SEBAIK sahaja masuk ke dalam biliknya, Eshal baling botol minyak wanginya ke lantai. Bunyi kaca berderai itu sungguh memuaskan hatinya. Namun, aroma yang semerbak wangi itu tak mampu menenangkan jiwanya.
Semua orang tak guna. Semua orang boleh pergi mampus!
Eshal tiba-tiba rasa marah. Marahkan diri sendiri. Marahkan semua orang. Bila ingat balik apa yang baru terjadi tadi, dia rasa sesuatu dalam jiwanya bagaikan sedang berlumba-lumba untuk dilepaskan. Soalan yang sama muncul sejak dulu lagi.
Kenapa semua ini jadi pada dia? Kenapa dia malang? Kenapa dia dilahirkan di dunia ini? Kenapa dia tak mati bersama mama dulu?
Eshal genggam penumbuk. Erat sehingga tapak tangannya terasa perit gara-gara kukunya yang tajam mencengkam. Cepat-cepat Eshal buka genggamannya. Berlalu ke arah meja solek. Mencari ketip kuku. Satu per satu kukunya dipotong sehingga pendek.
Dia dah cakap sebelum ini. Kuku panjang bukan petanda bagus untuknya. Sebab dia selalu terbayang-bayang bagaimana rasanya jika kuku itu mencakar-cakar tubuhnya sehingga meninggalkan kesan. Bergarit. Berdarah. Macam manakah rasanya?
Siapa cakap dia tak pernah fikirkannya selama dia bernafas di atas muka bumi ini? Jadi, sebelum otaknya terhasut, lebih baik dia cegah awal-awal.
Don't fall in love with pain. You'll be addicted to it!
Kenapa? Kerana apabila anggota tubuh badan cedera, otak akan rembeskan hormon endorfin atau lebih dikenali sebagai hormon gembira. Hormon ini bertindak sebagai ubat tahan sakit semula jadi yang akan membuatkan seseorang itu hilang kesakitan dan merasa lega. Sebab itulah selepas seseorang itu mencederakan diri sendiri, kesakitan dan tekanan perasaannya turut berkurang.
Namun, itu semua sementara. Lega cumalah sekejap! Apabila tekanan perasaan yang serupa kembali berulang, otak akan ketagih untuk merasakan dos endorfin yang serupa supaya kesakitannya berkurangan. Dia mahu berasa lega, lalu membuatkan seseorang itu memilih untuk mencederakan diri sendiri lagi. Dan kitaran ini akan selalu berulang.
Eshal tahu semua itu. Sebab itulah dia tak mahu cederakan dirinya. Tiga puluh tahun dia berjaya mengawalnya. Dan dia enggan mulakan sekarang. Dan apa yang Eshal rasa sekarang ini?
Eshal rasa nak maki hamun.
Eshal rasa nak humban segala benda di dalam bilik ini.
Mungkin itu semua pilihan yang bagus daripada dia memendam rasa sendiri sehingga depresi. Kalau sedih, menangis. Kalau marah, luahkan. Dia bukan jenis yang memendam perasaan. Paling tidak, bukan selalu. Dia tak berlagak okey. Dia tak pura-pura gembira.
Dia memang tak gembira! Dan dia tunjukkan kepada semua orang dia tak pernah gembira. Dia jadi perengus. Dia jadi dingin. Dia dah tak tahu bagaimana senyum dan ketawa dengan ikhlas. Dan Eshal salahkan dunia sekelilingnya yang membentuknya seperti sekarang.
Dia pun masih hairan macam mana dia masih boleh bertahan sehingga sekarang. Mungkin demi kelangsungan hidup. Tapi, tak mustahil satu hari nanti, semuanya akan mencapai hadnya. Barang yang dibeli pun ada tarikh luput. Inikan pula perasaan manusia. Boleh jadi suatu hari nanti dia akan penat dengan hidup ini dan memilih untuk bunuh diri saja.
Bilik Eshal tak ubah seperti tokang pecah kini. Amarahnya hilang. Tapi adrenalinanya masih tinggi di dalam kapilari darah. Turun naik, turun naik dadanya akibat kepenatan. Dahinya juga sudah berpeluh.
Amarahnya hilang tapi kini berganti pula dengan perasaan baru. Rasa kecewa. Dan sedih. Dia terduduk di atas katil sambil menekup wajahnya dengan kedua-dua tangannya.
Tanpa sedar, ada air hangat mengalir dari tubir matanya. Namun Eshal tak menghalangnya. Titisan jernih itu dibiarkan saja tanpa diseka. Dia sudah lupa bila kali terakhir dia menangis. Tapi dia tahu alasan kenapa tiap kali dia menangis. Sebab rindukan arwah mamanya.
YOU ARE READING
Lelaki Astatine
General Fiction"Astatine, saya rasa Tuhan bencikan saya". - ESHAL ELZAHRA Itulah yang Eshal rasakan seumur hidupnya. Dia bencikan takdir yang selalu tidak adil dengannya. Dia tidak bahagia. Dia jadi dingin. Perengus. Pesimis. "Kenapa kita nak pandang satu masalah...