.._______________________________..
Emily membuka mata perlahan-lahan. Pandangannya kabur, tetapi benda pertama yang dia lihat ialah siling yang penuh corak putih dan emas, berkilauan samar di bawah cahaya samar.
Badannya terasa panas dan lemah, mungkin masih berbekas kesan dari hujan semalam.
Dia memerhatikan ruang bilik yang luas dan penuh dengan perhiasan mewah, begitu asing baginya. Di mana dia sebenarnya? Ingatannya kabur, terhenti pada momen terakhir seorang wanita tidak dikenali menggendongnya dalam kegelapan.
Matanya terpaku pada dua pintu besar di hujung bilik, yang satu daripadanya terbuka luas.
Dari celah pintu itu, kedengaran suara hingar-bingar; orang berlari ke sana ke mari seolah-olah dalam kecemasan, masing-masing tanpa arah tujuan yang jelas.
Emily menyelak selimut tebal yang membalut hampir separuh badannya yang kecil. Dia mengesot turun dari katil besar itu, perlahan-lahan, sehingga kedua-dua kakinya akhirnya menyentuh lantai konkrit yang dingin.
Walaupun kakinya terasa longlai, seperti jeli, dia memaksa diri untuk bangkit dan menuju ke arah pintu yang terbuka.
SRHING! KTAK!
Emily tersentak. Pergerakannya terhenti mendadak. Sebilah pisau rambo melintasi sebelah pipinya, hampir-hampir mengenainya.
Pisau itu tersekat pada pintu kayu di hadapannya, bergetar halus akibat hentakan. Hanya satu inci yang memisahkan dia dari maut.
"Nak pergi mana?" Suara garau menegur dari belakang, menggetarkan suasana. Tanpa berpaling, Emily dapat merasakan aura lelaki itu, aura yang mendebarkan dan membahayakan, membuatnya kaku.
Emily membisu, lidahnya kelu. Suasana senyap seketika, seolah-olah masa berhenti sejenak.
"Aku tanya kau nak pergi mana? Susah sangat ke nak jawab, ha?" Suara lelaki itu semakin tajam, nadanya penuh ancaman.
Dia menendang meja kecil di tepi katil dengan kasar, cawan porselin yang berada di atasnya terhempas ke lantai, pecah berkecai. Serpihan-serpihan itu berterbangan, nyaris mengenai Emily.
"Nak... nak pergi tandas," jawab Emily tergagap, suaranya lemah dan bergetar. Dia menggenggam baju di hujung perutnya, cuba menenangkan dirinya. Sebenarnya, dia sendiri tidak pasti ke mana hendak pergi, tetapi itulah satu-satunya alasan yang terlintas.
"Tandas?" Lelaki itu tersenyum sinis, ketawa yang pendek namun dingin. "Sejak bila pula tandas arah sana?" Dia mengetuk-ngetuk permukaan meja kecil, seolah-olah menunggu Emily mencari alasan yang lebih meyakinkan.
Emily menelan air liur, tubuhnya terasa tegang, dan mulutnya kelu tanpa jawapan. Dia hanya berdiri kaku, berdepan dengan situasi yang tak pasti.
Lelaki itu mendengus, wajahnya berkerut. Dia memejamkan mata sejenak sambil menekan batang hidungnya, cuba menahan rasa marah yang semakin membuak. Sesaat, ekspresinya berubah, seolah bergelut dengan dirinya sendiri.
'Sabar, Hans... sabar... ini anak kau juga, bukan orang lain,' batinnya berbisik, cuba mengawal amarah yang hampir meluap. 'Kena kau juga nanti kalau buat sesuatu pada budak ni...'
"Baiklah, budak," dia mendengus, nada suaranya dingin tetapi mengendur sedikit. "Kalau kau nak membisu sepanjang hari, teruskan. Aku sibuk, banyak urusan lain yang perlu diselesaikan." Dengan langkah berat, lelaki itu berlalu dari belakang Emily tanpa berpaling lagi, seperti kehadirannya di situ hanya bayang-bayang yang singgah seketika.
Namun sebelum dia keluar sepenuhnya dari bilik, lelaki itu berhenti di sisi Emily, berdiri di sebelahnya tanpa memandangnya.
"Satu lagi..." katanya perlahan, namun cukup dingin hingga menusuk. "Pandai-pandailah kau beri alasan pada bapak kau nanti... mana kau menghilang semalaman. Urusan aku sudah selesai di sini."
Emily diam membatu, pandangannya tetap pada lantai.
"Dan... " katanya, sambil menjeling sekilas padanya, nada suaranya seperti mencabar. "Aku mungkin akan jarang datang lepas ni. Nak keluar pun susah. Jadi, aku tak nak berharap bila aku keluar nanti kau masih hidup," katanya sambil melontarkan pandangan yang tajam, sebelum berpaling pergi tanpa berkata apa-apa lagi.
Usai lelaki itu keluar, Emily mengangkat kepalanya, memandang lelaki itu. Pakaian yang serba hitam dan merah. Membuatkan adanya aura yang merbahaya.
Walau dia tidak mengenali lelaki itu tetapi dia pasti lelaki ini bukan orang biasa-biasa.
Emily berdiri kaku ditempatnya, masih tergamam dengan ancaman yang baru saja diucapkan. Suara lelaki itu masih bergema-gema di telinganya, dan jantungnya masih berdegup laju seakan-akan mahu melompat dari dada. Dia menggigil, keringat dingin mengalir di sepanjang belakang lehernya.
Dia jatuh terduduk. Tiba-tiba kaki rasa longlai tidak berdaya. Dia tidak percaya yang dia baru sahaja mengelak dari serangan maut lelaki itu. Namun siapakah lelaki itu?
Hampir 5 minit dia berada didalam posisi yang sama. Otak masih ligat berfikir, namun secara tiba-tiba bunyi kaca terhempas menyapa halwa telinga Emily. Suasana diluar pintu semakin ribut.
Emily bangun ingin mengintai apa yang sedang berlaku. Namun pergerakannya terhenti sekali lagi tetapi bukan dengan pisau tetapi dengan manusia. Orang itu berdiri megah dihadapan Emily membuatkan dirinya terasa sangat kecil.
Dia mendongak melihat keatas, ingin melihat siapa yang menghalang jalannya. Terbeliak matanya apabila orang itu adalah lelaki tadi.
'Apa pula dia nak kali ni?' bisik hatinya.
"Intan pergi mana semalam?" suara dingin lelaki itu berkata dengan nada yang cukup menyeramkan daripada tadi. Dia memandang kebawa dengan mimik muka seperti hendak membunuh seseorang. Dadanya berombak laju seperti sedang menahan api amarah.
YOU ARE READING
Golden Assassin
FantasyApa perasaan kalau masuk ke dalam dunia novel yang kau baru sahaja habis baca? Tetapi kau adalah watak sampingan yang tidak pernah dinyatakan didalam buku cerita. Mungkin ada perasaan yang seronok, terkejut dan keliru. Itulah yang berlaku kepada w...