Prolog
SAMAR-samar pandangannya mulai mencelik luas yang tampak kelam kesuraman. Bau hapak dan hanyir menusuk deria hidungnya tidak diendahkan. Semakin dia membuka matanya terasa silau menusuk deria lihatnya. Namun telinganya menangkap jelas jampi serapah dalam bahasa Jawa halus.
Mantera yang tersusun kata seolah puisi dilantunkan bukan sekadar ritma dan irama biasa. Ia jelas terkandung kekuatan ghaib demi menyeru entiti halus membantu dalam pekerjaan pemujanya.
Dia menggerakkan tubuhnya yang lesu dengan kepala yang terasa berat. Terasa ada cecair pekat mengalir dari dahi membasahi pipi ke lehernya. Dia yakin itu adalah darah dari kepalanya yang dipukul dengan benda keras ketika dia cuba masuk ke dalam gubuk usang itu. Perlahan dia bangkit dan tersandar lemah pada dinding diperbuat dari buluh dengan lantai tidak bersimen.
Terasa berat dia memanggung kepalanya. Pola nafasnya menarik dan hembus lemah berusaha meraihkan kewarasannya saat itu. Rona warna gubuk kelabu kelam hanya diterangkan dengan lampu pelita kejinggaan semakin memberatkan pandangannya.
"Allah." Satu kata keramat suci yang mampu menarik perhatian jiwa neraka di gubuk itu.
Bingkas susuk wanita yang sedang membelakangnya saat itu. Ketika leka menjampi serapah ke atas satu tubuh manusia yang terikat pada meja kayu itu. Dan mendengar luahan itu sahaja satu dengus yang jelas tidak menyukainya. Sorotan mata rakus mengitari raut wajahnya penuh kebencian.
Susuk yang kelihatannya sangat menyeramkan. Tubuh itu separuh membongkok kurus kering bagaikan tulang dengan kulit sahaja. Berjalan lemah hanya menampung tenaga dengan satu tongkat. Rambut putih menggerbang panjang. Raut wajah mereput hampir menjadi tengkorak itu menyeringai kepadanya. Dan saat itu terlihat deretan gigi kekuningan hitam dengan wajah yang jelas semakin dimamah usia.
Dia tersentak melihatnya. Terengsot-engsot menjauhi susuk yang jelas dia tidak sangka begitu rupanya. "Sari.. kamu sudah jauh tersesat. Hentikan semuanya. Aku mampu membawamu ke jalan benar sebelum semuanya terlambat."
Kemudian tawa mengilai yang sangat panjang lagi nyaring itu terluah menambahkan lagi keseramannya. Sesekali kedengaran burung hantu di luar gubuk mencelah suasana.
"Siapa Sari!" Jeritan nyaring nenek itu cukup marah nama itu disebutnya.
"Sari.. dengar cakapku.." Dia berusaha melembutkan hati yang telah dibuta dan gelap.
"Sari sudah mati! Nama aku Nyai Dewor Lampor!"
Kemudian terdengar suara cekikan diiringi dengan erangan wanita yang terikat pada atas meja kayu itu. Bingkas mereka menoleh. Seorang wanita yang dia kenali adalah salah satu penduduk kampung tidak jauh dari tengah hutan itu menjadi mangsa wanita iblis.
"Lepaskan dia, Sari. Mereka tidak bersalah. Ilmu yang kau amalkan ini adalah sesat. Salah di sisi agama kita."
Langkah berat dan terengsot wanita iblis itu adalah dek ilmu hitam yang diamalnya. Wanita yang sedang hamil muda itu meronta dalam ketakutan meminta dilepaskan.
"Tolong! Tolong lepaskan aku!" Jeritan bersama tangisan menyatu dalam kesakitan dan ketakutan yang jelas kelihatan.
Semakin Sari menghampiri wanita hamil itu semakin kuat rontaannya hinggakan erangan kesakitan dek tali diikat ketat pada perutnya.
"Kau sudah bangun? Lebih cepat pekerjaanku selesai dan semuanya pasti akan kembali seperti biasa. Aku perlukan janin dalam rahimmu. Aku ingin memberi pembantuku makanan sebelum purnama malam ini jatuh. Dia cukup lama tidak menikmati janin sebagai santapannya." Sambil berbicara demikian dengan suara hilai tawa yang mencengkam suasana.
"Makan? Janinku? Tidak! Tidak! Tolong aku! Tolong! Jangan buat aku begini. Tolonglah aku.." Rayuan wanita hamil yang kelihatannya sangat sarat itu semakin meronta ketakutan. Menjerit tidak keruan.
Dan ketika melihat wanita iblis itu sudah mencapai sebilah golok dari bawah helaian kain di sebelah meja itu. Dia pula menggagahkan dirinya untuk bangkit. Badannya hampir tidak bertenaga. Seolah baru diberi dos bius tidak mampu berdiri dengan tegak.
"Sari.. lepaskan dia. Dengarlah cakap aku. Kau sudah melampau. Berapa ramai lagi menjadi mangsamu." Hampir sahaja dia jatuh terjelupuk laju berpaut pada satu kerusi kayu.
"Tutup matamu, kalau tidak sanggup melihat mata pisau ini terbenam di perutmu," arah Sari kepada wanita tumbalnya.
"Sari.. kau lupakah asal usulmu? Keluargamu? Dan aku..?"
"Asal usul?" Wanita iblis itu merenung tajam ke arahnya dengan wajah menyeramkan. Sengih tersua dengan air liur menitis dari bibir kehitaman keriput.
Nyai Dewor Lampor terhenjut-henjut gelak mendengarnya. "Aku bukan siapa-siapa pun. Dan kau tidak perlu banyak soal bercerita tentang asal usulku. Aku tidak punya sejarah silam. Taghut adalah Tuhanku. Dan aku sudah sekian lama menjadi hambanya. Hambanya!"
"Astagfirulahalazim! Bawa mengucap Sari!" Dia berjalan terhuyung-hayang. Terasa sukar menyeimbang tubuhnya. Pengaruh ubat apa yang sudah diberikan kepadanya. Bersamaan suara wanita hamil sarat itu meronta minta dilepaskan.
"Aku perlu habiskan kerjaku dulu sebelum purnama menjelma. Malam ni semuanya pasti akan berubah. Tubuh badanku kembali bertenaga dan rupawan. Tingkat ilmuku semakin kebal. Jangan ganggu aku."
Mulutnya terkumat-kamit. Menyeru sesuatu. Memuja iblis. Dalam kegelapan ada nadi. Dalam nadi berdenyut jiwa dahagakan darah. Seketika bunyi objek berlaga. Dia berpaling ke penjuru ruangan kelam itu. Sebuah guci bergerak-gerak seolah mahu memuntahkan tudung penutup. Dalam sekilas masa penutupnya melantun terbang sudah jatuh ke lantai.
Duh dhanhyang ingkang wonten jun sakti (Duhai makhluk penghuni guci sakti)
Kula tujumaken sedoyo raga sukma (Aku serahkan seluruh jiwa dan ragaku)
Kula kangge ngawula dumateng rika (Untuk mengabdi kepadamu)
Terkumat-kamit mulut Nyai Dewor Lampor menjampi-jampa pada guci itu. Kedengaran bunyi cakaran pada dinding gubuk itu dari luar. Lolongan anjing dekat dan jauh menegangkan situasi. Seiring wanita hamil tadi meronta rayu minta dilepaskan. Tidak semena-mena guci tadi kembali senyap tanpa bergerak dengan sendirinya.
"Metuo.. metuo.. teko marang insun kowe abdi dalem saka neraka.." seru dan puja Nyai Dewor Lampor melenking tinggi suaranya. Melantun terbang penutup guci itu.
Jampi serapah diulang-ulang. Jari-jemari mulai keluar dari muka guci itu. Sedikit demi sedikit sudah kelihatan kepala seiring bunyi tulang dipatah-patahkan. Kepala yang terjulur keluar itu bergerak ke kiri kanan. Mulai dari lengan kanan keluar lalu lengan kiri. Kedua lengan menekan pada muka guci untuk menarik tubuh tanpa seurat benang diselaputi minyak berbau hanyir itu untuk keluar.
Saat itu wanita hamil tadi menjerit sekuat hati ketakutan melihat makhluk keluar dari guci sederhana itu. Dan tubuhnya seakan dipaku dan gam pada lantai itu tidak mampu bergerak. Betapa banyak ayat-ayat suci berlegar namun tidak mampu terluah. Ketakutan yang hanya membungkus segala keberaniannya selama ini menjadikannya seorang pencundang.
Bersama dengan kelam malam. Gelap. Tiada bintang. Hanya jeritan dan tawa mengilai bersatu dalam dunia iblis menjadi sumpahan leluhur itu menjerat dan heret anak cucu Adam Hawa ke dalam neraka.
YOU ARE READING
Pembantu Dari Neraka
HorrorBila iblis terlepas dari neraka menjadi tunggangan manusia maka tiada kata lain yang mampu menjadi sempadan. Perjuangan Suraya sekembali dari tamatnya pengajian di Hospital Istanbul. Memiliki pancaindera ke enam. Sejak kecil menyedari kelebihan d...