Sejak pulang dari Tanah Besar China, Yusri sering ke pantai memancing ikan. Kadang-kadang bersama Amirul, kadang-kadang dengan Mariana, kadang-kadang beliau lebih senang berseorangan. Yusri bukanlah handal mengail, namun sekadar meletak umpan, mengikat batu ladung, melontar kail, bukanlah susah sangat.
Pagi itu Yusri memancing bersama temannya, Amirul.
"Sebenarnya kita sudah jauh tertinggal dengan bangsa lain." Yusri memecahkan sunyi.
"Ah, dia dah mula." Bisik hati Amirul.
"Kau lihat ufuk itu." Yusri menunjukkan jari telunjuknya ke arah Laut China Selatan.
"Ufuk pulakkkkkkk..." Amirul memusatkan segala pandangannya ke arah garisan yang jauh mendatar. Diperbetulkan sedikit kaca matanya.
"Kau nampak? Laut ini dari dulu nenek-moyang kita dah teroka, dah jajah. Kenapa mudah sekali bangsa lain datang dan halang kita berlayar? Mengapa? Apa kurangnya kita? Mengapa bila ada saudagar yang enggan membayar cukai, dituduh sebagai lanun? Kenapa dibina tembok persempadanan antara wilayah laut ini? Kenapa? Kenapa? Kau tolong cerahkan kegelapan ini." Yusri berkata lagi.
Amirul diam. Sebenarnya dia malas melayan Yusri. Baginya Yusri ibarat seorang budak yang perlukan penampar. Kenapa Yusri perlu berfikiran jauh? Dia bukannya angkasawan.
Mahu tidak mahu, Amirul menjawab juga soalan Yusri. "Entahlah. Kenapa kau tanya?"
Yusri mahu menyambung bicara namun jorannya direntap. Pada hemat Yusri, ikan yang merentap umpannya ialah sembilang. Tidak syak lagi. Pengalaman hidup telah meyakinkan Yusri bahawa ikan ini adalah ikan sembilang. Sejenis ikan yang hanya perlukan kekuatan untuk dijinakkan. Sembilang tidak pandai bersembunyi di celah-celah batu. Cukup dengan menarik tali joran.
"Kau tahu Amirulllll... Bangsa kita iniiiii... Bangsa bijak, cekap dan handalllll!" Bersusah-payah Yusri menarik tali joran sambil berborak.
"Jika tidak, masakannnnnnnnn... Denmark menggelar kita Viking of Asiaaaaaa!"
Amirul hanya menonton gelagat Yusri yang sedang berhempas-pulas. Sekejap Yusri tarik joran ke kanan, sekejap ke kiri. Jika dilihat dari pandangan sisi, macam Rambo.
"Ya, Rulllll. Denmark dulu pun sampai ke wilayah ini. Namunnnnn, inggeris dan belanda sudah adaaaaa. Denmark tidak mahu bertelagah dengan inggeris dan belanda dalam masa yang samaaaaaa, sebab itu nama mereka tiada di dalam buku teks sekolah."
"Tapiiiii...." Yusri menarik jorannya ke kiri.
"Kauuuu, jangan tak tahu. Mereka mendarat juga di Terengganu. Mereka kagum dengan kapal-kapal kita. Kekuatan kayu dan keutuhan kapal yang ada pada bangsa kita duluuuuu,"
Ditarik jorannya ke kanan.
"...mereka sempat belajar tentang ilmu kayu orang kita Rullllllll. Kayu cengal adalah jenis kayu terbaik untuk membuat kapal. Ketumpatan tinggi dan tidak dimakan anai-anai. Kayu cengalllllll juga tahan dengan semua jenis cuaca. Hiyarghhhh, kuat betul ikan ni. Rajin pergi gym ke?" Yusri masih menarik-narik joran. Sembilang masih enggan berputus asa.
"Habis, kalau salji? Kalau pergi Antartika? Tahan ke kayu tu?" soal Amirul.
Yusri enggan menjawab sindiran Amirul. Dia sedar Amirul tidak boleh diajak berborak tentang ilmu. Tahap pemikiran Amirul masih di tahap rendah. Ini terbukti kerana Amirul begitu gemarkan drama yang melibatkan kahwin paksa.
Kira-kira 10 minit kemudian, Yusri berjaya mendaratkan ikan yang menyentap jorannya. Rupanya bukan sembilang, tetapi tamok.
"Aisey! Baru ingat nak buat sembilang masak asam pedas!"
Sedang Yusri mengeluarkan mata kail dari mulut ikan, Amirul menghampiri dan separuh berbisik,
"Yus, betul ke... Aku dengar... Haritu... Kau..."
Yusri diam. Dia tidak peduli soalan dari Amirul. Di dalam kepalanya kini sama ada ikan tamok itu dibakar atau dimasak kari.
YOU ARE READING
Entahkan jadi entahkan tidak
AdventureYusri pemuda biasa. Pemuda biasa punyai cita-cita biasa, hidup yang biasa, dan wajah biasa-biasa sahaja. Dia memang tidak mahu jadi luar biasa.