Sedari tadi dia hanya duduk di tebing tangki air itu memerhatikan orang yang lalu lalang. Sekumpulan mak cik-mak cik kelihatannya berbisik-bisik bila mana melintas di hadapannya. Tak cukup dengan duduk menjulurkan kaki kini dia mencangkung pula. Di tangannya ada sebungkus plastik lut sinar. Isi di dalamnya sudah tinggal separuh akibat disedutnya.Dia tahu dirinya menjadi bualan masyarakat apatah lagi setelah dia menggemparkan penduduk kampungnya dengan cubaan menikam ibu sendiri.
"Oi Shah? Kau hisap gam lagi?" entah siapakah pemilik suara tersebut? Jerkahan tersebut mengejutkannya namun cuma seketika. Tiba-tiba sahaja ada orang memanggil namanya. Dia cuba mencari namun pandangannya berbinar-binar. Malah dia terasa dirinya bagaikan berada di awang-awangan.
Deburr! Bunyi sesuatu terjatuh ke dalam air. Dia sudah tak mendengar apa-apa lagi. Hanya senyuman yang terukir dibibirnya.