Bab 1

218 12 1
                                    

ARDEAN pandang susuk yang berdiri di hadapannya. Pantulan diri sendiri. Segak mengenakan baju kemeja dan seluar slack berwarna hitam.

Rambut. Sempurna dengan stail yang selalu digayakannya. Check.

Tali pinggang, check.

Tali leher. Senget sedikit, lalu dibetulkan kedudukannya. Check.

Perfect! Hanya perlu sentuhan terakhir. Minyak wangi.

Lantas mata mengimbas beberapa buah botol kaca pelbagai bentuk dan warna yang tersusun cantik di hadapannya. Dah macam kedai minyak wangi. Jenama Tom Ford Oud Wood yang menangkap minatnya. Lalu dia tekan-tekan ke nadi tangan dan lehernya. Kemudian ke udara pula supaya molekul-molekul minyak wangi itu jatuh pada pakaiannya.

"Amboi... Amboi... Kau ingat anak tauke perfume tu skandal aku ke? Sembur macam sembur Ridsect!" Suara yang tiba-tiba muncul itu buatkan Ardean automatik pandang ke arah itu. Nampak satu susuk asing yang sedang berdiri di muka pintu. Nampak gaya macam dah lama berada di situ.

Ardean tayang sengih.

"Tak apa. Kau kaya." Selamba jawapan Ardean. Buat tak layan dengan sindiran dan wajah tak puas hati abangnya. Sempat lagi lakukan semburan terakhir ke udara sebelum dia letak kembali botol hitam itu di tempatnya.

Nufail geleng kepala sekali. Lupakan pasal minyak wangi, dia melangkah mendekati adiknya itu. Semerbak bauan menusuk hidung. Adik dia ni nak pergi masuk kerja atau dating dengan awek?

"Kau serius ke ni?" Entah berapa puluh kali rasanya Nufail ulang soalan itu. Masih tak percaya sebenarnya.

"Seriuslah. Tak nampak ke aku dah handsome pagi ni?" Sengih lagi.

Nufail pandang Ardean yang kacak bergaya itu dari atas ke bawah.

Baju dia. Seluar dia. Tali leher dia. Minyak wangi pun rembat dia punya. Patutlah mudah saja adiknya itu muncul di depan kondo dia semalam. Cakap nak tumpang sebab esoknya kena melapor diri.

Tapi tumpang dia memang spesies parasit. Datang sehelai sepinggang macam gelandangan. Memang sejenis perangai adik, suka rembat harta abang. Lepas itu, buat-buat amnesia, jadikan harta sendiri. Dengan muka tak bersalahnya. DNA bongsu agaknya.

"Tapi... Intern?"

"What's wrong with intern?" Ardean bertanya balik.

"Kau dah tua, Dean. Dua puluh lapan tahun."

"Hei... Tua-tua jangan sebut, ya! Kalau aku tua, kau tu fosil."

Nufail rasa nak ketuk kepala Ardean. Geram. Dia tahu adiknya itu faham maksudnya. Tapi buat-buat tak faham.

"Aku bagi tahu ibu nanti!" ugut Nufail.

Terus bulat mata Ardean. Abang dah langgar perjanjian Pakatan Axis!

"Kau dah janji tak nak bagi tahu ibu!" balas Ardean dengan suara tak puas hati. Berkerut kedua-dua keningnya, memandang pembelot di sebelahnya itu.

Nufail senyum senget. Tahu takut.

"Aku masuk cara halal apa? Untuk penuhi requirement dari universiti. Aku kat sana bukan lama pun. Tiga bulan aje. Ibu tak payah tahu."

"Anak derhaka," cebik Nufail. Seronok mengutuk adiknya.

Ardean buat pekak. Tiada isu pun sebenarnya kalau ibu tahu. Dia yakin ibu akan berada di belakangnya seperti selalu.

Ardean keluar dari bilik abangnya itu dan berlalu ke biliknya. Nak ambil beg galas kerja. Kemudian keluar ke ruang tamu. Nufail hanya membuntuti dari belakang.

Lelaki AstatineWhere stories live. Discover now