"BONDA... TERIMA KASIH sebab tolong Acad," ucap Absyar apabila menghantar rombongan pihak lelaki ke kereta mereka. Senyumannya tidak terpadam sebaik saja selesai sesi pertukaran cincin tadi.
Sungguh bahagia hatinya apabila melihat bonda, pengetua Rumah Anak Yatim Baitul Jannah yang menjaganya sejak dari alam bayi menyarungkan cincin pada jemari runcing Zinnirah.
"Sama-sama Acad. Bonda tak sangka kamu dah nak menikah. Bonda rasa macam baru semalam bonda asuh kamu, bonda suap kamu makan. Anak bonda dah besar," kata bonda dengan mata yang sudah berair.
Jujur, Absyarlah anak asuhannya yang selalu berkunjung ke rumah anak yatim itu walaupun sudah lama dia tidak tinggal di situ lagi. Jejaka itu juga banyak memberi sumbangan dalam senyap untuk pembangunan rumah anak yatimnya.
"Acad sayang bonda..." luah Absyar lalu membuka pintu kereta buat bondanya. Jika mereka mahram, sudah Absyar peluk bonda sekuat hati.
Namun sayangnya, mereka tidak mempunyai apa-apa pertalian darah yang membolehkan Absyar berbuat demikian.
"Bonda pun sayang Acad... Nanti Acad jangan lupa balik ya, adik-adik dah rindu Acad..." pesan bonda dengan pipi yang sudah basah dengan air mata.
"Baik bonda, insya-Allah. Bonda dan semua hati-hati ya balik nanti." Hati Absyar turut tersentuh dengan kebaikan pihak rumah anak yatim yang mahu menyusahkan diri bagi membantunya.
"Ayahanda bawak kereta elok-elok ya?" pesan Absyar sambil menunduk memandang suami kepada bonda itu.
"Insya-Allah, kami balik dulu ya, Acad." Sebaik saja mereka pamit, kereta itu terus beransur pergi sehingga hilang dari pandangan Absyar.
"Cad, jom masuk. Makan," ajak Mustaqim yang entah datang dari mana.
"Ha, jom." Absyar yang lapar hanya menurut tanpa kata.
"Acad, jap lagi aku send kat kau gambar abang Zhaf sarung cincin pada kau tu. Sumpah cantik!" kata Mustaqim dengan teruja sebaik saja mereka duduk di meja makan.
Telefonnya dicari lalu galeri dibuka. Gambar yang dia tangkap dia buka lalu ditunjukkan pada Absyar. Lelaki itu hanya tersengih malu.
Ya, Mustaqim memaksa Zhafran dan dirinya mengadakan sesi sarung cincin sebagai tanda dia sudah menjadi tunangan orang. Kata Mustaqim, pihak lelaki juga perlu diraikan di atas pelamin, bukan hanya pihak perempuan saja.
Zinnirah hanya tersenyum simpul dengan kelakuan kembarnya itu.
Dan Absyar hanya menurut arahan Mustaqim dengan muka yang membahang malu walaupun tika itu hanya ada beberapa orang dari pihaknya dan keluarga Zinnirah.
"Thank you sebab snap." Absyar terus meneguk air yang sejuk itu tanpa mahu melihat gambarnya di dalam telefon lelaki itu lagi. Malu aih!
Suara Zinnirah yang tergelak kecil apabila bersembang bersama ibu, Atiya dan anak-anak buahnya itu mengalih perhatian Absyar. Dia terus tersenyum kecil melihat Zinnirah seceria itu.
Zinnirah yang hanya merias mukanya dengan sedikit makeup sudah mampu membuatkan Absyar bertambah angau. Ditambah pula dengan baju mereka yang sama warna, iaitu kuning cair menjadikan Absyar seperti mahu pengsan apabila melihat makhluk ciptaan Tuhan.
Indahnya bunga yang masih belum menjadi miliknya itu.
"Oi makan, duk perhati adik aku macam nak terkeluar biji mata tu apahal?" Teguran Mustaqim membuatkan Absyar berdehem perlahan lalu memberikan perhatiannya pada semangku mi rebus di hadapan mata.
"Sabar Acad, lagi lima bulan. Sabar okey?" usik Mustaqim lagi apabila melihat kulit Absyar sudah berubah merah seperti udang kena bakar.
Malu betul.

ANDA SEDANG MEMBACA
Badai Bahagia [✔]
Romantiek2024. SEMI;KOLON 2 (❗BACA SEMI;KOLON DULU❗) Kejadian itu menyebabkan Zinnirah hilang identiti diri. Trauma masa lalu sentiasa menghantui Zinnirah sehinggakan abangnya, Zhafran terpaksa membawanya ke wad psikatri. "Aku tak gila! Aku nak balik!" - Z...