Hidup Huang Yu Chun kini berputar 180 darjah. Dari sawah padi yang kering dan gersang di kampungnya, kini berada di tempat yang sepenuhnya berbeza daripada apa yang dibayangkan - Istana besar dengan lantai marmar berkilauan dan tiang-tiang tinggi yang menjulang ke langit, tampak seperti sesuatu yang keluar dari cerita dongeng.
Namun, di sebalik keindahan dinding-dinding marmar dan permaidani merah itu, tersembunyi dunia yang rumit, penuh peraturan, pengkhianatan, dan pandangan yang sentiasa memerhati. Setiap sudut istana seperti menyimpan rahsia, dan setiap senyuman yang dilemparkan pelayan lain terasa ada udang di sebalik batu. Dia masih baru di sini, dan itu jelas membuatnya menjadi perhatian. Namun, tidak semua perhatian itu bersifat baik.
Ia membuatkan Yu Chun terasa terasing, seolah-olah ada jurang besar yang memisahkan dirinya dengan pelayan-pelayan lain. Pandangan mereka seakan-akan berkata, "Kau takkan bertahan lama."
Namun, di sebalik tekanan itu, Fang Fei muncul sebagai satu-satunya sinar dalam hari-harinya. Fang Fei seorang gadis periang, sentiasa ada untuk menceriakan suasana. Malam-malam selepas kerja, mereka sering duduk bersama di tepi kolam kecil berhampiran dapur, berbual sambil menikmati angin malam.
"Yu Chun, kau tahu menjahit tak?" tanya Fang Fei pada suatu malam, sambil menunjukkan pakaiannya yang koyak kecil di bahagian lengan.
"Bolehlah sikit-sikit," jawab Yu Chun sambil mengambil kain itu dari tangan Fang Fei. Tanpa banyak cakap, dia mula menjahit. Jarinya lincah, setiap tusukan jarum tepat seperti sudah biasa melakukannya. Fang Fei memerhati dengan mata yang tidak berkelip.
Fang Fei memandang kagum. "Kau ni hebatlah. Aku cuba jahit, bukannya jadi makin elok, alamatnya makin besar koyaknya."
Yu Chun ketawa kecil. "Benda ni bukannya susah sangat. Kau kena banyak sabar je."
Fang Fei tersenyum, tetapi nadanya berubah sedikit lebih serius. "Kau rajin, Yu Chun. Aku suka tengok semangat kau. Tapi kau kena hati-hati. Dalam istana ni, ada banyak orang yang tak suka kalau kita nampak lebih bagus daripada mereka," ujar Fang Fei, nadanya perlahan tetapi serius.
Yu Chun berhenti sejenak. Dia memandang wajah Fang Fei, mencari maksud yang tersirat di sebalik kata-katanya. "Aku tahu. Tapi aku tak datang sini untuk tunduk. Kalau mereka nak benci aku, biarlah. Aku tak peduli."
Fang Fei menundukkan kepala, senyuman kecil di wajahnya. "Aku suka semangat kau. Tapi aku tetap risau. Istana ni... tempat ni... tidak mudah untuk orang macam kita."
-
Hari yang Meletihkan
Hari itu, Yu Chun ditugaskan membawa air dari telaga yang jauh ke dapur utama. Baldi-baldi yang terisi penuh di tangannya terasa berat seperti menarik setiap urat dan otot tubuhnya. Peluh menitis di dahi, membasahi rambutnya yang melekat ke wajah. Tetapi Yu Chun terus berjalan, setiap langkahnya adalah perjuangan.
Sebaik sahaja dia tiba di dapur, suara sinis menyambutnya.
"Kenapa lambat sangat? Kau ingat istana ni ada masa nak tunggu kau seorang?" Jiang Li, pelayan senior yang sering menjadikan Yu Chun sebagai sasaran, berdiri sambil bercekak pinggang, matanya tajam seperti pisau.
Yu Chun meletakkan baldi perlahan-lahan di lantai. "Saya dah cuba secepat yang saya boleh."
"Cuba? Kalau setakat 'cuba', aku pun boleh cari anjing dapur buat kerja kau!" balas Jiang Li, suaranya penuh sindiran. Pelayan-pelayan lain yang berdiri di situ ketawa kecil, berseronok dengan hinaan itu.
Yu Chun menggenggam erat tangannya, cuba mengawal marah. Dia tahu, membalas hanya akan membuat keadaan menjadi lebih buruk.
Fang Fei yang kebetulan lalu segera mendekatinya. Dia menarik tangan Yu Chun ke tepi, jauh dari pandangan Jiang Li.
"Biarkan dia. Dia memang suka cari pasal. Kau tak perlu buang tenaga untuk layan orang macam dia," bisik Fang Fei.
Yu Chun mengangguk perlahan. "Aku tahu. Aku cuma buat kerja aku."
Walaupun kata-kata itu keluar dengan tenang, di dalam hati, Yu Chun sudah bertekad. Dia takkan biarkan sesiapa memijak harga dirinya.
-
Keadaan Cemas di Dapur
Petang itu, dapur menjadi riuh rendah. Sebuah periuk besar yang sedang digunakan untuk memasak sup Maharaja hampir terbalik. Jiang Li, yang bertanggungjawab, kelihatan panik.
"Kenapa semua berdiri macam patung? Kalau sup ni tumpah, kita semua habis kena!" jerit Jiang Li, suaranya melengking.
Semua pelayan lain berdiri kaku, tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Yu Chun yang berada tidak jauh dari situ segera bertindak. Dia mencari beberapa keping kayu tebal di sudut dapur dan menyokong periuk besar itu, memastikan ia stabil.
"Pegang kayu ni dulu sementara kita alihkan periuk ke tempat yang lebih stabil," katanya, nadanya tegas tanpa ragu-ragu.
Pergerakannya pantas dan teratur. Pelayan lain hanya memandangnya, seolah-olah tidak percaya dengan keberanian dan kepantasannya. Dalam beberapa minit, keadaan kembali terkawal. Sup Maharaja yang hampir tumpah berjaya diselamatkan.
Jiang Li tidak berkata apa-apa. Dia memandang Yu Chun dengan wajah yang sukar dibaca, mungkin malu, mungkin marah kerana perhatian kini tertumpu pada Yu Chun.
"Baiklah, cukup untuk hari ini. Semua balik ke bilik masing-masing," kata Jiang Li dingin sebelum berlalu pergi tanpa memandang Yu Chun.
Selepas Jiang Li pergi, Fang Fei menghampiri Yu Chun dengan senyuman yang lebar. "Kau ni betul-betul luar biasa. Kalau bukan sebab kau, habislah kita semua kena maki tadi."
Yu Chun tersenyum kecil, tetapi tidak membalas.
"Betul, aku serius ni. Tak ramai yang berani buat apa yang kau buat tadi. Kau memang hebat," sambung Fang Fei.
Yu Chun mengangkat bahu. "Aku cuma buat apa yang aku rasa betul. Itu je."
Fang Fei tersenyum, tetapi dia tahu kata-kata Yu Chun tidak sepenuhnya benar. Di sebalik ketenangan gadis itu, ada keberanian yang Fang Fei sendiri belum pernah lihat sebelum ini. Fang Fei menepuk bahu Yu Chun. "Tapi kau kena hati-hati. Bila kau mula menonjol, makin ramai yang tak suka."
Yu Chun mengangguk. Dia tahu Fang Fei betul, tetapi dia tidak takut. Dia datang ke sini bukan untuk menyerah.
-
Penutup Bab
Malam itu, Yu Chun berbaring di atas katil kayu kecilnya. Matanya tertutup, tetapi fikirannya tidak berhenti berputar. Dunia istana ini penuh cabaran yang lebih besar daripada apa yang pernah dia bayangkan.
Tetapi di dalam hatinya, dia tahu satu perkara. Dia bukan gadis kampung biasa. Dia tidak akan menyerah semudah itu.
"Kalau mereka mahu cuba jatuhkan aku, biar mereka cuba," bisiknya kepada dirinya sendiri.
Di luar, bintang-bintang di langit bersinar terang. Di dalam istana, seorang gadis yang dahulu hanya mengenal sawah dan tanah kini mula melakar takdirnya sendiri.
![](https://img.wattpad.com/cover/385261462-288-k171741.jpg)
YOU ARE READING
Yu Chun's Journey : Hasil Yang Memuaskan
Historical FictionCerita ini membawa kita ke zaman Dinasti Ming, sebuah era yang penuh dengan kekacauan. Di tengah-tengah semua itu, kisah Huang Yu Chun, seorang gadis kampung miskin, menjadi bukti bahawa ketabahan dan keberanian mampu mengubah takdir seseorang. Di...