EMPAYAR PUBLISHING GROUP. Sebuah syarikat penerbitan terbesar di Malaysia. Memonopoli industri buku dengan menerbitkan buku terlaris di pasaran. Lebih-lebih lagi untuk genre fiksyen. Sehingga menembusi pasaran global. Para penulis mendambakan lambang Empayar terpampang penuh gah pada kulit buku mereka. Pencinta buku pula bagaikan serigala jadian disuluh bulan purnama penuh, agresif keluar memburu tiap kali buku baru mereka dilancarkan.
Empayar ialah satu impian.
Dan itu juga salah satu sebab kenapa Ardean memilih untuk melakukan latihan industri di syarikat itu. Tapi, sungguh tak sangka hari pertama pun dah diuji.
Ardean hanya mengikut langkah bergaya wanita bersanggul tinggi itu masuk ke dalam biliknya. Pintu ditutup rapat sebelum dia pusingkan tubuh.
Kaku.
Ardean terpukau dengan keindahan pejabat ketua editor itu. Tak seperti personalitinya yang dingin, bilik itu nampak seperti sangat mengalu-alukan tetamu. Dinding di belakang sepenuhnya dibina rak buku putih. Padat dengan buku.
Dekorasi dan susun atur lain cantik dan terletak, seperti mendapat sentuhan interior designer bertauliah. Ringkas dan kemas. Bertemakan warna putih dan kayu. Sesuai dengan kerjaya seorang editor.
Aesthetic.
"Ardean Tufail." Suara itu buatkan Ardean tersedar ke alam nyata. Hilang sudah kekagumannya terhadap bilik itu. Kembali ingat pada alasan sebenar dia diseru masuk.
"Ya, saya, Cik Eshal."
Tangan Eshal yang sedang menyelak helaian kertas itu terhenti. Pantas dia panggung kepala untuk melihat lelaki yang berdiri di hadapan mejanya itu.
Lama.
Ardean pula kekal tenang. Meskipun dia turut tertanya-tanya. Ada yang tak kena dengan muka dia ke? Sampai berkerut-kerut kening cantik wanita itu merenungnya. Atau itu cumalah satu cara untuk mendominasinya sebagai seorang bos? Apa-apa pun, matanya terus menatap sepasang anak mata dingin itu tanpa menunjukkan riak gentar.
Eshal mengalihkan pandangannya dulu. Kemudian geleng-geleng kepala. Entah kenapa rasa ada sesuatu pada suara lelaki itu. Yang buatkan kepalanya pantas mahu melihat. Seperti ferum ditarik magnet. Telinga terlebih sensitif? Atau ada memori yang sudah terkambus dalam? Rasa macam pernah dengar, tapi tak ingat kat mana. Adakah mereka pernah berjumpa?
Atau mungkin itu hanyalah ilusinya. Eshal berdehem. Kemudian masuk mod profesionalnya. Dia kembali tunduk melihat kertas di tangannya. Resume Ardean yang diterima daripada bahagian sumber manusia.
Hari ini! Buatkan hatinya kembali bengkak. Terpaksa terima intern secara mengejut. Mereka sengaja merahsiakan daripada pengetahuannya! Tanpa sedar, kertas di tangannya direnyuk sedikit.
Tarik nafas dalam-dalam untuk tenangkan hati. Arahan big boss harus dipatuhi. Eshal tiada pilihan. Dia sendiri pun baru nak kenal siapa budak intern yang nak mula hari ini.
Budak ke?
"Awak nampak... Hmmm..." Eshal rapatkan kedua-dua bibir sambil merenung Ardean.
"Tua?" Ardean baik hati tolong sambungkan. Manalah tahu wanita itu tak tergamak untuk menyebutnya.
"Mature. You look mature." Eshal betulkan.
Padan saja. Umur dua puluh lapan tahun tertulis di resume itu. Eshal membaca lagi apa yang tertulis pada kertas itu.
"Ardean Tufail, also known as A.T..." Dia berhenti. "Like.. Astatine?"
Kaget Ardean mendengarnya. Terus unsur kimia paling jarang dalam periodic table yang disebutnya.
YOU ARE READING
Lelaki Astatine
General Fiction"Astatine, saya rasa Tuhan bencikan saya". - ESHAL ELZAHRA Itulah yang Eshal rasakan seumur hidupnya. Dia bencikan takdir yang selalu tidak adil dengannya. Dia tidak bahagia. Dia jadi dingin. Perengus. Pesimis. "Kenapa kita nak pandang satu masalah...