Prolog

14 0 0
                                    

Cuaca pagi ini sejuk benar selepas hujan. Kabus tebal meliputi seluruh kawasan Kolej Duta Megah, dengan berlatar belakang kawasan pergunungan memberikan suasana sayu dan tenang yang seolah-olah menyuruh penghuni kolej untuk kembali beradu. Titik-titik air hujan yang masih menitis dari atap bumbung dan pokok-pokok yang dibasahi embun menambahkan lagi rasa dingin pagi itu. Suara angin perlahan kedengaran di balik tingkap asrama, mencipta simfoni lembut yang menenangkan.

Namun, ketenangan itu tidak berpanjangan. Loceng kolej berbunyi nyaring, memecahkan keheningan pagi, menandakan semua pelajar harus bergegas ke dataran utama untuk perhimpunan mingguan. Di dataran, pelajar mula berkumpul, lengkap dengan pakaian seragam yang kemas, berdiri tegak sambil menunggu ketibaan Tuan Pengetua.

Di hadapan mereka, berdiri Tuan Pengetua Tuan Haji Zakaria, seorang lelaki yang tegas dengan raut wajah yang penuh pengalaman. Suaranya bergema melalui mikrofon, menyampaikan amanatnya buat kesekian kalinya.
Dihujung perucapan beliau menekankan pesanan paling utama sejak dahulu lagi.

  “Selamat Pagi mahasiswa dan mahasiswi serta penghuni Kolej sekalian, saya harap kamu semua mengambil perhatian penuh terhadap peraturan Kolej yang saya akan ulang sekali lagi. Peraturan ini bukan sahaja untuk keselamatan kamu, tetapi juga untuk memastikan Kolej Duta Megah terus menjadi institusi yang terulung di negara ini.”

Suaranya menjadi semakin serius.
  “Saya mahu kamu semua ingat dengan jelas peraturan yang amat penting iaitu Peraturan 790. Saya tidak mahu mendengar sesiapa pun mendekati Blok Kiiara. Kawasan itu adalah larangan. Saya ulang, Kawasan larangan. Blok tersebut sudah terlalu uzur dan berbahaya untuk didekati. Jangan cuba-cuba cari masalah yang seterusnya akan menyusahkan warga Kolej ya?”

Pelajar-pelajar berbisik sesama sendiri. Blok Kiiara, sebuah bangunan lama yang terletak di hujung kampus, seringkali menjadi buah mulut pelajar. Ada yang mengatakan ia berhantu, ada yang percaya ada misteri yang disembunyikan di sana. Apa yang pasti, Blok Kiiara sudah lama ditinggalkan dan tidak pernah disentuh lagi, menyebabkan pelbagai spekulasi liar berlegar di kalangan warga kolej.

Tuan Haji Zakaria melanjutkan ucapannya, dengan pandangan mata yang tajam dan penuh amaran.

  “Siapa sahaja yang melanggar peraturan ini akan dikenakan tindakan yang berat. Jangan sesekali cuba untuk memasuki kawasan itu, apatah lagi mencari jalan untuk ke dalamnya. Saya harap ini jelas dan tolong simpan ingatan ini untuk masa depan”

Tegas, benar benar tegas perwatakan Tuan Haji Zakaria. Sedari dahulu memang dia terkenal dengan personaliti sebegitu.

Perhimpunan tamat, dan para pelajar bersurai. Namun, di sudut dataran, beberapa pelajar mula berbual sesama sendiri membayangkan kemungkinan apa yang benar-benar tersimpan di Blok Kiiara.

Adakah benar sedari dulu peraturan dibuat hanya kerana bimbang keselamatan atas faktor bangunan telah uzur? Jika benar kenapa tiada baik pulih atau pembaharuan? Atau sebenarnya terdapat misteri hantu orang bunuh diri di dalam sana? Dalam suasana yang masih berkabus, pelbagai persoalan timbul di fikiran mereka. Blok Kiiara bukan sekadar bangunan uzur; ia menyimpan rahsia yang lebih besar dari apa yang mampu mereka bayangkan

Gerbang KiiaraWhere stories live. Discover now