B A B 3

12 0 0
                                    

Fathiya Ariena sedang mengemas barang-barangnya untuk pulang ke asrama ya esok kerana kelas kuliah tidak lama lagi akan bermula. Namun, di sebalik rutin mengemas, perasaan cemas mula meresap dalam dirinya. Fikiran tentang peperiksaan akhir semester yang semakin mendekat dan harapan ayahnya yang tinggi membuatkan dia terasa beban yang begitu berat.

Sedang dia mengemas barang-barangnya itu, tiba-tiba pintu biliknya diketuk perlahan. Pintu itu dibuka dari luar. Fathiya yang sedang khusyuk mengemas, berhenti seketika dan hanya memandang, ingin melihat siapa yang membuka pintu tersebut.

Ayah.

Ayahnya yang membuka pintu itu dari luar.

"Boleh ayah masuk?" tanya Tuan Hashim dengan suara lembut, namun Fathiya dapat merasakan ketegasan yang tersembunyi di baliknya.

Fathiya hanya mengangguk sebagai tanda membenarkan. Walaupun dalam hatinya, sedikit rasa tidak selesa muncul, dia cuba menutupinya.

Ayahnya pun masuk dan duduk di atas kerusi belajarnya. Fathiya dapat merasakan kehadiran ayahnya yang berat,seolah-olah sedang menunggu sesuatu dari dirinya.

"Minggu depan dah nak exam, kan Ariena?" soal Tuan Hashim, menatap wajah anaknya dengan penuh harapan.

"Ya," jawab Ariena, cuba menenangkan dirinya. Suaranya terdengar sedikit serak, namun dia berusaha agar tidak kelihatan gelisah.

"Pastikan semua gred tinggi, jangan ada yang turun. Dapatkan biasiswa tu. Tahu tahun ini tahun terakhir, tapi dapatkan juga," kata Tuan Hashim dengan tegas. Setiap perkataan ayahnya seperti memberi tekanan yang semakin menekan jiwanya. Fathiya tahu, ayahnya benar-benar mengharapkan dia berjaya.

Nak tak nak, dia perlukan juga.

"Iya, baik ayah. Ariena cuba," jawab Fathiya perlahan. Walaupun hatinya penuh dengan keraguan, dia cuba untuk bersuara dengan penuh keyakinan, namun suaranya masih kedengaran tersekat-sekat.

"Jangan hanya cuba, buat betul-betul. Boleh la nak bantu ayah dari segi kewangan. Ayah pun ada banyak benda nak kena tanggung," kata Tuan Hashim, nadanya sedikit lebih keras, memberi tekanan lebih lagi pada Fathiya.

"Dah, cepat kemas barang, pastu tidur awal," kata Tuan Hashim tegas, lalu bangun dari kerusi dan keluar dari bilik itu.

Pintu bilik ditutup dengan perlahan, dan Fathiya duduk termenung, memandang ke arah pintu yang kini tertutup rapat. Jantungnya berdebar, hatinya terasa berat. Air mata mula mengalir membasahi pipinya, bukan kerana dia mahu meratap, tetapi kerana dia takut dia akan mengecewakan ayahnya. Kerisauan itu membuatkan dia merasa sangat kecil, seolah-olah segala usaha dan harapan yang diberikan kepadanya boleh hilang begitu sahaja.

Dia sedih. Dia tahu dia tidak secerdik orang lain. Dia selalu rasa dirinya tidak cukup baik, selalu berusaha sendiri tanpa sesiapa di sisi. Semua yang dilalui, dilakukan sendirian. Tetapi satu perkara yang tidak pernah padam dalam hatinya: Demi keluarga, dia harus kuat.

Dengan perlahan, dia menyambung mengemas barang sambil memikirkan, Adakah dia akan berjaya mendapatkan biasiswa itu? Adakah dia cukup berkemampuan untuk memenuhi harapan tinggi ayahnya?

🌸🌸🌸

Pagi-pagi lagi, Aariz Haikal sudah tiba di kedai untuk memulakan tugasnya sebagai barista. Hampir sebulan dia hanya duduk di rumah, cuba menenangkan fikiran dan menerima kenyataan yang sukar. Walaupun begitu, setiap kali dia mengenangkan peristiwa-peristiwa yang berlaku, rasa sesak di dada tetap hadir. Pemikirannya seakan terperangkap dalam kenangan-kenangan pahit yang sukar dilupakan, dan ia membuatkan tangannya kadang-kadang ketar, apatah lagi bila perasaan itu datang menyerang.

HEARTWhere stories live. Discover now