BAB 5

30 0 0
                                    

CUTI sekolah sudah bermula. Seminggu percutian itu, dia bercadang untuk balik ke Batu Pahat. Rumah Sinar Suria - rumah untuk anak-anak yatim dan juga anak terbiar. Diusahakan oleh seorang wanita yang amat dikaguminya. Puan Hamimah.

20 tahun lepas...

PUAN Hamimah datang mendekati Firdaus yang baru berumur 5 tahun. Dia sedang duduk di tangga rumahnya. Sebak hatinya melihat anak kecil itu yang sudah kehilangan ibu dan ayahnya. Dia kecil, masih tidak tahu apa-apa. Dia melabuhkan punggung di sebelah Firdaus.

"Firdaus... tenung apa tu?" Hamimah sama-sama menalakan matanya ke arah sesuatu yang dilihat oleh Firdaus. Seekor burung di atas pokok bersama anak-anaknya.

"Mak Mah, bila mak nak balik jumpa Daus?"

Hamimah melepaskan keluhan. Ya Allah, sungguh berat dugaan-Mu terhadap Firdaus, tapi hamba-Mu ini tahu, ada hikmah di sebalik dugaan-Mu ini. Kau kuatkanlah hati anak kecil ini, Ya Allah. "Firdaus nak duduk dekat rumah Mak Mah tak? Dekat situ nanti, Firdaus dapat ramai kawan. Nak tak?" Soalan Firdaus itu dihiraukannya.

"Daus nak mak..."

"Firdaus, emak Firdaus dah pergi, nak. Dia..." air mata Hamimah mengalir. "Hmm, macam ni. Apa kata, Firdaus doakan emak? Biar roh emak tenang di sana. Boleh?"

"Mak Mah, kenapa mak tinggalkan Daus? Sana tu, kat mana Mak Mah?"

"Firdaus, Allah lagi sayangkan emak, sayang," dia membelai rambut Firdaus. "Mak Firdaus dah pulang bertemu pencipta kita, Allah. Sebab tu Mak Mah nak ingatkan Firdaus supaya sentiasa doakan emak. Emak tak pernah tinggalkan Firdaus, tahu? Sebab emak sentiasa ada kat dalam hati Firdaus." Senyap. Mereka sama-sama memerhatikan ibu burung yang memberi makan kepada anak-anaknya.

Sekarang...

PESANAN Mak Mah masih tersemat dalam hatinya. Dari jauh, dia dapat melihat Puan Hamimah yang bertudung labuh itu melayan anak-anak kecil Rumah Sinar Suria. Garis kedutan di wajahnya jelas terserlah, namun dia masih cergas. Dia datang mendekati Puan Hamimah.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam." Puan Hamimah yang sedang duduk, segera mengangkat kepalanya untuk melihat gerangan suara yang memberi salam. "Firdaus. Ya Allah, kenapa tak cakap nak datang ke sini?"

Firdaus menarik kerusi di sebelah Puan Hamimah. Anak-anak kecil yang berada di situ sedang sibuk menyiapkan kerja sekolah mereka. "Saje datang sini, Mak Mah. Cuti sekolah la katakan."

"Firdaus dah makan?"

Angguk.

"Mak Mah..."

"Ye? Hmm, ni mesti ada sesuatu nak bagi tahu, kan?"

Firdaus ketawa. Mak Mah ni, tau-tau je. "Daus ada hajat sebenarnya jumpa Mak Mah ni."

Puan Hamimah tersenyum. Firdaus, Firdaus. Perangai tak pernah nak ubah. Kalau ada hajat, mesti dia jumpa Mak Mah dia ni. "Hajat apa tu?"

MALAM itu, di pejabat Puan Hamimah, Firdaus termenung jauh dan Puan Hamimah masih tenang. "Firdaus dah fikir betul-betul? Hal ni bukan boleh bawak main-main. Besar tanggungjawabnya."

Petang tadi, Firdaus sudah memberitahu hajatnya untuk mengahwini Anita. Sudah seminggu dia beristikharah, meminta bantuan Allah. Semua perkara tentang Anita diberitahu kepada Puan Hamimah. Puan Hamimah nampak tenang, malah mukanya ketika itu langsung tidak menunjukkan riak terkejut.

Nafas ditarik. "Kalau Firdaus dah buat keputusan betul-betul, dah fikir masak-masak, Mak Mah sanggup tolong apa je. Soal merisik tu, Mak Mah boleh tolong risikkan."

Muka Firdaus bertukar ceria, walaupun dia cuba untuk menutup keceriaan itu di hadapan Mak Mah. "Tapi... dia nak terima ke Daus yang jauh lebih muda dari dia, Mak Mah?"

"Firdaus, soal umur ni tak jadi masalah pun. Kalau dah namanya jodoh, tak ke mana," tenang Puan Hamimah tuturkan. Firdaus angguk - mengiyakan.

* * *

AIDID dan Adila khusyuk menonton televisyen. Anita yang baru muncul dari dapur duduk di sebelah Adila. "Dah siap dah homework?" Adila angguk. "Good."

Anita melihat jam dinding yang betul-betul berada di atas televisyen. 9:35 malam. Betul-betul di bawah jam itu, terdapat sebuah gambar yang besar yang telah dibingkaikan. Gambar 6 tahun lepas. Aidid duduk di antara Adnan dan Anita. Adila berada di pangkuan Adnan. Mereka semua tersenyum gembira dalam pakaian baju raya berwarna ungu. Air mata Anita bergenang melihat gambar itu.

"Ibu..."

Anita segera mengesat air matanya. Dia memandang Aidid. "Ya?"

"I know you miss him. Me too."

Anita senyum dalam kesedihan. Dia memegang bahu Aidid. "We all do. Tapi ibu sentiasa tahu, dan kamu pun perlu tahu, arwah ayah sentiasa ada dalam hati kita. Dan ayah sentiasa nak tengok kejayaan anak-anak dia."

"I already made my decision. Aidid rasa, Aidid nak sambung matrikulasi je, sebab tu je peluang yang Aidid dapat. And I know, I can do it."

Anita tersenyum. "Aidid tahu kan, ibu sentiasa support anak-anak ibu." Aidid angguk.

Adila yang sedang khusyuk menonton televisyen terdengar esakan. Dia menoleh melihat ibunya. "Kenapa ibu nangis?" Naif.

Anita hanya menggeleng. "Takde apa-apa, sayang." Anita mengucup pipi anak kecilnya itu. Hasil percintaan dia bersama Adnan.

Telefon berbunyi. Mereka bertiga senyap. Anita pantas sahaja mengambil telefon bimbitnya yang berada di atas meja di ruang tamu itu. Nombor tak dikenali.

"Assalamualaikum." Anita memulakan.

"Waalaikumussalam. Puan Anita ke?"

"Ya, saya. Siapa ni?"

"Saya Puan Hamimah."

KAU, AKU, SEBUAH CERITAWhere stories live. Discover now