Tepat jam 12 malam, Yusri sudah berada di Kuala Lumpur International Airport. Sebaik membayar tambang teksi, beliau terus ke kaunter MAS untuk mendaftar masuk dan memberi bagasinya kepada penjaga kaunter.
Kebiasaannya ketika dinihari, kaunter tidaklah sibuk mana. Yusri tenang beratur di depan kaunter.
"Harap-harap sampai giliran aku, dapat kaunter C17. Cun pun cun, manis bertudung litup pulak tu." Memang citarasa Yusri seorang gadis yang mengikut syariah.
-----
Selepas 5 jam di dalam perut pesawat, Yusri melangkah keluar. Sudah lama dia tidak ke sini. Kali pertama ke Shanghai dahulu, musim panas 2012.
Yusri melangkah laju ke kaunter imigresen dan melepasi kastam Republik Rakyat China tanpa ada masalah. Kebanyakan muka pegawai yang berkhidmat dengan pihak berkuasa di sana ketat dan serius. Yusri tidak berani menunjukkan sifatnya yang peramah. Manalah tahu beliau mencuri perhatian dan disalah sangka sebagai ejen Gerak Khas, bukankah rumit halnya nanti. Sudahlah misainya ada iras-iras A. Galak.
Dari tren laluan 7, Yusri menukar ke tren laluan 11. Untuk ke Changning memang beginilah tertib yang harus diikut. Sampai di hentian Metro Shuicheng, Yusri perlu berjalan kaki pula sejauh 1 kilometer. Rata-rata pemandu teksi di Shanghai tidak mahu mengambil penumpang jarak pendek.
"Jangan jadi pemalas," kata mereka.
Di dalam kedinginan salji yang turun begitu halus, Yusri berjalan menyusur Shuicheng Lu. Mujurlah Yusri sudah membeli jaket tebal di kedai bundle ketika di tanahair, tidaklah dirinya dicengkam kesejukan. Kondisi suhu badan Yusri kini di tahap sejuk-sejuk sedap. Sampai sahaja di Ronghua Dong Lu, beliau membelok ke kiri dan masuk ke perkarangan apartment Rome Garden.
"Ahhhhhhhh, akhirnya sampai. Alhamdulilah."
Yusri mengangkat tangan kepada pengawal bertugas,
"Malayzia?" tanya pengawal keselamatan.
Di Rome Garden, hanya keluarganya sahaja yang berasal dari Malaysia. Pertanyaan begini mudah dijawab dan ringkas prosesnya.
"Yes yes, xie xie," balas Yusri pendek merojakkan bahasa inggeris dan mandarin sambil menuju lif.
Yusri menekan punat 18, lif bergerak laju dan tiba ke tingkat teratas bangunan. Sampai ke pintu Yusri memberi salam dengan penuh syahdu. Sudah 6 bulan dia tidak bertemu ibunya.
Pintu dibuka, terpampang wajah yang dirindui lantas mereka bersalaman dan berpelukan.
"Masuklah nak, ada lempeng dan salmon masak kari kesukaanmu."
Sejuk-sejuk begini dapat lempeng dengan salmon masak kari, dia punya pergi memang perghhhhhhhhh.
YOU ARE READING
Entahkan jadi entahkan tidak
AdventureYusri pemuda biasa. Pemuda biasa punyai cita-cita biasa, hidup yang biasa, dan wajah biasa-biasa sahaja. Dia memang tidak mahu jadi luar biasa.