Bab 3

1 0 0
                                        

Hazel mengerling jamnya untuk kali yang ke berapa tapi yang pasti hanya dirinya yang terpacak di tempat menunggu bas. Kiri kanan dia menoleh. Sepasang mata bundar cokelat itu mengharapkan ternampak pacuan empat roda ibunya membelah lintasan trafik yang padat. Panas terik suria yang tegak di atas kepala menambah rasa gusar. Tekaknya terasa kering. Ikut hati mahu berpatah semula ke kantin sekolah untuk membeli sebungkus air yang dingin tapi khuatir pula ibunya tiba semasa dia sedang membeli.

Dalam perkiraan untuk mendail nombor telefon pintar ibunya, Alza unggu metalik berhenti di hadapannya. Hazel mengecam kereta itu milik siapa. Sharliz, kawan baik ibunya menapak keluar dengan tergesa-gesa.

Hazel melambaikan tangan seraya Sharliz menggamitnya untuk merapati. "Kenapa Mamaliz datang? Hazel tunggu Mama."

"Mamaliz diminta jemput Hazel sebab kata mama Hazel, dia tak sempat. Dia tertinggal dokumen penting jadi terpaksa berpatah balik ke kedai untuk ambil. Kita terus ke tempat makan biasa. Nanti mama kamu ada di situ."

Sedikit kekecewaan jelas terpancar di wajah Hazel tapi segera dipujuk Sharliz dengan menepuk-nepuk bahunya. Sharliz sememangnya suka memanjakan Hazel sedari kecil hingga dipanggil mama juga dan ditambah Liz untuk dibeza dengan ibu kandungnya. "Jangan risau, sayang. Sekejap lagi, jumpa juga mama awak tu."

"Esok mama dah nak berangkatlah, Mamaliz. Hazel nak banyak luangkan masa dengan mama. Hazel baru habis exam. Mama dah janji nak bawa tengok wayang...lalalala."

"Wow! Dah merdekalah ni. Patutlah ceria sungguh."

"Mestilah! Nak makan banyak-banyak. Nak tonton filem banyak-banyak. Dan, tidur sepanjang hari."

Angan-angan yang dinyatakan disambut deraian ketawa dari Sharliz. "Kalau gemuk, atas sebab asyik makan tidur makan tidur, jangan bising dengan Mamaliz ya."

"Metabolisma tinggi, tak perlu risau. Cepat turun berat badan. Tengok otot-otot ni!" Hazel tidak mahu mengalah sambil mengangkat lengannya menunjukkan otot-otot padu dan beraksi seperti ahli bina badan.

Sharliz ketawa lagi dan rasa tiada keperluan untuk menyambung sebarang kata. Sebaliknya dia berasa terhibur dengan gelagat Hazel. Kegembiraan itu tidak berlanjutan dalam tempoh yang lama.

Satu jam yang berlalu terasa seperti berjam-jam lamanya. Hazel dan Sharliz pandang-memandang sesama sendiri dengan telahan yang mungkin serupa. Sekali sekala mereka menoleh ke arah pintu masuk restoran. Sharliz memeriksa telefon pintarnya berulang kali. Mesej WhatsApp yang dihantar kepada kawan baiknya masih belum berbaca. Berulang kali dia mendail nombor yang sama tetapi terus masuk ke peti simpanan suara.

Seakan dapat membaca fikiran Hazel, Sharliz bersuara, "Mamaliz cadangkan kita singgah kedai mama Hazel. Manalah tahu tiba-tiba ada pelanggan atau ada kecemasan mama Hazel kena uruskan. Sekurang-kurangnya dia depan mata kita."

Hazel mengekori Sharliz menyelesaikan pembayaran minuman di kaunter sambil melihat-lihat ke sana ke mari. Dia sempat menoleh ke arah satu meja selang empat meja tempat mereka duduk tadi. Timbul rasa ragu-ragu apabila dia perasan lelaki yang sudah tiada di situ sebelum ini asyik memerhati mereka berdua. Apa sangat ada pada dia dan Mamaliz yang menarik perhatian lelaki itu?

Kesesakan lalu lintas memungkinkan perjalanan yang seharusnya memakan dua puluh minit sahaja untuk sampai ke galeri barangan antik kepunyaan ibu Hazel boleh melarat ke dua kali ganda tempoh masa.

Di satu selekoh kira-kira beberapa blok sebelum menghampiri deretan kedai yang menempatkan Galeri Antik Kirana, kesesakan lalu lintas menjadi-jadi. Bukan sahaja sarat kenderaan, kekalutan itu disusuli dengan bunyi bising seumpama ada perhimpunan besar sedang berlangsung sekitar situ.

Anda telah sampai ke penghujung bahagian yang diterbitkan.

⏰ Kemaskini terakhir: Jul 16, 2024 ⏰

Tambah cerita ini di Pustaka anda bagi pemberitahuan tentang bahagian baharu!

KONSPIRASI ADIKARYATempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang