Jejak Kasih

111 11 3
                                    

"Aduh!!!" satu lagi sepakan hinggap di kepala Neon. Neon jatuh terperosok dalam balai besar milik Jinggat Terzano.

"Itu untuk hilang selama sedekad!"

Belum sempat Neon bangun dan menjawab teriakan Jinggat, satu sepakan lain hinggap di perutnya.

"Itu untuk mencuri serpih Sirius Dodecahedron milik aku!"

"Ouuuchhhhhh...tapi itu bukan milik kau Jinggat! Itu nenek moyang aku punya" Neon mengerang.

"Aku peduli apa! Aku beli susah payah dari Gordak!" jeritan Jinggat bingit di telinga Neon.

"Bangun!"

Neon sebenarnya sudah tak berdaya akibat dibelasah Jinggat dari tadi. Dia cuba bangun dan berdiri tapi Jinggat melompat dan duduk di atas dadanya. Tangan kirinya mencekik leher Neon sementara tangan kanannya....

PANG! PANG! PANG! PANGGG!

Empat kali lempang. Berdesing pipi Neon tapi dia tetap tidak melawan.

"Dan yang ini...."

"....sebab aku tak setuju nak kahwin dengan kau. Maafkan aku Jinggat." Neon memerhati wanita jelita yang duduk di atas dadanya. Neon sedar dia telah melukakan perasaan wanita itu. Dia sejujurnya tidak pernah mempunyai perasaan yang lebih dari kawan dengan Jinggat tapi Jinggat telah salah faham kepadanya.

Neon kesal dia tidak berjaya menjelaskan perkara sebenar kerana terlalu fokus mendapatkan serpihan Sirius Dodecahedron yang menjadi misi hidup keluarganya.

Jinggat Terzano sudah berusia 103 tahun tapi wajah dan fizikalnya persis gadis berusia 25 tahun. Rambut hitamnya disanggul kemas bersemat dengan lilitan perang kulit nipis yang dijalin bersama sanggulnya. Kulitnya putih macam porselin, hidungnya mancung dengan bibir mungil yang sentiasa merah. Iris matanya berwarna ungu dengan alis yang melentik secara semulajadi. Jinggat Terzano sama tinggi dengan Neon tetapi dengan pinggang yang ramping dan kekuatan yang luar biasa. Jika dia manusia biasa memang sudah lama Jinggat terpilih menjadi supermodel. Tapi dia bukan manusia biasa dan dia sangat cekap dengan tugasnya. Di Teras Bima, Jinggat Terzano paling disegani dan ditakuti sebagai Ketua Sektor. Dia mewarisinya dari ibunya Wilmat Terzano yang datang dari Planet Ederat yang telah musnah 500 tahun dulu.

"Maafkan aku." Itu sahaja yang mampu Neon suarakan. Dulu mereka sangat rapat.

Jinggat duduk memandang lantai. Tidak jauh dari Neon.

"Pulangkan balik serpih Sirius Dodecahedron aku."

"Aku dah bayar, bukan? Aku ada hantar emas 10 tahun lepas." Neon mengingatkan.

"Siapa kata aku jual dengan harga tu?"

"Benda tu sekadar koleksi untuk kau tapi ia warisan keluarga aku. Ini pasal keluarga, Jinggat. Kau fahamkan? Kalau tak cukup emas tu nanti aku tambah lagi."

Pelbagai perasaan Jinggat tertahan dalam diam.

"Mana budak dengan kau tu?" Jinggat mengalih topik.

"Dia kat atas lagi. Aku dah terkena sumpahan masa lalu hemisfera bumi."

"Apa dia mintak?"

"Nak pergi bintang. Tapi tak lepas Daftar Angkasa."

"Sekarang kena buat paspot."

"Kenapa? Dulu tak pun."

"Banyak keluar masuk. Keseimbangan dah tak macam dulu. Tak lama lagi manusia nak hantar manusia ke Marikh. Angkasa lepas akan semakin kelam kabut."

"Kat sini macam mana?"

"Stabil walaupun Gordak banyak cuba buat kacau. Dia cuba curi teknologi senjata. Selagi dia tak melampaui batasan aku masih boleh bertimbang rasa."

"Tapi Gordak tu kan gila? Dia suka berperang dengan sesiapa sahaja."

"Entahlah." Ada keletihan dalam suara Jinggat bila berbicara tentang Gordak.

Tiba-tiba keduanya diam. Kata-kata hilang dari minda. Begitulah jika sudah terlalu lama memendam rasa dan tidak berjumpa.

Jinggat bangun dulu.

Neon melihatnya dan bersuara, "Maafkan aku sekali lagi...."

BUK!

Kaki Jinggat menyepak kaki Neon sekuat hati.

"Aduh! Sakitlah. Tak habis lagi ke?"

Jinggat menoleh.

"Tambah emas kau dua kali ganda dari yang kau hantar. Dan cari budak perempuan tu. Dia sekarang dalam jagaan Kahfiz."

Jinggat kemudiannya meninggalkan Neon.

"Jagaan Kahfiz?!"

Gadis BintangWhere stories live. Discover now