"Shah, mari makan!" panggil Mak Cik Zah. Namun lelaki yang dipanggil Shah itu masih lagi kaku di tempat duduknya.
"Tak apalah ummi. Biar Alya sahaja yang ajak dia makan ya," aku menawarkan diri. Abah langsung tak mengambil peduli. Sebaik sahaja semua penduduk kampung pulang abah terus meninggalkan lelaki tersebut terkapai-kapai sendirian di ruang tamu. "Abang Shah," sapaku perlahan. Risau pula kalau aku mengejutkan lamunannya. "Jom makan," ajakku.
"Tak lapar." Dua patah sahaja dia membalas ajakanku.
"Tak lapar?" soalku kembali. "Abah Shah makan apa sampai tak lapar? Ummi masak sedap tau," aku cuba melobinya.
"Tak nak." Lelaki yang tua lima tahun daripada aku itu masih berkeras dengan keputusannya.
"Kalau orang dah tak nak tak payah dipaksa. Kamu tuh mari makan. Bukannya selalu kamu dapat balik. Sekali sekala balik bolehlah suruh ummi kamu masak sedap-sedap."
"Amboi bang, selama ini saya masak tak sedap ke?" soal Mak Cik Zah tak berpuas hati. "Patutlah selalu sangat abang melepak di Kedai Kopi Mail tu kan?" Alya yang sedang memerhati kedua orang tuanya itu berperang mulut hanya mampu menggeleng kepala. Terasa tidak layak pula dirinya mahu menegur. Lamunanku tiba-tiba terganggu dengan suara esakan tangis.
Ummi dan abah juga turut terdiam. Aku jadi kelu tak tahu nak buat apa. "Abang Shah, kenapa nangis?" soalku.
Tiba-tiba sahaja lelaki itu bangun mendapatkan abah. Aku hanya membontotinya dari belakang. "Nak solat," ucapnya. Aku mendapatkan ummi dan berdiri di sebelah ummi. Peliknya lelaki ini.
"Zah kau pergi telefon Pak Imam. Aku rasa ada benda dah masuk dalam badan budak ni lah. Tak pernah-pernah jejak kaki ke masjid tiba-tiba nak solat." Aku segera menahan tubuh ummi.
"Apalah abah ni. Orang minta tolong ajarkan solat ke lain pula yang difikirkannya. Baguslah sekurang-kurangnya dia ingat Allah," ucapku tak berpuas hati.
Kenapalah kolot sangat pemikiran orang kampung. Sedari tadi lagi aku tak bersetuju bagaimana dia orang memutuskan keputusan yang diambil. Sayangnya aku dilahirkan dengan jantina perempuan. Suara aku tak laku. Orang-orang tua masih lagi tak percaya yang perempuan sekarang sudah mampu berdiri dan duduk sama tinggi dengan lelaki. Malah menurut mereka kenapa dihantar belajar tinggi-tinggi kalau nanti anak perempuan ini akan ke ceruk dapur juga.
"Abang Shah nak solat? Abang Shah tahu macam mana nak solat?" Aku bertanya dengan penuh berhati-hati. Risau kalau-kalau soalan yang diajukan oleh aku mengguris sekeping hatinya. Aku melepaskan nafas lega apabila dia menganggukkan kepalanya. "Abang Shah pergi ambil wudhuk dahulu. Nanti Alya pergi cari kain pelikat dan sejadah," ujarku mahu membantunya. Dalam hati aku memuji-muji kebesaran ilahi. Begitu mudah Dia mahu memberikan hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
Aku tersentak apabila lenganku diregut kasar. "Kamu cuba buat apa ni Alya?" soal ummi. "Jangan rapat-rapat sangat dengan dia," marah ummi. Namun entah kenapa aku boleh buat muka toya. Maafkan Alya ummi. Alya rasa tak salah kalau Alya mahu tolong seorang hamba Allah kembali ke jalan yang lurus. "Abah, Alya pinjam kain pelikat abah ya," terus aku membuka almari baju dan mengeluarkan sehelai kain pelikat yang bersih.
"Abang, kenapa pelik sangat perangai Alya tu?" soal Mak Cik Zah kepada Pak Cik Othman. "Sampai bila abang nak biarkan Shah tinggal dengan kita? Rumah dia kan ada."
"Tunggulah dahulu. Kita lihat apa yang dia orang nak buat."
"Ish abang ni. Suruh sahajalah Shah balik ke rumah dia. Dia tu bukannya budak kecil lagi. Dah besar panjang. Kalau dia tahu mana nak cari benda haram tuh tahulah macam mana dia nak cari makan," Mak Cik Zah mula menunjukkan rasa tidak senangnya dengan kehadiran tetamu yang tak diundang.
Siapa yang tak kenal dengan Shah? Belajar tak habis lagi sudah kena tendang sekolah. Tak cukup dengan itu, dia menjadi kutu rayau dalam kampung. Habis anak dara orang disakatnya. Entah-entah kes kecurian duit tabung masjid pun ada kaitan dengannya. Apa nak jadilah dengan budak tuh. Selepas kematian ayahnya dua tahun yang lalu, budak tu macam hilang pedoman. Minggu lepas mereka dikejutkan dengan cubaannya menikam ibu sendiri. Khabarnya sebab mahukan duit untuk membeli dadah. Entah dengan siapalah dia berkawan sampai terpengaruh begini sekali.
"Abang Shah, kiblat sebelah sini ya." suara Alya mematikan lamunan Mak Cik Zah. Dilihat sahaja tindakan dua anak muda tersebut.
"Ummi termenung apa?"
"Huh?" terkedu dia apabila melihat Shah, budak yang tak pernah menjejakkan kaki ke masjid mengangkat takbir. Hatinya terbersik namun dia masih tak mempercayai apa yang dilihatnya. "Makanlah Alya. Yang kamu sibuk sangat melayan Shah tu kenapa?"
"Ummi ni. Tak baik tau cakap macam tuh. Kalau Shah dengar macam mana?" soal Alya. "Lagipun bukan kita seharusnya memuliakan tetamu ke?" tempelak Alya. Bukan niatnya mahu menyindir sebaliknya dia cuma mahu menengur tindakan ummi dan abahnya. "Alah ummi, abah... tiga hari sahaja. Lepas tuh abah suruhlah dia balik ke rumah dia. Alya tak akan bangkang."
"Baik, abah pegang kata-kata Alya ya."
Aku hanya menganggukkan kepala dan kembali meneruskan suapan nasiku yang tertunda. Sememangnya perutku minta diisi sedari tadi lagi. Laparnya dan rindu dengan masakan ummi yang sudah tentunya tak boleh didapati dimana-mana. Sesekali aku menjeling Abang Shah yang masih khusyuk solat. Teringin aku mahu bertanya apa yang membuatkan dia tiba-tiba terbuka hati mahu berubah. Kalau dia sudi bercerita aku mahu tahu kenapa dia boleh terjebak dengan lembah hitam yang menghinakan. Manalah tahu boleh menyedarkan diriku pula yang asyik leka sahaja dengan duniawi.
Selesai makan aku membantu ummi membasuh pinggan. Abah awal-awal lagi sudah ke hadapan dengan secawan kopinya. Apa lagi mahu menonton cerekaramalah.
"Abang, tu awat dia dok teriak pula. Abang pi lah tegur sat tanya kenapa?"
"Biarlah... orang banyak buat dosa memang macam tuh." Aku hanya menggeleng kepala seakan-akan tak percaya. Tak habis-habis lagi ummi dan abah sangsi dengan Abang Shah. Salahkah seseorang itu mahu bertaubat? Allah membuka pintu taubatNya bagi sesiapa yang menginginkan. Siapa kita sebagai manusia mahu menghukum?
"Ummi, abah... Alya masuk bilik dahululah. Nak siapkan assignment lepas tu terus tidur," ujarku. Makin lama aku di sini makin aku berprasangka buruk dengan orang tuaku. Aku pun bukannya baik sangat tapi untuk mengelakkan dari terus mendapat dosa kering lebih baik aku cabut dahulu.
"Ha, kunci pintu bilik tu. Karang timbul masalah lain pula."