BAB 3

264 82 10
                                    

Suasana ruang santap sunyi sepi, hanya ditemani bunyi garfu dan pisau kecil berlaga di atas pinggan. Mahesa hanya tenang menyantap. Lain pula dengan Jebat yang sering kali melihat Mahesa dalam diam. Jebat tak nafikan cara makan Mahesa sangat rapi dan tertib. Tiada bunyi terlalu bising ketika garfu dan pisau berlaga. Nampaknya, Mahesa sangat mengambil berat dengan peraturan dalam istana.

Mahesa berhenti menjamah daging stik miliknya. Jus oren diteguk. Kemudian, kesan sisa makanan di sekitar bibir, dikesat dengan kain napkin. Jebat perhati tingkah laku Mahesa yang sangat tersusun dengan mulut mengunyah daging. Bergerak-gerak bebola mata itu sehinggalah Mahesa bangun. Berjalan lenggang-lenggok ke arahnya.

Mata Jebat terkedip-kedip. Perhatiannya tertumpu pada tubuh Mahesa yang tinggi lampai dan lekuk tubuh yang sempurna. Oh Tuhan, kenapa dia tak menyedari dia ada wanita idaman di depan mata? Bagaimana mungkin dia buta dengan kecantikan dan kesempurnaan Mahesa? Lihatlah tubuh yang menggoda itu. Dalam diam memanggil dia untuk dibelai dan disentuh.

"Abang..." Suara halus nan lembut itu menyentuh telinga Jebat. Jebat mendongak. Mahesa sudah mendaratkan punggung di pinggir meja. Satu tangan Mahesa memegang kepala kerusi dan satu tangan lagi mencengkam lembut pinggir meja.

Mengurung jejakanya.

"Abang tak rindu saya?" tanya Mahesa tersenyum. Merenung sepasang mata berona madu itu. Dia jatuh cinta dengan mata suaminya.

Indah.

Jebat membeku. Adakah Mahesa ingin menggodanya? Atau dia saja yang menganggap Mahesa menggodanya? Ah bingung! Jebat menelan payah daging di dalam mulut. Tiba-tiba susah sangat nak telan makanan bila diberi dominasi yang mengancam.

Sedikit takjub dengan cara Mahesa inginkan perhatiannya. Apa salahnya? Suami isteri, kan? Pasti Mahesa tiada rasa malu untuk mainkan peranan sebagai isteri. Jebat berdehem. Tubuh menegak. Tali leher dibetulkan apabila rasa tercekik. Panas pula badan ni.

"Abang, saya nak tanya abang ni..."

"Tanyalah," hampir tak terkeluar suara Jebat. Kau kenapa ni, Jebat? Dah kena jampi godaan tak wujud Mahesa ke?

"Abang tidur sini tak malam ni? Saya ingat saya nak luangkan masa dengan abang. Yalah... Sejak kita kahwin, saya tak pernah duduk berdua dengan abang. Boleh kali ini abang tunaikan permintaan saya? Satu malam saja. Saya tak minta banyak daripada abang..." Berhati-hati Mahesa meluah. Hatinya berharap sangat-sangat. Mengharapkan jejaka itu ingin bermalam di sini.

Dia mulai sukar untuk melepaskan Jebat pulang. Mahesa yakin bila Jebat pulang, dia akan menunggu berbulan lagi untuk makan malam bersama Jebat.

"Boleh kan, abang? Satu malam je..." Tanpa sedar, Mahesa merayu. Mahesa bertukar posisi duduk di atas ribaan Jebat. Tangan Jebat dibawa ke perut datarnya. Tak tahu jika tindakan ekstremnya membuat tubuh Jebat mengeras sempurna.

Jebat menelan liur. Dada sesak. Tangan di penghadang kerusi, mencengkam kuat. Urat-urat menimbul tanda dia menahan diri. Sungguh dia tak sangka permainan Mahesa begini sekali. Memancing dia untuk tidur satu malam di sini. Disangka polos ternyata tidak! Dalam diam, Mahesa menyimpan sisi nakal itu hanya untuk dia.

Jebat pejam mata sambil bibir terkumat-kumit menyumpah. Dia sudah berjanji dengan Amara bahawa dia tidak boleh bermalam di sini. Dia tak boleh menyentuh Mahesa! Jebat tanamkan ayat itu dalam otak.

Mahesa menoleh kepala melihat wajah Jebat. Jejakanya nampak bersandar sambil pejam mata. Mata turun pada halkum suaminya. Turun naik. Mahesa bangun dari ribaan Jebat. Gerakan spontannya berjaya menyedarkan Jebat. Mahesa tarik Jebat supaya bangun.

"Abang bangun kejap boleh?" Minta Mahesa lembut. Jebat akur. Dia bangun sesuai permintaan Mahesa.

Mahesa tersenyum. Jebat tersentak saat punggungnya mencecah birai meja. Terkejut Mahesa tiba-tiba mendekat. Mahesa perasan reaksi Jebat, tersenyum tawar. Sebegitukah Jebat tak mahukan dia? Apa kekurangan dia? Dia sanggup menunggu sampai enam bulan kerana percaya Jebat akan datang menemui dia akhirnya.

𝐌𝐚𝐡𝐚𝐫𝐚𝐧𝐢 𝐌𝐚𝐡𝐞𝐬𝐚Where stories live. Discover now