inspektor gila!"

*

SOSEJ ayam yang sudah dipotong nipis dimasukkan ke dalam periuk. Dalam sepuluh minit lagi, siaplah sos Bolognese yang akan dimakan dengan pasta nanti.

"Mama, Mawar dah toskan pasta dalam bakul penapis. Ni nanti nak letak dalam bekas ke atau nak cedok dalam bakul ni aje nanti?"

"Tak payahlah, cedok aje dalam tu. Senang sikit nanti, tak banyak basuh sangat. Mama pun memang biasa macam tu."

Usai menghidang di atas meja, api dapur gas ditutup. Periuk yang panas diangkat lalu diletakkan ke atas meja beralaskan heat pot.

"Uuu... panas." Mawar goyang goyangkan tangan. Sarung tangan dapur tebal pun masih tidak dapat menghalang haba panas yang meresap ke kulit jarinya.

"Elok-elok... Mawar..."

"Zayn balik pukul berapa mama?"

Bunyi pintu dikatup rapat menandakan kepulangan Zayn. Panjang umur Pak Cik Zayn ya!

"Tu, dah balik," kata Puan Zahra.

"Assalamualaikum..."

"Waalaikumussalam... duduk Zayn, makan," pelawa Puan Zahra. "Mawar yang masak ni."

Wajah yang lesu dan berkerut Zayn bertukar ceria serta-merta. "Isteri Zayn masak?"

Apalagi, terus langkah dibuka mendekati isteri. Lengan kekarnya bergerak melilit di pinggang ramping Mawar. "Um... abang belum masuk pagar rumah tadi, hidung abang dah terhidu bau masakan Mawar."

Mawar senyum canggung. Zayn ni tak beragak betul peluk dia dekat tengah-tengah dapur ni. Depan mama pula tu. Segan dibuatnya.

"Awak nak makan sekarang ke nak mandi dulu? Saya nak letakkan ni?" soal Mawar mengubah perbualan. Berharap Zayn lekas-lekas berhenti dari melekat dengannya.

"Abang naik mandi dululah."

"Pergilah mandi Zayn...! Masam tahu? Balik-balik peluk bini, apa punya perangai budak bertuah ni," sampuk Puan Zahra. Tangan bergerak menuang air ke dalam gelas.

"Mana ada masam. Abang wangi kan, sayang? Cuba bau?" Zayn angkat lengan kemudian dikepit ke wajah Mawar.

"Z-Zayn!" Menggulupur Mawar mengelak dari si suami. Rambut panjangnya yang berserabai menutupi muka dikuak ke belakang.

Besar tawa Zayn saat kakinya melangkah memanjat anak tangga.

"Dia memang macam tu Mawar, anak syurga. Sebab tu mama sayang sangat dengan Zayn," seloroh Puan Zahra sebelum pasta di dalam bakul penapis dikepit menggunakan pengepit mi.

Dia, Zayn RaffaelWhere stories live. Discover now