"Surat apa pula ni?"
Suhaimi mengutip sampul surat berwarna merah jambu yang terjatuh di dada ketika sedang memeriksa semula assignment yang diberikan oleh Zulfah.
"Hanya untuk Jiranku."
Suhaimi senyum senget. Dia bangun. Assignment yang belum selesai diperiksa dia letak di meja belajar. Surat pemberian Zulfah dibuka. Suhaimi berbaring semula di katil sambil membaca surat itu.
Aku tahu cara ni memang macam budak-budak. Tapi aku takkan tenang selagi tak meluahkan apa yang aku rasa selama ini. Mie. Kau tahu kita dah lama kenal. KIta membesar sama-sama. Kita sama-sama melihat perubahan diri masing-masing. Kalau dulu selekeh dan comot, sekarang dah pandai tentukan apa yang perlu disarung. Aku suka berkawan dengan kau. Dari zaman kita panjat pokok rambutan, main lastik dengan biji getah, main konda-kondi, main galah panjang hinggalah sama-sama kena rotan dengan bapak-bapak kita sebab suka ponteng sekolah. Semua kita buat sama-sama. Tapi rasa suka tu dah bertukar pada perasaan lain. Kau faham tak maksud aku?
"Hahaha! Gilerlah Minah ni. Dalam diam dia syok kat aku rupanya. Hailah.."
Suhaimi bangun ke meja belajar. Selepas menyalakan sebatang rokok dia menyambung bacaan. Tak sangka pula Zulfah berani meluahkan rasa hatinya dengan cara begini.
Aku cuba buang rasa ini Mie. Tapi tak boleh. Ingatan dan rasa pada kau sangat kuat. Tapi aku takut nak berdepan dengan kau. Malu kalau kau ketawakan aku nanti. Aku minta maaf. Aku tak kesah pun kalau kau tak pernah sukakan aku. Apa pun kita tetap berjiran. Kau jangan fikir aku harapkan balasan sebab dah tolong kau buat assignment. Aku ikhlas dan sangat berbesar hati sebab dapat tolong kau. Apa pun jadi kau tetap kawan dan jiran aku sampai bila-bila.
That's it,
Zulfah
Suhaimi membelek bahagian belakang surat. Manalah tahu kalau-kalau ada tambahan ayat pula di situ. Tapi tiada. Dilipat kembali surat tidak rasmi pemberian Zulfah. Mata tertancap pada assignment yang dihasilkan oleh gadis itu. Benaknya menyorot kembali detik-detik perkenalan mereka berdua.
Siapa yang tak kenal dengan Zul dan Mie? Satu Taman Setia Kasih mengenali dua budak nakal yang selalu buat huru-hara. Namun dalam masa yang sama menjadi kesayangan penduduk di situ. Kalau tingkap kereta pecah kerana bola rounders, selipar hilang di surau atau tayar pancit, cari mereka. Tapi kalau mencari peserta cilik dan berbakat untuk majlis tilawah Al Quran atau apa sahaja majlis keagamaan, Suhaimi dan Zulfah juga calon yang paling layak. Kini masing-masing sudah meningkat remaja. Keakraban mereka memang tidak boleh disangkal hinggakan mereka pernah diraikan kerana berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti yang sama.
"Kalau dia suka aku, perlukah aku sukakan dia balik? Hei! Tak mungkinlah. Dia jiran aku,kut. Mampus kena kena gelak dek orang-orang setaman perumahan kalau diorang tahu aku couple dengan Zulfah. Eww! Tak mungkinlah."
Suhaimi ketawa kuat sambil menenyeh abu rokok ke bekas. Surat Zulfah dicampak tepat memasuki tong sampah. Kemudian dia capai gitar tong dan terus keluar rumah. Busking dengan kawan-kawan lebih seronok dari memikirkan hal-hal hati dan perasan yang mengarut ni.
YOU ARE READING
ANTARA LENNY DAN ZULFAH (Ada dia...)
Non-FictionSeorang lelaki yang tergamak berhenti belajar dan lari dari tanggungjawab sebagai anak sulung demi mengejar cita-cita untuk menjadi seorang pemuzik. Dia tinggalkan rakan sepermainan sejak kecil dan menyerahkan tanggungjawab menjaga orang tuanya kepa...