Bab 1

4 0 0
                                    

Sejarawan itu menelek manuskrip dalam genggaman kedua belah tangannya dengan takjub. Manuskrip yang selama ini telah disangka hanya omongan kosong mantan pensyarahnya ketika mabuk. Kemudian, disahihkan kewujudannya oleh rakan sepengajian yang terbukti sudah berabad hilang, baru sahaja dikeluarkan daripada peti simpanan. Dr Esfahan mengusap kulit depan manuskrip tersebut dengan perlahan. Kedua-dua tangannya bersalut dengan sarung tangan khas mengkhuatiri jika dia tidak cermat, akan merosakkan keadaan manuskrip itu. Bukan setakat lusuh malah sudah reput. Namun nilainya tidaklah terhingga luar jangka perkiraan manusia bukan bidang.

Dr Esfahan menelek keseluruhan manuskrip itu dari segenap pandangan, umpama menarik sehelai rambut dari tepung. Tepung tidak berselerak, rambut jangan putus. Seakan bermimpi, sukar untuknya menghadam apa yang sedang dialami.

"Selamat kembali ke tempat yang sepatutnya." Bisikannya bersulam leretan senyuman.

Keterujaan yang bercampur-aduk dengan takjub mencetus air mata terbit di tubir mata tidak semena-mena di sebalik kacamatanya yang berbingkai tebal. Tidak sia-sialah selama usaha pencarian yang bermula dengan empat bekas penuntut yang kemudian diteruskan hanya dia dan seorang rakan sepengajian. Namun, satu-satunya rakan yang setia itu pun sudah menghilangkan diri. Sudah lama dinantikan kemunculan manuskrip tersebut. Selama hampir sedekad dia bertungkus-lumus untuk mendapatkannya kembali ke tempat yang sepatutnya. Di daerah ini dan seharusnya diabadi sebagai tanda sejarah tempatan.

Selaku seorang doktor falsafah dalam kajian Tamadun Melayu Lama, reputasinya sebagai seorang yang gemar melanggar arus kelaziman telah lama meniti dari bibir ke bibir bukan sahaja dalam bidang malah luar bidang. Baru saja menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-37, dia telah diberi mandat untuk meneruskan penyelidikan yang pada asalnya cita-cita gila seorang penuntut sejarah. Atas sebab kebijaksanaannya yang kemudian mendapat sokongan pihak atasan untuk diteruskan kajian tersebut semenjak berkhidmat di situ. Ikut perkiraannya, hampir sedekad. Itu pun setelah dia dapat membuktikan kewujudan manuskrip itu.

Selepas mengirimkan mesej WhatsApp kepada pembantunya, perhatiannya kembali bertumpu pada artifak sejarah yang sudah diletakkan di atas meja kerja. Manuskrip yang dikatakan berusia anggaran dari kurun ke-12 hingga ke-13 itu agak besar saiznya. Lebarnya hampir 10 inci dan panjangnya lebih kurang 15 inci. Sepintas lalu dipandang, ia menyamai sebuah kitab purba. Di kulitnya, terdapat tulisan jawi lama. Beberapa halaman di dalamnya sudah reput dimamah usia. Namun begitu, majoriti mukasuratnya masih dalam keadaan yang agak baik.

Sejarah tamadun Melayu mungkin terpaksa diolah semula kerana kemunculan manuskrip ini. Jika perkiraan awal pakar-pakar sejarah tepat, kewujudan manuskrip ini lebih lama wujudnya berbanding buku Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

Satu ketukan halus kedengaran bersama suara pembantunya meminta izin. Dia menala pandangan ke arah pintu lantas menyeru menjemput mereka masuk

Dia sememangnya sudah lama menantikan kedatangan lelaki itu. Jika dia berjaya memujuk lelaki yang berada di hadapannya kini, nasibnya akan berubah. Mungkin. Jika untung sabut, ia akan mendekatkan lagi penemuan pasangan duo kepada manuskrip yang kini sudah berada di tangannya. Jika seperti apa yang digembar-gemburkan dalam penyelidikannya selama ini dengan mantan kawan sefakulti semasa dia masih bergelar sebagai penuntut.

****

Dr Esfahan tidak senang duduk sepanjang hari itu seawal pagi. Dia berjalan mundar-mandir di dalam rumah inap yang disewanya buat sementara waktu. Selama mana keberadaannya di situ demi kajian yang sedang ditekuninya, dia sanggup menyewa. Jika dia berterusan ada di rumah, tumpuannya akan tersasar kerana perlu menjaga ibunya yang semakin uzur. Atas sebab itu, diupah dua penjaga yang berulang-alik dari rumahnya selain rumahnya sedia ada pembantu rumah tetap dan adik lelakinya tinggal bersama mereka. Hampir setiap hari juga, adik perempuannya pula yang sudah berkeluarga akan datang menziarah ibu mereka.

KONSPIRASI ADIKARYAWhere stories live. Discover now