Jatuh

554 20 12
                                    

Aina berpendapat bintang di langit adalah pejuang kegelapan. Dia selalu khayal melihat kerlipan bintang di langit lepas. Kebetulan, rumahnya berhampiran laut dan terpencil. Tiada pencemaran, langit malam hamparan berlian indah.

'Gadis Bintang' mereka gelar dia. Pantang ada kertas habis dilukis bentuk bintang tanpa jemu. 'Awak semua kena ada cita-cita. Tanpa cita-cita awak sekadar daun yang akan melayang entah ke mana', kata Puan Noraini, Guru Kelas 5 Marikh. Aina ada cita-cita, dia mahu menjadi Gadis Bintang.

Pertama kali Aina jejakkan kaki di Kuala Lumpur dia hairan. Bandar segah ini kenapa langitnya kelabu. Aina gusar cita-citanya menjadi Gadis Bintang tidak tercapai kerana dia tidak dapat melihat bintang di langit. Kalau ada pun - terlalu sekejap dan terlalu sedikit.

Rakan sekampungnya, Jamilah aka Jamie sudah berjaya jadi Gadis Bintang. Bajunya mengerlip-ngerlip. Aina kata baju tu tak cukup kain tapi kata Jamie di bintang memang panas sambil menyapu losen kolagen ke pahanya yang sekarang sudah putih melepak.

Jamie kata Aina belum bersedia untuk jadi Gadis Bintang sebab masih segan untuk menanggalkan selendangnya. Jadi sementara Jamie keluar pada malam hari Aina tengok TV program Bintang Mencari Bintang atau pun ulang semula cerita Jula Juli Bintang.

Satu malam Aina kebosanan dan dia berjalan hingga ke atap bangunan flat kediaman mereka. Untung-untung dekat sikit ke langit , jelas sikit melihat bintang. Tapi malam itu berjerebu dan Aina hampa lalu Aina duduk melunjur kaki sambil makan kacang.

Aina tiba-tiba nampak satu cahaya sayup menerjah angkasa, seperti bintang jatuh. Cepat-cepat Aina tutup mata dan buat impian. "Jika aku tidak dapat ke bintang, biarlah bintang datang pada aku."

Aina tersedak bila mendengar bunyi GEDEBABBB!! di sebelahnya.

"Maaf", kata lelaki tampan bersayap pelangi bercahaya macam lampu neon iklan di bangunan sebelah yang jatuh terjelepok di sebelah Aina dan menyebabkan paket kacang menglembu Aina berteraburan.

Awak siapa?

Neon.

Dari mana?

Bintang. Jatuh.

Aina melopong melihat Neon. Kulitnya separuh lutsinar. Seperti ada selapis permukaan kristal jernih di bahagian atas dan di bawah lapis itu warna kulit biasa dalam spektrum berona cerah. Aina dapat melihat urat-urat halus seperti lukisan abstrak indah di lapis lutsinar tersebut. Walaupun tidak semua urat kelihatan tapi apa yang timbul sudah buat Aina kagum dengan keindahan makhluk di hadapannya. Matanya yang hijau kebiruan menyempurnakan letak hidungnya yang mancung. Tulang pipinya yang tinggi terletak membuatkan kekacakannya persis model. Rambut ikal separas bahunya hitam, pekat macam malam tiada bintang.  Aina tidak percaya nasib dirinya.  Dewa Greek ke apa ni?

Neon cedera kerana terjatuh dari langit. Dia berjalan terhincut-hincut.

"Kami memang pantang kalau lalu dekat dengan atmosfera bumi. Kalau masa tak kena memang ada manusia gila yang akan membuat impian supaya bintang jatuh ke ribanya dan kami jadi mangsa"

Aina gigit bibir. "Er, kenapa jadi macam tu?", Aina beranikan diri bertanya.

"Biasalah, sumpahan Tok Nenek. Ni mesti awak yang buat impian tadi kan? Nama awak siapa?"

Aina cuba menipu, "Eh, manada...err nama saya Aina",.

"Ah sudahlah Aina. Jangan nak menipu. Saya ada tujuh hari dengan awak. Apa awak nak buat dengan saya?"

"Saya ...saya mana ada nak buat ...aa..apa-apa!", Kata Aina ragu-ragu.

Hmmm....Neon mengeluh dan duduk di sebelah Aina.

'Saat pertama nampak pelangi dan terpukau? Macam tulah aku rasa sekarang ni', bisik hati Aina sambil menjeling Neon.

"Kau ...kau ni manusia ke malaikat ke apa?"

Neon pusing ke Aina dan tersenyum menampakkan giginya yang tersusun putih bersih.

"Bukan...bukan...semua pun bukan. Aku ...Lelaki Bintang! Pengembara dari Bintang ke Bintang".

"Wow....!", Aina kagum.

"Aku dari kecil nak jadi Gadis Bintang....Jamie kata dia Gadis Bintang, ada tempat kosong kat tempat dia kerja tapi aku tak cukup menyinar katanya".

"Kat bumi mana ada Gadis Bintang. Gadis Bintang di atas sana! Kau ni berangan lebih lah Aina!", Neon geleng kepala.

Aina tunduk sedih bila sedar Jamie menipunya. Patutlah wajah Jamie bila balik dari kerja tidak pernah berseri macam bintang di langit.

"Begini, nah ambil kepakku dan pakai. Terbanglah ke bintang atau mana-mana kau nak pergi. Neon buka kepaknya yang bercahaya dan pakaikan ke belakang badan Bintang.

"Kalau aku tak balik?", tanya Aina.

"Kau akan balik sebab kepak tu terikat pada aku, asal wujudnya. Dia akan cari aku balik. Kalau kau degil dia akan tertanggal sendiri dan balik pada aku".

"Dan kau? Aku tak boleh tinggalkan kau seorang diri macam ni. Kau tak boleh ikut aku?"

"Boleh. Ingatkan kau tak nak ajak tadi! Aku tak boleh ajak diri sendiri. Pantang Tok Nenek".

"Tapi kepak ni sepasang je".

"Siapa kata Lelaki Bintang perlu kepak untuk terbang? Kepak ada dalam ni", Neon tunjuk kepala sambil tersenyum.

Selepas meninggalkan nota untuk Jamie, tanpa membuang masa Aina mengikut Neon terbang bersama ke ruang angkasa - terus, lurus, menuju bintang.

Di bumi, Jamie yang baru balik dari kerja kebingungan membaca nota ditinggalkan Aina.

"Jamie, aku ke bintang mengejar cita-cita dulu. Terima kasih atas bantuan, jumpa lagi!"

Bersambung...

Gadis BintangWhere stories live. Discover now