B A B 4

5 1 0
                                    

Fathiya Ariena masih terpaku di hadapan telefon, tersenyum sendiri sambil melihat keputusan yang sungguh membanggakan itu. Hatinya terasa berbunga-bunga. Keputusan peperiksaannya jauh lebih baik dari yang dia jangkakan, dan dia tahu, inilah masa yang tepat untuk membuatkan umi dan ayahnya bangga. Dia membayangkan wajah mereka yang akan tersenyum lebar saat melihat pencapaian anak mereka.

"Bismillah, mudah-mudahan semua berjalan lancar," bisik Fathiya dalam hati, sebelum menutup telefon dan memasukkan begnya ke dalam kereta. Hari ini adalah hari yang ditunggu-tunggu—pulang ke rumah.

Namun, ketika dia melangkah keluar dari kawasan kolej, dia terlihat sekumpulan pelajar berdiri di sudut, bercakap-cakap dengan suara agak kuat. Salah seorang dari mereka, Sya, seorang teman sekuliahnya yang sering memberi pandangan sinis kepadanya, kelihatan berbual dengan rakan-rakannya sambil melontarkan kata-kata tajam yang hanya Fathiya yang tahu ditujukan kepadanya.

"Eh, Fathiya tu bukan ke... sem baru nak bangga sangat tunjuk keputusan kat mak ayah dia? Kesian kan, macam takde kawan je. Kalau tak ada orang nak support, tu je la yang dia ada untuk buat orang kagum," kata Sya sambil ketawa kecil.

Fathiya terasa bagai ditampar. Walaupun Sya cuba bersikap santai dan tidak langsung memandangnya, dia cukup faham maksud kata-kata itu. Selama ini, dia memang sering keseorangan. Keputusan peperiksaannya yang bagus tidak mampu menutup rasa kesepian yang selalu menghantui dirinya. Ramai kawan-kawan di kolej hanya mendekatinya bila perlu, tetapi tidak pernah ikhlas. Dan Sya, sudah tentu salah seorang yang selalu memperlekehkan dirinya.

Fathiya menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri. Dia tahu, tidak semua orang akan gembira dengan pencapaiannya. Ada yang akan merasa iri, ada yang akan menyindir. Tapi, itu semua tidak penting. Apa yang lebih penting sekarang adalah dia mampu membawa kebanggaan kepada umi dan ayahnya. Mereka adalah sumber motivasinya selama ini.

Dengan penuh tekad, Fathiya mengatur langkah kembali ke kereta. Dia enggan membiarkan kata-kata sinis Sya menggugat keyakinannya. Setiap langkah menuju rumah, dia semakin bersemangat, membayangkan betapa bahagianya umi dan ayah apabila mereka tahu hasil usaha kerasnya selama ini.

Sampai sahaja Fathiya berdiri kaku di hadapan umi dan ayahnya, memegang kertas keputusan yang seharusnya membuatkan dia bangga. Hati kecilnya berdebar-debar, penuh harapan. Ini adalah saat yang ditunggu-tunggu. Dia sudah berusaha keras, berulang kali menelaah pelajaran, mengorbankan masa sendiri demi mendapatkan keputusan ini. Kali ini, dia yakin ayah dan umi pasti akan bangga.

Namun, setelah Fathiya menyatakan kegembiraannya, wajah Tuan Hisham tetap tidak berubah. Ayahnya hanya menghela nafas perlahan, seolah-olah keputusan yang baru sahaja dilihatnya itu tidak memberi kesan langsung kepadanya. Tuan Hisham menatap kertas keputusan dengan pandangan yang tidak bisa disembunyikan lagi — kekecewaan.

"Apa ni? Biasa je result. Kenapa ada B? Tak boleh ke dapat semua A, Ariena?" soal Tuan Hisham dengan nada yang begitu dingin, seolah-olah pencapaian anaknya langsung tidak bererti.

Kata-kata itu bagai pisau yang menikam hati Fathiya. Senyuman yang tadinya ceria dan penuh harapan itu hilang serta-merta. Bagaimana mungkin? Dia telah berusaha sebaik mungkin. Kenapa ayahnya tidak melihat itu?

Kenapa macam ni lagi? Apa lagi yang aku tak cukup? Fathiya berasa begitu kecil. Setiap inci tubuhnya terasa berat, seperti ada sesuatu yang memeluk erat hati dan membuatnya tidak mampu bernafas.

"Ayah... kan pointer Ariena tinggi... result pun cantik, ayah," Fathiya menjawab perlahan, suaranya sedikit bergetar. Dia cuba menahan sebak, tetapi percakapan ayahnya seolah-olah merobek setiap kepingan harapannya.

"Cantik apa? Ada B tu. Dah cacat result ni," balas Tuan Hisham tanpa sedikit pun nada simpati. Tanggapan ayahnya begitu keras, tanpa ruang untuk membela diri.

HEARTWhere stories live. Discover now