Sharliz menjenguk ke luar tingkap. Entah yang ke berapa kali. Deruan angin bersahut-sahutan dengan pancaran kilat menyeringai di balik kepulan awan bertompok-tompok hitam. Titisan air mengekori membasahi rumput yang kering-kontang setelah panas kering menguasai segenap kota sudah beberapa hari. Hati Sharliz gundah gulana seumpama meraikan perkabungan cuaca yang menyelumuti segenap bandaraya awal petang itu.
Kebelakangan ini rasa seperti dirinya tidak terurus. Rezeki mencurah-curah hadir melalui kerja-kerja rekabentuk dalaman yang diterima. Ini bermakna semakin banyak perluangan masa dituntut untuk keberadaan dirinya di luar. Dia tidak perlu berada di studio untuk kerja-kerja mentadbir syarikat. Rakan kongsinya yang menguruskan hal-ehwal tersebut. Kerjanya menyamai sentuhan seorang seniman. Objektif setiap tugasan berpaksi pada kepuasan hati pelanggan dalam interior yang telah diubah suai mengikut citarasa dan permintaan mereka. Saban masa juga perlu diperuntukkan ke kediaman pelanggan untuk susulan diskusi. Adakalanya ke tempat pembekal untuk kerja-kerja suai padan dan perubahan demi perubahan yang perlu dilaksana dengan teliti.
Cuaca sebegini juga muncul semasa wanita yang melahirkan Hazel datang menemuinya untuk menyampaikan amanat yang tidak pernah terjangkau dalam catuan fikirannya.
"Kau sudah arif keadaan aku yang tiada siapa-siapa dalam dunia ni," wanita itu memecahkan keheningan yang menjadi perantaraan mereka berdua. Saki baki kopi bersusu dalam cangkir diteguk perlahan-lahan tidak bernafsu. Hilang kehangatannya sedingin kemuraman pada keliling.
"Itu kata kau, tapi kau ada suami, anak dan realitinya seorang ayah yang masih hidup." Sharliz cuba mendangkal.
"Harith berubah. Tak pernah ambil pusing keadaan aku. Anehnya aku tidak pernah kesal memilihnya sebagai suami. Dia jadi begitu pun sebab aku. Berkorban untuk aku. Tapi, andai kata aku tidak sempat, Hazel berhak tahu. Aku tak tahu siapa yang lebih sempurna untuk jaga Hazel. Tak lain tak bukan kaulah orangnya."
Sharliz merenung kawan baiknya lalu rasa hiba bangkit dalam hati menghiris-hiris. Namun, sedaya upaya tidak dipamerkan pada wanita berusia lewat 30-an yang jelas sugul.
"Kasihan Hazel. Terpaksa kami tinggalkan dia dengan kau dalam keadaan dia memerlukan mama dan papanya. Faham-faham sajalah perangai Harith. Kalau putih katanya, kenalah kita turut kata putih. Aku tersepit antara kehendak suami dan keperluan anak. Tapi Harith sudah bertoleransi, izinkan aku bertolak lewat tiga hari pun sudah cukup baik. Itu yang aku mampu buat untuk berlaku adil pada mereka berdua."
"Ibu bapa Harith macam mana pula?" tanya Sharliz. "Lapan belas tahun! Takkan mereka langsung tiada keinginan kenal Hazel? Cucu yang tak pernah jumpa sejak tujuh belas tahun lalu?" Dengusan kuat dari Sharliz dan majalah yang tadi diselak sambil lewa dicampak ke tepi.
Sahabat Sharliz menyepi untuk seketika sebelum bersuara, "Sebenarnya Harith telah berhubung dengan mereka sejak dua tahun lalu. Harith masih cuba pujuk mereka berjumpa Hazel tapi ibunya masih enggan. Mereka uzur. Harith diminta ambil alih bisnes keluarga. Tapi dengan satu syarat."
"Aku dah boleh agak!" pintas Sharliz
"Maksud kau?"
"Bukan Harith ada adik lelaki? Biar sahajalah adik dia uruskan bisnes keluarga tu. Amboi Datuk dan Datin main ugut-ugut pula beri arahan berpisah dengan anak bini. Semata-mata nak anak yang pernah diusir kembali dan mewarisi legasi? Kejam!"
"Macam mana pula kau terfikir yang syaratnya Harith mesti tinggalkan aku dengan Hazel?" Kerutan bergaris pada dahinya.
"Aku bijak!" tangkas Sharliz menjawab penuh yakin.

ANDA SEDANG MEMBACA
KONSPIRASI ADIKARYA
Mystère / ThrillerCerita bermula dengan fokus utama pada manuskrip yang telah pun berada dalam tangan pihak pakar bidang arkeologi dan sejarah. Pada masa sama, sub-plot ditimbulkan melalui kematian misteri watak yang diperkenalkan di prolog. Ia akan berkait antara sa...