ANTARA LENNY DAN ZULFAH 1

8 0 0
                                    


"Kau tidur ke tidak malam tadi Zu? Lain macam kau punya mengantuk ni. Bangunlah! Maghrib dah nak habis ni. Kau boleh solat ke tidak?"

Bising mulut Linda mengejutkan Zulfah. Sejak pulang dari kuliah tengahari tadi rakan sebiliknya terus terbongkang tak sedar diri. Macam dah kena pil tidur gayanya.

"Bagilah aku tidur sikit lagi. Aku tak boleh solatlah..." Zulfah mendengus kasar. Bantal Hello Kitty dipekap ke muka.

"Suka hati kaulah. Aku nak pergi mursollah ni. Lepas tu nak terus pergi makan. Kalau nak apa-apa nanti call aku tau?"

Tiada respons. Makin sedap pula Zulfah tidur walaupun azan maghrib sedang berkumandang.

Memang dia mengantuk sangat-sangat. Sibuk menyiapkan assignment Suhaimi. Sayang punya pasal tak tidur pun dia sanggup. Asalkan dapat memenangi hati lelaki pujaannya itu. Dia tahu ramai wanita cuba meraih perhatian pelajar jurusan muzik itu. Zulfah dikira bernasib baik kerana mereka sudah mengenali Suhaimi dari kecil kerana mereka berjiran. Walaupun Suhaimi tidak pernah mengiktiraf status perhubungan mereka berdua, itu tidak menjadi hal bagi Zulfah. Lagi pun dia sudah mengenali kesemua ahli keluarga Suhaimi. Dia yakin. Lambat atau cepat pasti satu hari nanti Suhaimi akan menjadi miliknya.

"Ya Allah! Siapa yang matikan alarm ni?" Buntang mata Zulfah melihat nombor 9 di skrin telefon. Dia bingkas bangun. Capai tuala dan berkejar ke bilik mandi.

"Oit! Tak sampai lima minit dah siap? Kau Mandi Koboi ke?" Tegur Linda. Dia yang matikan alarm di telefon Zulfah. Bising!

"Ni namanya Mandi Asbol."

"Mandi Asbol?" Linda tidak faham.

"Asbol... Asal Boleh." Sambil tersengih lebar Zulfah bersiap laju. Senang betul cara dia bersiap. Sarung jubah, tepek bedak kompak dan oles lip balm. Kemudian pakai tudung sarung. Rambut pun tak bersikat. Orang berkulit putih melepak seperti dia tak perlu bersiap sangat. Pakai apa pun nampak cantik.

"Nak ke mana pula ni?" Linda dah duduk tegak. Hairan melihat Zulfah yang kalut mengemas meja belajar.

"Aku dah janji nak bagi Mie nak bagi assignment dia ni. Dia nak jumpa pukul 8.30. Aku pergi dululah. Jangan kunci pintu bilik pula tau. Aku malas bawa kunci."

"Lah! Alang-alang dah keluar tu bawalah sekali kunci bilik kau Zul. Zulfah!"

Teriakan Linda tidak diendahkan. Dia dah lambat. Harap-harap Suhaimi masih berada di cafe. Tahan telinga sajalah kalau kena bebel nanti. Dia dah bersengkang mata menyiapkan assignment untuk Suhaimi. Takkanlah tergamak lelaki itu menghamputnya nanti,kan?

"I'm very, very sorry Mie. Ada bacaan yasin di mursolah tadi. Dah lama tunggu ke?" Selamba Zulfah menipu.

"Oh! Pergi mursolah. Aku ingatkan kau tertidur. Tak apalah kalau macam tu. Mana assignment aku?"

"Ada ni. Tapi boleh tak temankan aku makan sekejap? Laparlah. Dari siang tadi tak makan tau." Zulfah mengusap perut dan tayang senyum manis.

"Kau ni. Badan dah macam papan plywood pun nak diet juga ke? Kau nak makan apa? Biar aku belikan. Sebagai tanda terima kasih sebab siapkan assignment aku."

"Belikan aku burger daging special sajalah. Kedai lain macam dah nak tutup. Lain kali aku nak kau belanja makan dekat luar. Naik muak dah aku makan di medan selera ni tau." Zulfah menjeling manja.

"Amboi! Mengada-adanya dia. Aku nak belanja makan pun dah cukup baik tau. Tunggu sini."

Dengan senang hati Zulfah menarik kerusi. Mata tidak lepas memerhatikan tingkah Suhaimi dari jauh. Kecil besar anak matanya mengawasi beberapa orang gadis yang berbual mesra dengan Suhaimi. Tiba-tiba hati dipagut cemburu. Tapi tak tahu nak marah pada Suhaimi atau gadis-gadis yang menggeletis dan tergedik-gedik itu.

ANTARA LENNY DAN ZULFAH (Ada dia...)Where stories live. Discover now