Bab 3

98 7 1
                                    

SEDANG Ardean fokus pada skrip komputer ribanya, tiba-tiba telefon pintarnya yang berada di atas meja itu bergetar.

Mem Besar.

Melihat nama itu yang terpampang, anak mata Ardean pantas meluas. Terus senaman kerongkong. Kemudian dia sambar telefon itu, lalu mencari sudut yang agak jauh dari telinga manusia lain. Pantri yang agak tersorok itu menjadi pilihannya.

Setiba di pantri, Ardean tidak terus menjawabnya. Hanya tenung alat segi empat tepat itu. Masih gigih mengamuk memaksa tuannya untuk segera mengangkat.

Alamak... Bau-bau tembelang nak pecah berderai ni! Berdehem beberapa kali sebagai sesi pemanasan anak tekaknya. Rela dalam paksa, Ardean tekan ikon hijau itu.

"This is a voice mailbox for the number zero..."

"Ardean Tufail bin Abdul Nuqman!"

Ardean gelak. Tak pasal-pasal kena seru nama dalam surat beranak.

"Chill la, ibu."

"Apa chill chill? Salam mana?" Ibunya menyindir.

"Assalamualaikum, ibu." Bibir masih sengih. Lama tak menyakat ibunya.

Kedengaran pemilik suara di hujung talian menjawab salam.

"Ada apa ibu telefon Dean?" Ardean mula bertanya. Buat-buat tak tahu.

"Ibu dengar Dean dah balik ke Malaysia."

Ibu memang kura-kura dalam perahu. Pura-pura tak tahu. Oh, silap! Ibu dia dah advanced dah. Kura-kura ibu tak naik perahu tapi naik motobot. Cepat dan ekspres. Itu pasal laju saja sampai ke pengetahuannya.

"Haah. Baru dua hari lepas, ibu. Tumpang rumah abang sekarang ni." Alang-alang dah kantoi, mengaku sajalah.

"Kenapa tak cakap dengan ibu? Nufail Darwisy bin Abdul Nuqman pun dua kali lima. Ikut saja perangai adik dia." Ibu dah mula membebel. Nama dalam surat beranak abangnya turut diseru, ibu memang betul-betul geram ni.

Ardean garu pelipis kanannya yang tak gatal.

"Dean tahu tak, tengah-tengah Lautan Hindi ada satu pulau nama dia Diego Garcia. Nak ibu sumpah kau dengan abang kau jadi pulau jiran ke?"

Aduh... Bukan ibu aku kalau gurau tak kasar! Ardean hanya ketawa. Mesti tengah terbatuk-batuk member tak bersalah kat hospital sana. Haha. Dah terbiasa dia adik-beradik nak kena sumpah jadi tanggang alaf dua puluh satu oleh ibunya ini. Tapi, apa yang orang tak tahu, ibu dia adalah ibu yang paling cool di dunia.

"Ampun, bonda! Anakandamu yang hina ini menyusun sepuluh jari memohon keampunan."

"Bonda ampunkan. Namun anakandaku, cakap elok-elok ya. Untuk pengetahuanmu, tiada anakanda Puan Mahani yang hina ya."

Ketawa Ardean pecah lagi. Kan dah cakap. Ibu dia memang cool.

"Dean betul-betul minta maaf, ibu. Bukan tak nak bagi tahu. Cuma Dean rahsiakan buat sementara waktu. Memang Dean dah rancang nak cakap hujung minggu ni." Suara Ardean bertukar serius. Betul-betul maksudkannya.

"Kenapa? Sebab tak nak ibu tahu yang Dean dah cabut awal-awal dari conference?" tembak ibunya.

Ardean di sini tayang sengih.

"Habis, balik awal ni, conference di Athens macam mana?" Suara Puan Mahani bertukar nada. Tak marah tapi lebih kepada ingin tahu.

"Dean minta untuk jadi first presenter. Itu yang boleh cabut awal. Tak perasan tarikh dia overlap dengan tarikh lapor diri kat sini," jelas Ardean. Penuh hati-hati.

Dia tak berbohong. Salah dia yang lambat membaca e-mel daripada pihak sumber manusia Syarikat Empayar ini. Dia ketika itu sudah berada di Athens.

Kena lapor diri dalam masa tiga hari. Dahlah penerbangan saja memakan masa hampir sehari. Belum lagi dengan perbezaan masa. Memang tak sempatlah untuk tangguh salah satu.

Lelaki AstatineWhere stories live. Discover now