Bab 3

8 1 0
                                    

Nama Yu Chun kini meniti di setiap bibir di istana. Bermula dengan periuk sup Maharaja yang diselamatkannya, kisah itu merebak seperti api, membakar rasa kagum di hati para pelayan dan pegawai istana. Di sudut hati, dia masih belum terbiasa dengan pujian yang diterimanya sejak insiden itu. Siapa sangka, seorang pelayan kampung mampu menunjukkan kebijaksanaan sehebat itu?

Namun, tidak semua menyenangi kisah kejayaan itu. Jiang Li, pelayan senior yang sudah lama mendominasi dapur istana, merasakan kedudukannya terancam. Mata Jiang Li tajam mengikut setiap gerak-geri Yu Chun, seperti pemangsa yang menunggu masa.

Rancangan Jahat

Pagi itu, dapur istana masih lengang. Bau bawang yang baru dipotong menusuk hidung, sementara bunyi air dari sinki memecah kesunyian. Yu Chun berdiri di sudut dapur, tangan cekap menyental periuk besar yang berkerak. Namun, ketenangan itu diragut apabila Fang Fei meluru masuk dengan wajah pucat seperti disimbah ketakutan.

"Yu Chun! Cepat, kau kena pergi sekarang!" jerit Fang Fei, suaranya terketar-ketar.

Yu Chun menoleh perlahan, keningnya terangkat. "Apa hal ni? Macam nampak hantu." soalnya sambil menyeka peluh di dahinya.

"Madam Su nak jumpa kau di balai pengawas. Katanya ada masalah besar," jawab Fang Fei dengan nafas tercungap-cungap.

Yu Chun termenung sejenak, cuba memproses kata-kata itu. "Masalah besar? Masalah apa? Aku rasa aku tak buat apa-apa salah pun."

Fang Fei meraup wajahnya, jelas semakin gelisah. "Aku pun tak tahu. Tapi kalau Madam Su dah panggil, kau jangan berlengah. Dia tak suka menunggu."

Tanpa berkata apa-apa lagi, Yu Chun menyentuh apron lusuhnya, memastikan tiada kesan kotor sebelum melangkah keluar dengan penuh persoalan.

Di balai pengawas, suasananya tegang. Pelayan-pelayan lain berkumpul dalam bulatan, bisik-bisik kecil memenuhi ruang. Di tengah bilik, Madam Su berdiri dengan wajah yang sukar dibaca, kedua-dua tangannya memegang sebuah kotak kecil berhiaskan ukiran emas.

"Yu Chun," panggil Madam Su, nadanya tenang tetapi dingin seperti embun pagi.

Yu Chun tunduk hormat. "Saya di sini, Madam. Apa yang boleh saya bantu?"

Madam Su mengangkat kotak itu ke paras matanya sebelum membukanya perlahan-lahan. Di dalamnya, tersimpan seutas gelang emas yang bersinar dalam cahaya pagi.

"Adakah kau tahu apa ini?" soal Madam Su, matanya tajam menikam Yu Chun.

Yu Chun menggeleng perlahan, wajahnya penuh tanda tanya. "Saya tak tahu, Madam."

"Gelang ini milik Gundik Ling," sambung Madam Su, menekankan setiap perkataan. "Ia ditemui di bawah katil kau pagi tadi. Jelaskan ini, Yu Chun."

Kata-kata itu ibarat halilintar yang menyambar. Yu Chun terkaku. Seketika, dunia terasa senyap.

"Saya..." Yu Chun cuba berkata-kata, tetapi suaranya tersekat di kerongkong. Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan diri. "Saya tak curi barang sesiapa, Madam. Saya tak tahu bagaimana gelang itu boleh ada di bilik saya."

Bisik-bisik mula kedengaran. Pelayan-pelayan lain saling berbalas pandangan. Di sudut belakang, Jiang Li berdiri dengan wajah puas, bibirnya meleret dengan senyuman tipis.

Fang Fei, yang berdiri tidak jauh, segera melangkah ke hadapan. "Madam Su, saya boleh jadi saksi. Yu Chun tak keluar dari dapur sepanjang hari semalam. Tak mungkin dia ada peluang nak mencuri!" katanya lantang.

Madam Su merenung Fang Fei, matanya seperti mahu menyelam ke dasar hati gadis itu. "Kalau begitu, siapa yang kau fikir meletakkan barang ini di sana? Gelang ini tak mungkin muncul dengan sendirinya."

Yu Chun's Journey : Hasil Yang MemuaskanWhere stories live. Discover now