Bab 5

333 11 15
                                    

Hutan Tegal

Kalimantan Timur

ADITtidak sanggup berlama-lama di dalam gubuk usang itu bila melihat keadaan mayat Mayang. Dia menekup hidung lalu berlari keluar dari situ. Mengikut perkiraannya sudah beberapa hari wanita pengamal ilmu sesat itu meninggal dunia. Tetapi tubuh itu sekian lama sudah mati hanya kerana dikandung oleh iblis yang dibelanya.

Adit yakin ada seseorang yang terlebih dahulu datang sudah menyambut amanah wanita itu. Sayang sekali dia terlambat sampai ke situ. Andai sahaja dia terlebih awal mengesan tempat persembunyian wanita itu sudah tentu makhluk dalam guci itu mampu dikembalikan ke tempat asalnya. Menghantarnya ke neraka tanpa mengganggu anak cucu cicit Adam dan Hawa.

"Kita sudah terlambat, Pak Ustad." Yohanes juga mendapatkannya di luar. Suka memanggilnya dengan gelaran 'ustad' hanya kerana penampilan yang suka berkopiah dan pakaian muslimah.

Lelaki berambut kerinting halus berasal dari Timor Leste itulah yang membantunya mencari tempat persembunyian Mayang. Pengalaman lelaki itu menelusuri hutan rimba di Kalimantan membuatnya tidak salah pilih. Hanya kebetulan sahaja Yohanes yang sedang bercuti bekerja di salah sebuah syarikat pembalakan Sandakan itu sudah berpuluh tahun bekerja di bawah permit sah.

"Tidak mengapa, Yohanes. Sekurangnya kita sampai ke sini juga." Dia mengelilingi kawasan itu. Matanya peka mengitari setiap penjuru. Sangat berhutan rimba. Menyeramkan. Bahkan tidak ada satu kemudahan asas terjangkau dengan kediaman wanita itu. Cukup lama dia mencari jejak wanita itu. Dari satu tempat ke satu kawasan. Akhirnya dia hanya menemui mayat reput yang mampu membuat dia tidak berselera makan.

Yohanes duduk di atas batang pokok separuh runtuh itu. Menyeka keringat bercucuran. Bukan mudah untuk mereka sampai ke tengah rimba itu. Apa yang ada di hutan itu selain hati yang cekal dengan ilmu hitam putih kental sahaja mampu melaluinya. Hutan Kalimantan ini sangat angker atau keras. Bukan sebarangan orang mampu meredah tempat begitu.

"Pak Ustad, sungguh berani jejak nenek lampir itu ke sini. Aku mendengar banyak hal mengenainya," ujar Yohanes tersengih. Senyuman itu berbaur mengusik.

"Sebelum sore kita harus keluar dari sini. Aku cuma mahu melakukan beberapa hal sebelum kita beredar." Dia sudah berjalan memeriksa kawasan itu. Masih tidak tahu berputus asa untuk mencari guci yang menjadi separuh nyawa wanita sesat itu. Mungkin juga ada di mana-mana disembunyikan.

Yohanes sekadar membuntutinya. Sesekali menyepak sesuatu yang dianggap bagai bola. Kadang mengamati lebih dekat. Tiada satu bahagian kawasan kediaman itu terawat dengan baiknya. Mulut perigi di bawah rumah itu juga bersawang sarang labah-labah. Jelas sudah lama tidak digunakan.

"Tempat ini memang menyeramkan. Tentu Pak Ustad ada hajat ke sinikan? Sesuatu bersifat peribadi?" Lelaki Timor Leste yang sudah fasih berbahasa melayu itu berminat ingin tahu.

"Ini pencarian sejak berpuluh tahun. Separuh hidup aku ni kerana menentang kejahatan begini. Dulu Nyai Dewor Lampor bukan seperti yang kita fikirkan. Namanya Mayang. Dia adalah seorang gadis desa yang terlalu banyak menyimpan dendam hinggakan tiada setitik putih pada hatinya."

Topik cerita yang semakin menarik perhatian lelaki Timor Leste itu mendengar banyak kisah tentang kisah silam Nyai Dewor Lampor. Adit bercerita bahawa salah satu bentuk pertapaan ilmu hitam yang dilakukan oleh wanita pengamal ilmu sesat itu ialah membuat minyak kawiyang. Kalau menurut kata orang di Kalimantan ia mempunyai sejarah panjang mengiringi peradaban suku-suku di tanah Kalimantan. Segenap lapisan orang yang datang memburu minyak itu demi kepentingan peribadi.

"Minyak kawiyang? Eh! Minyak tu bukan senang dapat. Hanya dukun yang hebat saja yang mampu sediakan minyak tu. Sayang sekali aku tidak sempat minta sama Nyai guru ni." Yohanes teruja sekali mendengar ceritanya. Meski lelaki itu beragama Kristian tetapi jarang jejak kaki ke gereja. Kononnya dia tiada masa untuk meluangkan masa beribadah. Keyakinan diri hak masing-masing. Isu sensitif begitu tidak perlu diadukcampur dalam hal peribadi.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jun 04, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Pembantu Dari NerakaWhere stories live. Discover now