"BOSANNYA," rungut Jihan perlahan. Tapi memandangkan suasana yang hening mengalahkan tanah perkuburan Cina, tetap buatkan dua kepala berpaling ke arah itu. Laju Afifah menghempuk lengan Jihan. Mengaduh si kawan sambil menggosok-gosok lengannya.
"Kerja awak dah siap ke? Atau tak cukup banyak? Saya boleh tambahkan." Mendatar suara Eshal. Mata masih tertumpu pada skrin komputer ribanya. Sedang buat semakan pada manuskrip baru yang sudah lepasi tapisan pertama.
"Bukan macam tu maksud saya, Cik Eshal. Rasa bosan sebab sunyi semacam ofis kita ni. Rasa lain betul."
"Haah la. Saya pun rasa benda sama. Baru dua hari. Rindu pula kat penghibur-penghibur jalanan kita. Macam ni la hidup kita ya kalau tak ada dia orang," sokong Afifah pula sebelum turut mengeluh perlahan setelah itu.
Kali ini, Eshal angkat muka beberapa saat untuk melihat eskpresi murung dua anak buahnya itu. Mengeyakan dalam hati, namun tak pula dia membalas apa-apa.
Pejabat kini memang sunyi memandangkan pesta buku sudah bermula dua hari yang lepas. Hairi dan semua pelajar pelatih turun padang sebagai petugas dan sukarelawan di reruai. Bukan setakat mereka, rasanya hampir tujuh puluh peratus staf Empayar turun padang memandangkan mereka adalah syarikat penerbitan besar. Jadi, reruai mereka juga besar dan memerlukan tenaga kerja yang ramai.
Bahagian produksi dan pemasaran memang wajib turun. Golongan yang terlibat di belakang tabir seperti mereka biasanya tak terlibat secara langsung. Sambung kerja di pejabat seperti biasa. Apa boleh buat? Urusan pejabat harus diteruskan juga. Tapi jika reruai di pesta buku perlukan tenaga lebih, barulah mereka akan menjadi sukarelawan mengikut giliran.
Tapi sekarang semua sudah cukup. Sebab semua pelajar intern daripada semua bahagian dikerah untuk jadi sukarelawan. Bila cakap dikerah, bukanlah diambil kesempatan untuk jadi hamba abdi. Tapi mereka diupah mengikut jam. Agak lumayan juga. Kata Dato' Jalal, daripada cari part-timer luar, ada baiknya bagi peluang pada mereka dulu. Boleh tambah pengalaman, poket pun berisi. Lagilah semangat mereka nak kerja.
Cuma, itulah. Bila tiada kanak-kanak 'ribena' di ruang pejabat ini, terasa juga. Tiadalah drama-drama pejabat yang disunting mereka. Kalau tak, ada saja episod baru. Tapi, itulah yang buatkan pejabat ini lebih meriah.
"Cik Eshal nanti jadi wakil untuk attend majlis perasmian pesta buku, kan?" soal Afifah pula.
"Haah. Esok." Pendek jawapan Eshal.
"Bolehlah Cik Eshal lawat reruai kita nanti. Dengar kata meriah sungguh. Yun asyik complain dia dan A.T tak sempat nak rehat, selalu kena angkut buku baru sebab asyik sold out."
"Tengoklah kalau sempat."
TAMAT saja majlis perasmian, dibatalkan niatnya untuk pulang ke pejabat. Eshal ubah haluan kakinya, bercadang untuk singgah di reruai Empayar Publishing yang terletak di tingkat satu.
Mula-mula tadi, rasa macam malas. Tapi aura pesta buku dan bau buku baru menggamit-gamit jiwa pencinta buku macam dia. Godaan yang kuat untuk ditepis. Dia mahu melawat reruai Empayar dulu sebelum menjelajah ke semua reruai dari penerbit lain yang ada. Boleh shopping buku kalau ada yang berkenan. Dah lama dia tak tambah koleksi baru untuk dibaca.
Sewaktu Eshal tiba di depan pintu masuk, reruai Empayar agak sesak. Cantik betul rekaan dan hiasan reruai itu. Siap ada sudut dengan latar belakang estetik untuk bergambar lagi. Yang tak nak singgah pun jadi rasa nak singgah. Pandai mereka tarik perhatian. Kredit kepada semua yang terlibat.
Kedengaran suara jantan Hairi menjadi juruhebah memeriahkan suasana. Paling kanan, fiksyen tempatan. Tengah-tengah untuk bahagian terjemahan karya antarabangsa. Paling kiri pula dikhaskan untuk bukan fiksyen dan buku umum. Ada juga longgokan untuk buku kanak-kanak dan komik. Yang paling macam gula dihurung semut sudah pastilah di bahagian fiksyen tempatan.
YOU ARE READING
Lelaki Astatine
General Fiction"Astatine, saya rasa Tuhan bencikan saya". - ESHAL ELZAHRA Itulah yang Eshal rasakan seumur hidupnya. Dia bencikan takdir yang selalu tidak adil dengannya. Dia tidak bahagia. Dia jadi dingin. Perengus. Pesimis. "Kenapa kita nak pandang satu masalah...