Pasport

254 12 5
                                    

Kepak di belakang badan Aina bila melebar panjangnya sedepa di kiri dan kanan sebelum meruncing ke hujung. Macam kepak burung. Bezanya, ia tidak berbulu seperti pelepah kepak malaikat dalam filem-filem Barat. Aina tidak dapat mengagak daripada bahan apa ia diperbuat. Lembut dan ringan seperti baldu mewah dengan kekenyalan seperti getah. Ditambah dengan gradiasi warna kelabu umbra memang kegemaran Aina yang mencintai apa sahaja fesyen bermotif tie-die. Baginya warna-warna tie-die adalah simbol anti-rasis dan anti-judgemental yang meraikan segala macam ketidakpastian tanpa sebarang kondisi. Apa sahaja...jadi sahaja!

Aina leka menelek kepak yang melekat secara automatik di belakang badannya. Dia sedikit tak puas hati kerana hanya menyarung track-suit hitam dengan baju Tshirt Bersih4 warna kuning yang diberi percuma oleh rakan sekampung walau Aina terkenal sebagai seorang yang apolitikal.Taksub dengan diri sendiri dan dunianya sahaja, dakwa salah seorang kawan kampung. Aina tidak banyak fikir apa orang fikir tentangnya."Dunia ni sementara sahaja, dunia sebenar di luar sana tu." Arwah Ayah selalu mengingatkan ketika mereka berjalan malam di pantai sambil membaca buruj-buruj yang berserakan. Selendang stretched cotton kelabu dipusing-pusing keliling kepalanya menjadi turban segera. Eh dah gaya artis Yuna tapi berkepak? Aina ketawa sendirian. Seronok. Terlupa Neon di sebelah.

"Awak ni memang kaki berangan." Neon melabel.

"Arwah Ayah kata, orang yang tak berangan tu adalah orang yang penakut. Dia takut memberitahu dunia tentang impiannya lalu impiannya dibiar jadi nisan-nisan dalam kuburan kemahuan."

"Ayah awak ahli falsafah ke?"

"Taklah, dia nelayan je. Kerja tangkap ikan. Awak tahu tak ikan tu apa?"

Neon geleng kepala memandang Aina yang bercakap dengan sepasang mata yang bercahaya. Seperti bayi baru lahir yang teruja dengan semua perkara. Lemas aku, bisik hatinya. Spesis apa pulak dia ni yang akan menyusahkan aku selama 7 hari. Kali terakhir Neon menyempurnakan sumpahan Tok Nenek adalah sedekad yang lalu.  

Mereka berada di atas dahan sebuah pokok Baobab di tengah Afrika. Neon malas nak menjawab soalan remeh Aina. Ada pulak dia tanya aku tahu tak ikan? What the fish, manusia selalu kata, mindanya berbicara sendiri. Neon bercekak pinggang dengan resah sambil memandang langit malam yang berhias bintang seperti lampu lip lap di pokok Natal.

Mereka baru sahaja dihalau oleh Pengawal Gerbang Angkasa pintu Hemisatna yang terletak betul-betul di hemisfera bumi.

"Tutup mata jelah korang." Neoncuba memujuk.

"Dia takda pasport. Takda dalam daftar. Mana boleh!" Argas dan Burgas, lelaki dua kepala tanpa buludi muka yang memakai baju ala Tutankhamen di zaman kegemilangan itu,menjawab serentak.

"Dia gadis Bumi tulen. Nama dia Aina. Daftar jelah."

"Orang bumi? Lagilah tak boleh. Kau nak bunuh dia? Kalau kepak tu rosak, kau nak cium mulut dengan dia bagi oksigen baru setiap masa?"

Aina yang duduk di sebuah bangku terapung di ruang menunggu tidak jauh dari mereka memerhati buta. Entah apa yang digaduhkan Neon dengan lelaki berkepala dua itu. Dua jam yang lepas Aina begitu gembira. Mereka terbang ke angkasa selepas Aina meninggalkan nota selamat tinggal untuk rakan serumahnya, Jamie.

Tapi penerbangan mereka terganggu bila mereka ditangkap oleh dua Lelaki Awan. Neon kata mereka digelar Lelaki Awan sebab keseluruhan badan mereka putih macam awan. Macam tertumpah cat pun ada. Kepak kecil di kedua kaki dan tangan mereka juga putih. Hanya mata mereka yang biru, macam langit indah di KualaTerengganu.

Aina yakin masa sekolah rendah dia pernah nampak orang macam Lelaki Awan. Ketika itu waktu petang selepas ko-kurikulum. Dia terlalu letih disuruh cikgu berlari mengepit bola dengan peha jadi bila semua bola sudah disimpan di setor, dia sengaja baring di atas rumput mengepak-ngepakkan tangan. Masa itu lagi Aina sudah berangan kalaulah dia dapat terbang di bintang. Masa itu juga dia nampak seperti ada awan berbentuk manusia yang sedang melayang-layang di antara awan ke awan. Cepat dia menuding dan memberitahu rakan sekelasnya, Wan Hashima.

"Jangan suka bayangkan yang bukan-bukan nanti jadi mainan jin!", nasihat Wan Hashima, setiapkali dia mengadu perkara yang aneh-aneh.

Neon mencuit bahu Aina. Imbasan lampau terhenti. Aina menatap objek baru kegemarannya.

"Hmmmm...kita ada masalah sikit."

"Jap...sebelum tu, awak bukan jinkan?"

Neon mengerutkan kening. Rambut hitamnya terjatuh ke dahi lalu dikuak ke tepi tanpa banyak fikir.

"Jawablah...", Aina suka betul lihat Neon menguakkan rambut depannya.

"Bukanlah. Kalau jin apahal nak susah-susah pasang kepak. Asap kan lagi senang. Poof! Hilang macam tuje."

"Tapi...tapi...sekarang pun awak tak pakai kepak."

"Ya, tapi saya dekat dengan kepak saya. Ada sejenis graviti yang membantu. Lupakan, nanti bila-bila saya cerita. Ni paling segera, tentang kita...ada masalah."

"Macam mana awak boleh terbang tak pakai kepak? Superman bolehlah....ke awak pun dari planet Krypton? Planet Krypton tu kira bintang ke planet?"

Neon mengeluh dan duduk di dahan pokok sambil menjuntai-juntaikan kaki separuh lutsinarnya. Aina adalah sejenis spesis sukar untuk fokus, dia menyimpulkan. Dan aku kena beli seluar panjang, tambahnya tiba-tiba selepas melihat seluar gaya gladiatornya hanya mendakap sehingga ke paha.

Aina melontar lagi ayat-ayat rambang yang semuanya tidak dipedulikan oleh Neon sehingga dia sendiri tersedar yang dia sudah mula menjengkelkan seperti suri rumah yang kekurangan kasih sayang.

"Maaf. Teruja."

"Takpa. Biasa."

"Apa masalah kita tadi?"

"Betul dah bersedia nak tau?"

"Ya. Betul, bagitaulah."

"Awak tak lepas Gerbang Imigresen! Passport takda."

"La...kenapa tak lepas? Saya mana ada duit PTPN yang tak bayar. Pinjam pun belum. Baru lulus SPM ja."

"Tak. Bukan sebab tu. Sebab awak takda dalam Daftar Rakyat Angkasa Lepas."

"Habistu? Camana nak pergi bintang?!," hati Aina terasa mengecut, takutkan kemungkinan yang akan keluar dari mulut lelaki cantik, eh...Pengembara Bintang di sebelahnya.

"Ada satu cara. Tapi....aduhhh.....leceh betul...."

"Bagitaula...nak kena pinjam duit ka? Saya rasa Jamie banyak duit. Boleh pinjam dia. Kadang-kadang ada terselit celah tali stoking yang dia belit kat paha dia tu...." bersungguh Aina memberi cara.

"Tak pakai duit. Tapi pakai maruah. Jinggat Terzano memang kurang ajar bab ni."

"Awak, saya taulah awak tu orang angkasa sana tapi kata dah lama lalu sini, boleh tak cakap dalam bahasa yang manusia faham?"

"Awak kena buat passport dulu. Jinggat Terzano sahaja boleh buat untuk orang bumi. Kita kena pergi cari dia kat Batu Caves."

"Batu Caves? Eh saya selalu tengok gambar tempat tu. Masa kat KL tak sempat pergi. Tapi mana ada pejabat imigresen dalam tu?"

"Ada...manusia mana tahu. Masalahnya kalau jumpa dia...."

Neon tidak dapat menghabiskan ayatnya.Dia masih ingat jeritan terakhir Jinggat Terzano masa terakhir mereka bertentang mata.

"Aku nampak muka kau lagi kat sini Neon, aku belasah kau cukup-cukup!!!"

Neon ketap gigi. Tapi dia kena pergi juga. Sumpahan Tok Nenek tak boleh khianati. Nanti matlamat peribadinya tak kesampaian pula. Dia kena selesaikan tugas 7 hari ni dan cepat meneruskan pencariannya.

"Hello...so camana ni?" Aina pula bercekak pinggang.

Neon melihat Aina. Pada matanya bergilir wajah Aina dengan wajah menyinga Jinggat Terzano.

"Matilah aku kalau nak pergi Batu Caves tapi....", Neon serba salah.


BERSAMBUNG

Gadis BintangWhere stories live. Discover now