Rose baru sahaja mematikan suis lampu utama selepas menyalakan lampu malap di sebelah kaunter pembayaran tatkala mendengar pintu galerinya bergemerincing, petanda dibuka.
"Maaf, kami dah tutup. Datang esok, ya." Rose bersuara walau tidak tahu pada siapa harus ditujukan. Dia tidak nampak sesiapa pun ketika memerhati ke arah pintu. Lampu suluh didapatkan dari laci meja kaunter. Sedikit cahaya menyinggahi beberapa sudut ketika menyuluh ke sana ke mari.
Sambil merungut dalam hati kerana pembantunya lupa untuk mengunci pintu sewaktu pulang, dia melangkah ke situ dengan rasa hairan. Rose sangat pasti telinganya tidak tersalah dengar. Cuma hidungnya terhidu bauan pewangi yang difikirkan lebih cenderung dipakai oleh wanita.
"Hello? Ada sesiapa di situ?"
Rose berjalan perlahan-lahan menjejak segenap sudut sebaik sahaja pintu galeri dibuka luas memikirkan sebarang kemungkinan, dia sudah bersiap sedia untuk kecemasan. Jika perlu dia akan berlari keluar tanpa menoleh ke belakang. Beg tangannya pun sudah digantung pada bahunya.
Rasa gementar sudah menyelubungi seluruh tubuh Rose. Sewaktu dia melencong ke satu sudut, kakinya tersadung pada sesuatu yang keras hingga terjatuh. Mujur tangan kanannya sempat berpaut pada sisi meja yang berdekatan. Rose berlutut, menghalakan cahaya samar-samar ke arah tempat dia tersadung tadi.
Kelihatan sebuah peti di balik sudut di antara dua meja yang menghadap antara satu sama lain dan bersetentangan pintu. Pasti dia masih berseorangan kerana lampu di semua sudut telah dipadam dan pintu telah dikunci dari dalam, Rose mengangkat peti tersebut dan membawanya ke meja bersebelahan kaunter. Sebelum itu, terlebih dahulu dia menyarung tangannya dengan sarung getah.
Alat pengimbas yang kini berada dalam genggaman dihidupkan lantas dilalukan pada peti tersebut. Ini langkah-langkah keselamatan yang harus diambil. Petinya bersaiz anggaran meja budak sekolah dengan ketebalan yang sederhana.
Anehnya ia sebegitu mudah dibuka. Langsung tidak berkunci. Bersama lafaz Basmalah, dia mengeluarkan isi peti itu yang dibungkus rapi dengan sehelai kain kasa kusam. Dia tidak menyangka sama sekali apa yang dipegangnya itu agak berat walau saiznya tidak ubah seperti kitab al Quran. Ternyata ia senaskah kitab yang amat lusuh walau bukan kitab al-Quran.
Sebaik saja dia menyelak halaman pertama, sesuatu terkeluar daripada celahan halaman yang diperbuat daripada kulit kayu yang tentu diubahsuai. Apa yang dipungut daripada yang terjatuh itu rupanya hanya sekeping kad. Ayat yang tertera pada kad itu benar-benar mengganggu minda Rose. 'Simpan manuskrip langka ini di tempat selamat. Penting ia tidak jatuh ke pihak salah. Aku akan datang kembali mengambilnya.' Rose kaget.
YOU ARE READING
KONSPIRASI ADIKARYA
Mystery / ThrillerCerita bermula dengan fokus utama pada manuskrip yang telah pun berada dalam tangan pihak pakar bidang arkeologi dan sejarah. Pada masa sama, sub-plot ditimbulkan melalui kematian misteri watak yang diperkenalkan di prolog. Ia akan berkait antara sa...