"Hari ini hari yang baik," kata Yusri.
Yusri melemparkan pandangan ke segenap hadirin-hadirat yang ada.
Kemudian dia menyambung, "...cuaca pun bersahabat dengan kita. Elok benarlah di kesempatan ini saya mengumumkan sesuatu."
Kesemua orang berpandangan sesama sendiri. Mereka yang sedang bermain whatsapp cepat-cepat berhenti, yang sedang menangkap gambar muka sendiri juga begitu, yang sedang memburukkan jiran tetangga juga sama, gosip boleh ditangguh kata mereka, yang sedang membelek instagram Malaypretty turut juga memberi segenap perhatian kepada Yusri di pentas utama.
Jarang sekali Yusri bersuara di perhimpunan bulanan Kampung Sekembang. Kali terakhir adalah ketika beliau enak dilambung cinta Sofia 4 tahun dahulu. Dek kerana begitu teruja dibuai manis berkasih, beliau naik ke pentas mendirikan sebuah syarahan bertajuk "Manusia Perlukan Cinta Seperti Manusia Perlukan Kurma di Bulan Ramadhan."
Berbalik kepada Yusri yang berada di atas pentas.
"Ehem. Begini," Yusri membetulkan mikrofon.
"Kebelakangan ini banyak desas-desus mengatakan saya akan turun dari takhta presiden bola kampung ini."
"Betullah ni? Yahoooooo!" Jerit Ramli dari tepi pintu balairaya.
"Terbaikkkkkkkkk!" Sahut Fakhrizal Burhan dari tepi tingkap.
Kesemua yang hadir bercakap sesama sendiri. Masing-masing menyuarakan pendapat. Ada yang menyokong perletakan jawatan Yusri, ada juga membantah. Suasana di balairaya bersipongang dengan suara dan pendapat. Ada yang siap mengeluarkan dalil naqli. Kedengaran juga Bella Ammara menyebut sejarah bolasepak Kampung Sekembang yang pernah menjuarai Pertandingan Bolasepak Daerah anjuran Belia 4B.
"Sabar semua, saya belum habis cakap ni. Masih ada yang tertunda." Yusri membetulkan songkok. Disengetkan sedikit supaya mengikut fesyen Haji Bakhil dalam cerita Labu Labi.
"Saya tahu pasukan kita baru sahaja dibelasah 10-0. Setiap gol yang dibolosi, hati saya dihiris sembilu tajam."
"SEMBILU MEMANGLAH TAJAMMMMMM!!!" Keras suara dari hadapan pentas.
"Errrrr... Saya cuma menambah perisa di ucapan saya..." Balas Yusri.
"Begini, sudah 3 malam saya bermimpi. Di dalam mimpi itu saya didatangi seorang wanita yang wajahnya mirip sekali dengan Kak Mah. Saya amat yakin itulah Kak Mah seorang bijakpandai yang pernah menjadi penasihat kampung kita suatu masa dahulu. Kak Mah kata, errrrrr... Kak Mah suruh..."
Semua terlopong menanti Yusri menghabiskan ucapannya.
"Kak Mah suruh saya kekalkan jawatan."
Sebaik sahaja Yusri habis berkata, Kampung Sekembang tiba-tiba dilanda pawana. Ribut yang datang tidak dapat dipastikan entah dari mana. Jangankan bomoh hujan, jabatan meteorologi pun belum tentu dapat menjangka kehadiran cuaca keras yang menerpa secara tiba-tiba ini. Maka berlarilah orang kampung ke sana ke mari tanpa arah tuju. Ada yang mencadangkan supaya bersembunyi di rumah, ada yang mencadangkan masuk ke dalam kereta dan memandu jauh-jauh, ada pula yang mencadangkan untuk bertenang dan hisap rokok. Mati itu pasti, kata orang yang sedang menyalakan api rokok.
Taufan yang melanda Kampung Sekembang bukanlah calang-calang taufan. Bumbung rumah berterbangan, ayam, itik, kucing ditiup angin entah ke mana apatah lagi sugar glider milik Cik Rohayu, spoiler kereta Encik Arif juga tertanggal dan terbang mengikut arus angin. Ribut yang datang itu semakin lama semakin kuat. Disertai hujan dan ribut petir, keadaan di Kampung Sekembang ketika itu betul-betul seperti filem Hollywood bertajuk 2012. Itupun kalau kau tengok la.
Menjelang petang selepas kira-kira 3 jam Kampung Sekembang dilanda malapetaka, taufan pun reda. Keadaan kembali tenang, bayu yang bertiup kini begitu lembut dan gemalai, suasana di Kampung Sekembang kini aman dan begitu rifhan dengan kedamaian.
Kampung Sekembang kini sudah bebas dari bala bencana dan tangan-tangan yang penuh dusta. Ketenteraman dikembalikan dan perpaduan pasti dibina semula. Benarlah kata lirik You'll Never Walk Alone,
At the end of the storm, there's a golden sky...
And the sweet, silver song of a lark.Tamat.
YOU ARE READING
Entahkan jadi entahkan tidak
AventuraYusri pemuda biasa. Pemuda biasa punyai cita-cita biasa, hidup yang biasa, dan wajah biasa-biasa sahaja. Dia memang tidak mahu jadi luar biasa.